Social Icons

Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Wednesday, February 18, 2015

di kasut budak tajaan & berjalan

saat mengembara melihat alam kejadian tuhan, memerhati manusia pelbagai ragam, bertutur beraneka macam bahasa, cuba mengintai tenologi dan sistem negara orang yang boleh dicuri balik, keluar dari zon selesa jauh dari katil empuk bilik yang panas. Malam yang hadir begitu kami hargai, pertukaran malam dan siang lebih dekat untuk kami amati. Menjelang malamnya Allah jadikan gelap sebagai pakaian (yang melindungi), menjadikan kami lebih bersungguh mengambil kesempatan merehatkan badan yang letih berjalan dan berlari. 

Ada bezanya berjalan mentaddabur alam di tempat yang jauh dari bandar berbanding berkelana hanya di sekitar bandar-bandar. Sesekali menjauhi manusia yang terlalu taksub akan dunia, manusia yang begitu sibuk dengan entah apa, manusia yang ego tak kena gaya dan kemudian cuba mendekati alam yang tawadhuk, melihat awan dan gunung yang indah, memandang langit yang luas, mendengarkan alunan sungai yang asyik, itu lebih banyak memberi ruang refleksi.

 Alam yang sungguh tekun mentaati perintah Ilahi, yang bertukar musim pada kadar yang ditentukan Maha pencipta,  menemukan kami kepada jalan pulang kepada Tuhan, tanpa perlu ia bersuara. Alam sangat mendamaikan, manifestasi "sentuhan" Ilahi buat kita hambaNya yang kontang, menghayati alam dapat menghasilkan ketenangan yang begitu mahal harganya. 





"Aurora Borealis" itulah bunyinya kali pertama fenomena alam ini kupelajari semasa tingkatan 3 mungkin? kejadiannya sungguh istimewa. Di kala melihatnya, air mata ini mengalir kerana terlalu kagum dengan ciptaan itu. Aurora Borealis ini, berasal daripada matahari. Makhluk ciptaan ini, "terbang" sepantas 500km/s ke bumi, menghasilkan gerak tari yang sangat asyik untuk diperhatikan. Biarpun, warnanya tidak sehijau dan semerah seperti dalam kamera canggih "Digital Single-Lens Reflex Camera", ia tetap satu fenomena alam yang sangat menakjubkan. Pelbagai bangsa dari pelbagai negara datang memburu "aurora borealis", namun kami bersyukur, ketakjuban kami terhadap fenomena alam ini kami pulangkan kepada Tuhan dan mengharapkan buruan kami ini dapat meningkatkan momentum iman yang ada nilaian akhirat buat kami.




(gambar yang ditangkap melalui kamera sahabt yang berjaulah bersama, DSLR, slowest shutter speed, lowest aperture)

bumi tuhan ini dirasakan sangat luas. terkadang menjadi keliru, apakah perkara yang membentuk manusia menjadi begitu tinggi pekerti seperti mereka. teringat semasa perjalanan dalam keretapi daripada Bjorklidden ke Kiruna, Sweden. 

"Sorry my dear, we don't accept electron card." katanya simpati. "ok, i will pay by using euro notes", cuba mencari metod alternatif. "but, it will be so much expensive than it is" dia membantu, lalu menyambung..

"it's ok, when u arrive at Kiruna, you can pay at the machine there, using this card". aku terpinga pinga, sampai begitu mereka mempraktiskan kejujuran dan integriti. boleh sahaja, bila sampai tu, kami langusng tak membayar tambang! 

tapi, ada sahaja yang kata, permusafiran ini mungkin sahaja menghabiskan duit rakyat! berjalan menggunakan duit tajaan. aku cuba memberi sebab. kami mencuba menggunakan bajet terkecil, peluang disini kami gunakan. jika bukan sekarang bila entah lagi. Terdetik pula, andai kita boleh beralasan dengan manusia, adakah alasan ini cukup benar untuk di jawab kepada Rabbul Jalil, pemberi nikmat? 

jika pemimpin yang kukenali begitu teliti memerhatikan penggunaan duit rakyat, sehingga sebatang pen peribadi dan pen rasmi juga di asingkan penggunaannya!

adakah kita mensyukuri nikmat ini sebetulnya? berapa banyak duit masa dan tenaga musafir ini kita terjemahkan menjadi amal. adakah pemusafiran yang asalnya diniatkan mentadabur alam ini, menjauhkan kita dari tabiat sia-sia kita sebelum ini? sejauh manakah nikmat yang kita kecapi ini memberi impak baik kepada ummah sejagat? persoalan ini, bukan boleh kujawab tuntas. berdoa semoga musafiran ini memberi baik untuk kami, agama dan seluruh kehidupan dunia akhirat. 


alhamdulillah 'ala kulli hal, wa astaghfirullah min kulli zambin






Thursday, January 15, 2015

That Emptiness...

"emptiness", beberapa kali perkataan tersebut disebut kepadaku harini, dan setiap kali itu juga aku pegun mendengarnya. ada kisah disebalik perkataan itu.

kali pertamanya ketika bertemu dengan pesakit di wad psychiatry tadi, atau mudah kita panggil wad sakit jiwa. Pesakit ini tidak perlu bekerja, kerana dia mempunyai wang yang banyak, mewarisi kekayaan keluarga mungkin. Malang baginya, selain harta kekayaan itu, dia juga mewarisi genetik "sakit mental" dari ibu bapanya.Dia tidak didiagnosis dengan penyakit mental yang biasa seperti gila, kerana dia sedar dan dilihat "orientiated", tiada masalah ingatan atau masalah kognitif yang lain. Beliau mempunyai personality disorder "psychopath" yang sangat sukar dirawat! Ibunya menghidap schizophrenia, membunuh diri ketika pesakit ini berumur 12 tahun, bapanya juga dikatakan mempunyai perangai yang pelik dan pesakit ini ditahan di wad kerana beberapa kali melakukan cubaan membunuh diri, ketika ditahan di wad ini sahaja, dia sudah sekali cuba menggantungkan dirinya.

 Daripada sekian banyak jumlah mereka yang ingin membunuh diri kerana pelbagai sebab, sebanyak 3% daripada mereka itu ialah manusia yang di kategorikan normal-(bukan pesakit mental). Juga mempunyai hasrat/ cubaan membunuh diri. Antara sebabnya, ialah kerana "emptiness" kekosongan jiwa, kehilangan arah dalam dunia yang hanya sebesar 'telur cicak' jika nak dibanding dengan planet gergasi lain. Seperti pesakit ini, dia tidak perlu bekerja, sudah mempunyai wang yang mencukupi, namun kekosongan itu menjadikannya resah, terpaksa menelan beraneka macam ubat untuk tidur, dan untuk beroleh ketenangan.

Lain pula kisahnya dengan sahabatku dari Norway ini. Dia tinggal di utara Norway, yang jauh dari bandar Oslo. Pengamatanku dari penceritaannya, mereka ini lain daripada penduduk Eropah yang lain. Kerana jauh dari kesibukan kota, mereka mempunyai lebih banyak masa, lebih tertutup daripada pendedahan luar, tinggal dalam rumah yang khas, sesuai dengan iklim yang di kala musim sejuknya itu  malamnya boleh mencecah 23 jam sehari, cahaya matahari jarang kelihatan, tapi mereka dihadiahkan "Nothern Light" yang mashaallah cantik. Selain itu, mereka di luar bandar Norway kebiasaannya mempunyai lebih dari 3 orang anak, berbeza dengan mereka di bandar-bandar Eropah lain. Namun, kerana kesukaannya membaca, fikirannya mudah menerima idea dan gemar mencari ilmu, dia bertemu Islam, dengan izin Allah. Beliau baru beberapa tahun memeluk islam. Bila di tanya tentang kehidupannya sebelum Islam, beliau menceritakan "emptiness" yang sukar digambarkan. Seolah-olah hidupnya sebelum itu tiada tujuan. Dia merasa resah yang tak dapat dikenalpasti punca. (gambar: nothern light)


aku lantas mengenalpasti terapi kepada 3% manusia normal yang mengalami kekosongan jiwa itu. Ubatnya bukan antidepressant, bukan haloperidol, bukan rivastigmin, tapi ubatnya ialah mengenal Tuhan dan menjalani kehidupan beragama.


Tapi kerana kita belum pernah sesat dalam mencari Islam, kita sudah ditakdirkan lahir dalam Islam, kita menjadi alpa, peluang menjalani kehidupan beragama ini kita sia-siakan. Bukan seorang dua yang pernah berbual denganku tentang "kekosongan jiwa" yang kita alami. Tidak kurang juga ramai, rakan seusiaku yang mempunyai keresahan luar biasa. Solat dan membaca AlQuran sebagai rutin, namun berasa kosong. Menunaikan sesuatu ibadah hanya kerana satu jadual hidup yang tidak mempunyai sebarang makna. 

Berbeza dengan dua orang yang berasa kosong tadi, mereka berasa kosong kerana belum menemukan "pekerjaan" di dunia ini, yang dapat "menuai gaji" daripadaNya. Kita ini, sudah mengenalpasti apa "pekerjaan" itu. Tapi selalu culas menjalani pengabdian itu. Persamaannya, kedua-dua situasi ini, meninggalkan kekosongan jiwa yang meresahkan. tidak kena gaya, kita boleh dijerat syaitan yang berjanji menyesatkan anak Adam, dengan tindakan mudah iaitu membunuh diri.

Ibadah kita sangat memerlukan penghayatan. Masa denganNya, biarpun kelihatan ekslusif untuknya, tapi selalunya tidak. Di dalamnya kita runsing memikirkan sekian banyak masalah yang tak pernah berakhir, ketika bersamaNya juga kita mengelamun jauh memikirkan masa depan yang tak pasti, sambil beribadah kepadaNya jugalah sering kita gelisah memikirkan hal hal yang sering melingkari benak akal fikiran kita. tup tup, salam diberi. acuh tak acuh sahaja berdoa dan beredar. 


Buat kita yang resah dan gelisah,
Allah S.W.T.berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28). .

buat kita yang resah dan tak tentu arah,
 Allah S.W.T berfirman lagi, "Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah di masa berdiri, di masa duduk dan di masa berbaring." (An-Nisa' 103)

Buat kita yang resah dan lelah,
Firman Allah S.W.T, "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang." (Al-Ahzab 41-42)

اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ​

Allahumma a’inni ‘ala dhikrika wa shukrika wa husni ‘ibadatika

O Allah! Assist me in remembering You, in thanking You, and in worshipping You in the best of manners.



Saturday, October 25, 2014

Amsterdam yang suka berhibur

Melepasi bumi Berlin yang rakyatnya seperti tentera, punyai fokus dan kuat bekerja. Kulihat, penduduk Amsterdam sangat berlainan. Lebih murah dengan senyuman, lebih ramai yang berbahasa Inggeris, lebih sukakan hiburan dan santai. Namun, mereka ini lebih pragmatik dan mementingkan praktikaliti.


Setiap lima minit kami berjalan, pasti bau kanabis menusuk hidung kami. Aku mengenali bau ini ketika di Prague, tapi jarang jarang dan hanya di tempat tertentu, tapi tidak di sini, baunya merata-rata! Sebutkan sahaja apa, semua produk mereka pasti di masukkan marijuana, coklat, kek, gula gula, dan juga kopi, yang menariknya, campuran kanabis dalam muffin mereka tidak sekata, ada yang 80%, dan ada yang hanya 0.4%. Kata mereka ikut nasiblah akan dapat yang mana. Hanya sebuah kedai di hujung lorong berdekatan Princess Canal, yang menjual muffin yang mengandungi jumlah kanabis yang sekata.Canal di sana semacam parit, tapi sedikit besar. Ia di tidak begitu digunakan untuk pengangkutan, tapi hanya untuk aktiviti santai. 

Pada musim sejuk, bilamana parit itu beku, mereka akan bermain ski di atasnya, dan pada tahun ini, mereka menantikan musim sejuk yang paling hebat dan bakal menganjurkan pertandingan ski secara besar besaran. Bagi yang mempunyai wang yang lebih, mereka akan mendirikan rumah di dalam paritt tersebut, ia memakan kos yang sangat tinggi, sekita 800 000 USD, namun kos penyelenggaraan dan lain lain kos selepas itu dikatakan lebih murah dari rumah rumah di atas jalan.


Mereka mementingkan kemahuan rakyat, biarpun mahu menghapuskan kanabis dari negara mereka, supaya negara mereka dilihat sebagai socially correct, mereka semacam 'tutup mata' dan tidak betul-betul menghapuskan kanabis, begitu juga tentang pekerja seks di negara tersebut.


Ya, benar. Pasti, sesiapa yang ingin ke negara ini di tanya tentang Red Light District. Seperti kanabis, usaha menghapuskan pekerja seks juga gagal kerana sikap mereka yang sangat mementingkan kemahuan rakyat, socially accepted. Kes yang sama berlaku bilamana lambakan penganut Katolik hanya mengaut keuntungan ketika tahun 70-an 80- an, mereka menyalahgunakan agama untuk keuntungan, di mana akhirnya penganut Katolik tidak dibenarkan di negara Belanda, tapi atas sikap mahu diterima rakyat, mereka 'tutup mata' sahaja dan jumlah penganut Katolik tidak pernah berkurang dari negar tersebut.


Diceritakan bahawa pelayar yang pulang mahu berehat di kota Belanda, akan pulang untuk benar-benar berehat, jadi gejala minum arak dan hiburan sangat berleluasa. Di belakang red Light distreet  itu ada sebuah gereja yang sangat lama, ia dinamakan “Old Church” kerana mereka yang terkenal dengan sikap yang praktikal. Berbeza bila di Kota London,nama jalan dan nama stesen bus atau tram di sana samada di semadikan nama tokoh atau nama peristiwa sejarah tertentu.


Old Church ini sangat ironi, kerana disekitanya merupakan tempat yang paling banyak gejala hiburan. Mereka akan membayar sejumlah wang, indulgence untuk di ampunkan dosa yang mereka telah lakukan.


Belanda dan Basikal


1 Cycling in Amsterdam.jpg


Jika ada istilah pscyopath, mereka di Amsterdam seolah olah ada istilah cyclepath. Ramah dan baik ketika berjalan, serta merta berubah bila berbasikal. Pejalan kaki menduduki strata terendah dalam piramid kenderaan Belanda.
Basikal yang berada di strata teratas, tidak ada sebab untuk berhenti. Jadi, mata kami memang perlu cekap ketika mahu melintasi jalan. Berlainan daripada kereta dan motorsikal yang dapat dikesan melalui bunyi enjin, basikal mereka boleh datang secara senyap dan tiba-tiba, laju!


Mata di alih kepada bot yang melalui canal-canal di Amsterdam. Seperti polis pun ada, seperti pasukan penyelamat pun ada, mereka khyusuk memerhati sekitar canal, seperti mencari sesuatu. Rupanya baru kami diberitahu, bahawa mereka ini sebahagian daripada majlis bandaraya. Mereka mengangkat basikal basikal yang “hanyut”! Sebanyak ratusan dan kadangkala mencapai ribuan basikal setahun berjaya dijumpai.


Belanda dan Muslim


Dia berbaju biru, ramah dan ceria sekali. Berumur lingkungan 50an, berbangsa India, memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang minat dengan subjek nutrisi. Sejam kami di stesen bus kerana menunggu hari siang. Ramai sekali yang datang bertemu dan berborak dengan beliau, paling tidak pun mereka melambaikan tangan atau mengangguk “hai” dari kejauhan. Baik pelajar sekolah, universiti mahupun pegawai yang bermuka bengis dan berbadan sasa yang sesekali lalu untuk melakukan tugasan mereka, juga datang menyapa beliau.


“I am Muslim”, itulah yang dikenalkan kepada kami. Katanya, “I will help you, buying tickets, explaining you with things that you don’t know, i will be around here doing my work if in case u need me” ,  katanya sebelum beredar dan menyambung kerja. Dilihat dia mengagihkan akhbar percuma, mengelap sini dan sana, mengalih itu dan ini, nampak dia selesa dan suka betul dengan tugasannya di situ.


Sebagai seorang yang tidak tahu apa-apa sangat tentang bandar Amsterdam, pertolongan yang begitu sangat mententeramkan. Kami membuat keputusan ke masjid. Lalu menemuinya sekali lagi “Do you know where is this?,  sambil menunjukkan kepada peta yang di simpan dalam tablet. Kerutan di dahinya seolah-olah memberitahu yang dia kurang nampak, tanpa disuruh aku cepat-cepat membesarkan paparan “view” point di dalam peta itu,  ia tertulis “Shoura Sunni Mosque”. Dia tersenyum, lalu menyambung kerutan di dahi dan menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Aku hairan, masih tak nampak lagi?


Oh, i don’t know this mosque”, jawabnya jujur, menjawab persoalan dihatiku. Namun, katanya sekejap lagi, kawan-kawan muslimnya yang lain akan datang, dan mereka akan tunjukkan masjid yang lebih dekat dari stesen bas ini. Kemudian dia bertanya lagi “At what time usually the mosque is open?” “Oh, am not so sure here in Amsterdam, but usually people will come to perform the Fajr prayer, and the mosque will be lock until Dhuhr”, terangku bersungguh. “Ok, then let’s wait a little bit more”, kami bersetuju.


Biarpun sentiasa ditanamkan dengan sikap supaya berbaik sangka, waspada itu harus sentiasa ada bilamana kita di tempat baru dan menemui orang yang baru. Kami berbual dan berbual, dari topik nutrisi, hingga ke sejarah penjajahan British dan pembahagian jajahan takhluk. Akhirnya beliau mengeluarkan sebatang pen,


“Please, take this as a gift from me, hope you will like Amsterdam”, dia senyum. Mungkin kerana dia melihat aku teragak-agak untuk menerima pemberiannya, dia menyambung “Oh, don’t worry, this is not a very special pen, is just a pen, that you could get it anywhere for free, but it is good enough for a gift and memory from me”, beritahunya selamba. Aku tersengih lalu mengucapkan terima kasih sungguh-sungguh.



Padanlah, ramai menyenanginya, dia pandai mengambil hati dan menjadikan orang yang baru kenal dengannya rasa di hargai. Sebelum berpisah, sebuah buku terkeluar dari poketnya ketika dia cuba mengambil kertas kerana ingin memberikan emelnya kepadaku. Aku terlupa apa tajuk buku itu, kerana aku melihatnya sepintas lalu saja. Tapi rupanya buku tentang satu idealisme yang menyamakan semua agama. “I am reading this book” sambil menunjukkan simbol yang aku tak pasti apa di muka depan buku, dia bertanya “Is this sign of islam?” aku lekas menjawab, “No, this is not Islam”, sedikit hampa.


Tidak begitu pasti mengapa dia memperkenalkan dirinya sebagai muslim, mungkin kerana mahu mewujudkan persamaan dan penerimaan daripada kami. Namun, “tipunya” itu tidak membawa kerugian apa pun, dia tidak mengambil kesempatan, malah, begitu banyak pertolongannya yang menjadikan pagi kami di Amsterdam itu mudah. Tiada yang lain di benak fikiran, melainkan mendoakan dia menemui islam selepas ini. inshallah.

Menginsafi kefaqiran diri


Hiburan yang melampau pasti satu hari akan mebinasakan sesuatu kaum atau satu peradaban. Lihat saja Kerajaan Parsi yang pada satu masa pernah menjadi kuasa besar di dunia Timur, akhirnya ia berakhir dengan kekalahan mereka dalam peperangan Al Qadisiyyah yang bersejarah. Pertempuran pertama mengikut adat peperangan di zaman itu ialah pertarungan panglima yang ditugaskan. Kesemua panglima Islam berjaya menewaskan lawan masing-masing. Panglima Parsi, Rustam serta kerajaannya pada masa itu telah dilanda kebejatan akhlak, mereka juga tidak lagi di hormati rakyat Parsi sendiri, akhirnya berjaya di kalahkan tentera islam di bawah Panglima Saad b. Abi Waqqas.


Meninggalkan Kota Belanda itu sambil menelurusi bait-bait indah dan memotivasikan


Pesan Amirul Mukminin kepada Panglima Saad b Abi Waqas,


“aku berpesan kepadamu dan bala tenteramu, supaya bertaqwa kepada Allah dalam semua keadaan, Maka sesungguhnya bertaqwa kepada Allah itulah sebaik baik persediaan bagi menghadapi musuh dan sekuat-kuat kelengkapan.


Aku perintahkanmu dan sesiapa sahaja supaya berwaspada terhadap DIRI SENDIRI daripada terjerumus kedalam maksiat lebih daripada waspada kamu kepada musuhmu, kerana dosa yang dilakukan oleh tentera itu lebih menakukat daripada musuh-musuh itu sendiri”........


 Semoga kita istiqomah dan terus menjauhi maksiat yang berbahaya untuk pembangunan ummah. 










Friday, January 17, 2014

Pinjaman


Semua orang pernah pinjamkan barang mereka bukan?  Ingat tak masa zaman sekolah dulu, kawan-kawan selalu minta pinjam pensel kita, pemadam kita, pembaris kita dan sebagainya. Bila kita dah besar sikit, kita pun dapat adik lagi. Bermula lah proses pinjam meminjam dengan drastic. Semuaaa benda kena bagi adik pinjam. Kalau tak, mama marah..huhu.. (kalau siapa jadi anak sulung, lagi kesian kan..hehe..tapi tak mengapa, susunan  Allah adalah yang terbaik)

Berbalik semula kepada alam reality, semua orang sedar tak sebenarnya dunia ni adalah pinjaman Allah kepada kita. Pokok-pokok, udara oxygen yang bersih dan nyaman, ayam-ayam yang comel dan sedap (macam KFC laa), pakaian kita yang kita beli mahal-mahal, kereta FERARI mahupun KANCIL, duit biasiswa, gadjet,  duit raya dan sebagai nyaa..wahhhhhh banyak betul. Kalau nak tulis semua, memang tak muat la page ni..kann..semua tu milik Allah..

Nikmat-nikmat ni semua milik Allah. Allah cuma pinjam kan kepada kita. Masa kita pun Allah yang punya. Kadang -kadang kita kedekut nak luangkan masa kita untuk Allah sebab kita rasa masa tu kita yang punya. Kita takut, kalau kita luangkan masa untuk beribadat, kita akan fail exam. Kita takut, kalau kita luangkan masa untuk beribadat, kita tak dapat nak buat aktiviti-aktiviti lain. Bukankah Allah dah menyebut dalam surah Al-Asr, orang-orang yang beriman, mengerjakan kebajikan, saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran adalah orang-orang yang tidak akan rugi?

Duit juga adalah milik Allah. Kekayaan wang ringgit yang kita ada, semua nya milik Allah. Mungkin kita rasa, kekayaan yang kita ada sekarang ni, adalah atas usaha kita. Iye, memang betul. Sebab tu la kita kene berusaha kalau nak berjaya. Tapi kene ingat, semua itu takkan terjadi tanpa izin Nya. Mungkin Allah bagi kekayaan tu sebab nak suruh kita share dengan orang lain yang serba kekurangan. Bukankah orang-orang Islam itu bersaudara?

Dunia yang hanya pinjaman ini, janganlah kita letakkan di dalam hati. Cukuplah dengan hanya mengenggam ia di tangan.

Maka adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sungguh, neraka lah tempat tinggalnya
                                                                                                                                     (An Naziat 37-39)

(Ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu disetrika dahi, lambung dan punggung mereka (seraya dikatakan) kepada mereka, "inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat dari) apa yang kamu simpan itu."
                                                                                                                                        (At-Taubah : 35)


Mari kita sama-sama bermujahadah (berusaha bersungguh-sungguh) dalam usaha mendekatkan diri kepadaNya. Aminnnnnnn~


Friday, January 10, 2014

Terimalah Ketentuan Allah; Baik Mahupun Buruk

Ketentuan Allah

Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.
(Al Hadid 57 : 22-23)

Allah lebih mengetahui


“…. Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Al Baqarah 2 : 216)


Percaya Kepada Qada' dan Qadar

Ketenangan hati ketika ditimpa musibah banyak bergantung sejauh mana iman dan keyakinan kepada qada’ dan qadar. Apatah lagi jika si hamba mengetahui bahawa Allah Maha Lembut terhadap hambaNya dan menghendaki kemudahan untuk mereka. Dan Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Dia menyimpan di akhirat dan memberikan habuan yang cukup bagi mereka yang bersabar tanpa perhitungan. Hal ini jika direnungkan maka akan mengubah kesedihan menjadi kesenangan dan kebahagiaan.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil supaya dapat menghadapi musibah dengan selamat :
1.      Cuba bayangkan musibah yang lebih besar dan lebih buruk daripada yang sedang dialami
2.      Cuba bayangkan orang lain yang sedang ditimpa musibah yang lebih besar daripada yang sedang dialami
3.      Pandanglah nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada anda
4. Jangan sekali-kali menyerah dalam berdepan dengan kegagalan yang berlaku sekalipin kedatangannya berupa malapetaka.

“sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”
                                                  (Al Insyirah 94 : 6)



Friday, January 3, 2014

FORMULA – FORMULA KEJAYAAN


  1. Untuk mendapat kemuliaan : taat kepada Allah dan Rasul
  2. Untuk mendapat rezeki : berusaha disertai istighfar dan ketaqwaan
  3. Untuk mendapat SYURGA : tauhid
  4. Untuk mendapat iman : merenungkan ayat-ayat Allah dan makhluk-makhlukNya
  5. Untuk mendapat kebaikan : kejujuran
  6. Untuk mendapat hati yang hidup : merenungkan al-Quran, berdoa pada waktu malam, meninggalkan perbuatan dosa
  7. Untuk mendapat ilmu pengetahuan : bertanya dan menyemak dengan baik
  8. Untuk mendapat pertolongan dan keberhasilan : sabar
  9. Untuk mendapat kebahagiaan : taqwa
  10. Untuk mendapat bertambahnya nikmat : bersyukur
  11. Untuk mendapat perasaan rindu kepada akhirat : menjaga jarak (zuhud) dengan dunia
  12. Untuk mendapat kemakbulan harapan dan permintaaan : berDOA



Friday, December 27, 2013

Kisah Anak Gajah yang Tragis

Bismillah


Sekawan gajah tinggal di hutan Borneo. Dan pada satu hari kawanan ini telah bertembung dengan sekumpulan pemburu haram. Pertembungan ini berakhir dengan pembunuhan mereka semua, kecuali seekor anak gajah yang baru bertatih mengenal dunia, sengaja dibiarkan hidup. Sungguh tragis! Lagi menyedihkan. Bahana kerakusan manusia memburu gading bernilai, seekor anak telah bergelar yatim piatu…



Cukup meyedihkan


Anak gajah itu kemudiannya dijual kepada kumpulan sarkas. Dan dengan itu bermulalah episod baru kehidupan yang sungguh menjerihkan bagi si anak. Dipaksa berlatih dengan keras setiap hari sebagai persiapan di masa depan untuk menjadi sumber hiburan manusia. Tidak! Tidak sama sekali gajah itu rela terus diperhambakan sedemikian rupa. Maka pada satu malam, anak gajah itu berusaha melarikan diri dengan cuba melepaskan diri daripada belenggu ikatan rantai yang mengikat kakinya. Namun begitu, meski gigih anak gajah itu berusaha, tidaklah dapat dia meloloskan diri…

Dicubanya lagi di malam keesokan, dan juga di malam-malam yang berikutnya. Cubaan demi cubaan namun bertemu dengan kegagalan, usaha yang sia-sia, ibarat layang-layang melawan angin. Dan dengan itu putuslah sudah segala harapan si anak gajah, berserahlah dia kepada takdir, seperti layang-layang putus teraju… ‘Aduh, celaka sungguh nasibku, langit runtuh, bumi telah terban, bagaimana mungkin aku bisa bebas?’ rintih sang gajah...

Beberapa tahun berlalu, anak gajah kini sudah menjadi seekor gajah yang matang, gagah perkasa, tapi... masih lagi berstatus haiwan sarkas… masih lagi menjadi hamba…  masih lagi ditambat dengan rantai yang sama…

Sindrom Anak Gajah

Umum mengetahui bahawa seekor gajah dewasa mudah sahaja mampu menumbangkan pokok-pokok gergasi di hutan maka pembaca mungkin tertanya-tanya, bagaimana kini seekor gajah dewasa mampu ditambat dengan rantai biasa? Anak gajah tidak mampu untuk melepaskan diri daripada belenggu rantai kerana tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi. Kini setelah dewasa dia mampu malah lebih daripada itu tapi gajah itu tidak akan cuba melarikan diri, kerana kemampuannya pada masa sekarang kini telah dihadkan oleh keterbatasannya di masa lepas. Inilah yang kita namakan sebagai sindrom anak gajah.

Anda daripada awal dilahirkan mempunyai potensi penuh yang sangat besar, dan apabila masa berlalu dan dengan pilihan yang anda pilih, anda akan kehilangan sedikit demi sedikit potensi tersebut*. Sebagai contoh, pelajar lulusan SPM yang cemerlang mempunyai banyak pilihan dalam memilih jurusan pengajian di universiti dan apabila dia memilih bidang perubatan, maka dia telah menutup potensi yang dia ada untuk bidang pengajian yang lain. Dan apabila seorang doktor memilih untuk menjadi seorang pakar bedah, maka doktor itu juga telah menutup potensi yang dia ada untuk bidang kepakaran yang lain. Dalam erti kata lain, pelajar sekolah menengah sebenarnya mempunyai potensi yang lebih besar daripada pelajar perubatan dan juga doktor, kerana dia masih boleh memilih dan pilihannya itu mungkin membawa kepada masa depan yang jauh lebih cemerlang berbanding dengan dia yang memilih bidang perubatan.

Apa yang ingin di sampaikan di sini adalah, anda hanya boleh kehilangan potensi anda, maka jangan anda mengehadkan lagi potensi anda di masa sekarang dengan sejarah kegagalan di masa lalu. Jangan bina sempadan palsu di dalam minda anda yang kemudiannya mengekang kemampuan anda untuk terus pergi maju ke hadapan apabila rebah. Sedangkan pada hakikatnya anda mampu bangkit! Jangan biarkan kegagalan anda di masa lalu menentukan apa yang anda akan capai dalam hidup. Jangan jadi seperti gajah yang terpenjara dengan mindanya sendiri! Wallahualam.

Pembaca yang budiman mungkin tertanya-tanya kini apakah nasib gajah yang telah diceritakan di atas. Suka untuk saya maklumkan di sini bahawa di atas usaha beberapa insan prihatin dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN, gajah tersebut telah diselamatkan dan kini ditempatkan di Zoo Negara** dan bahagia tinggal bersama penjaga zoo yang berdedikasi. Alhamdulillah.


Kini bahagia

Nota
Laksana layang-layang melawan angin = Perbuatan yang sia-sia
Laksana layang-layang putus teraju = Tinggal berserah kepada nasib saja, daya upaya sudah tiada lagi
Langit runtuh, bumi telah terban = Segala harapan sudah musnah. Terban = runtuh
*OHCS m/s 99
**Haiwan liar yang dibesarkan sejak kecil bersama manusia tidak sesuai dilepaskan di habitat asal.


Rujukan: saifulislam.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...