Social Icons

Sunday, December 2, 2012

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (5 - akhir)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

5) Tidak mengikut hawa nafsu.

Walau apapun perubahan dan perbezaan pada hukum bagi fikah luar negara, perlu diingatkan segala perubahan dan perbezaan hanya berdasarkan kesedaran bagi mengamalkan Islam di mana sahaja kita berada. Titik tolak pada perbezaan itu perlu berdasarkan keimanan dan ketakwaan serta jauh daripada mengikut hawa nafsu dan perasaan mempermain-mainkan hukum syarak. Ini penting supaya kita sedar tujuan utama kehidupan kita di muka bumi ini adalah bagi mengabdikan diri kepada Allah melalui segala hukum syarak yang disyariatkan ke atas mereka.

Allah menyatakan dalam surah as Sad ayat 26 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, (ia) menyesatkan kamu daripada jalan Allah".

Kesimpulannya, berdasarkan dasar-dasar inilah fikah luar negara menjadi agak berbeza daripada fikah tradisional. Keunikan ini menjadikan fikah-fikah luar negara memudahkan umat Islam mengamalkan Islam di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa sahaja.


Allahu a'lam. Moga penulisan ini bermanfaat.

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (4)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

4) Darurat

Antara keindahan syariat Islam adalah ruang halal yang luas disediakan bagi umat Islam dan sedikitnya perkara yang haram. Kebanyakan perkara yang haram pula adalah perkara yang bahaya dan memudaratkan ke atas manusia seperti pengharaman arak, judi, riba, membunuh dan benda-benda kotor dan najis daripada dimakan.

Sesungguhpun perkara haram itu lebih kecil, tetapi Islam bersikap tegas pada perkara-perkara itu. Bukan hanya sekadar hukumnya haram, malah pada sesetengah perkara, hukuman yang berat dikenakan ke atas si pelaku. Islam juga bersikap tegas dengan mengharamkan perkara-perkara yang membawa kepada perlakuan perkara haram. Misalnya zina adalah haram, maka perkara-perkara yang membawa kepada zina juga adalah haram.

Contoh yang lain pula adalah pengharaman arak. Segala yang membawa kepada arak juga haram seperti orang yang memerah anggur bagi arak, menjual, membawa, menyediakan, malah bersama-sama dengan majlis yang dihidangkan arak juga haram.

Walaupun demikian, sebagai agama dan manhaj hidup yang meraikan kelemahan dan fitrah manusia, Islam masih memberikan ruang-ruang pengecualian bagi Muslim. Misalnya semasa berhadapan dengan situasi yang terdesak dan terpaksa melakukan perkara-perkara haram apabila mereka tidak mempunyai pilihan kedua.

Allah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud, "Dan sesiapa yang terpaksa dan bukan kerana melampau ataupun melampaui batas, maka tiada dosa ke atas mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih".

Ayat ini menerangkan mengenai pengecualian memakan makanan-makanan yang diharamkan untuk mereka yang berada dalam keadaan darurat dan tidak dilakukan dengan sengaja. Sepertinya juga empat ayat yang lain yang serupa dan seerti apabila Allah mengharamkan sesetengah perkara. Berdasarkan ayat-ayat itu, para fuqaha meletakkan kaedah fikah yang berbunyi, 'darurat mengharuskan perkara-perkara yang diharamkan'.

Kaedah itu walau bagaimanapun terikat dengan syarat yang ditetapkan oleh al-Quran iaitu, 'bukan kerana melampau atau melampaui batas'. Maknanya, keharusan melakukan perkara-perkara yang diharamkan seperti memakan mayat, daging babi ataupun yang seumpama denganya bukanlah sampai ke tahap melampau dan melampaui batas.

Oleh kerana itu, para fuqaha membenarkan seseorang yang terpaksa memakan daging babi semasa darurat supaya mengambilnya sekadar bagi menyelamatkan nyawa sahaja. Mereka melarang memakan daging babi sehingga kenyang ataupun mengambilnya dalam kuantiti yang banyak. Mereka juga meletakkan kaedah bagi syarat itu yang berbunyi, 'darurat diukur berdasarkan keperluannya'.

Keadaan yang dinamakan darurat itu juga ada kadarnya supaya tidak semua keadaan yang terpaksa atau sulit dikatakan sebagai darurat. Sebagai contoh, orang yang tidak ada wang menanggung keluarganya tidak boleh mencuri dengan alasan darurat sedangkan dia mampu bekerja. Ibu tunggal yang memerlukan duit menyara keluarga tidak boleh melacur sedangkan beliau masih lagi mampu bekerja dan mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib.

Keadaan yang dinamakan darurat adalah apabila orang itu tidak menemukan pilihan kedua apabila berada dalam situasi yang membahayakan nyawa dan anggota tubuhnya ataupun orang lain. Selain daripada keadaan ini, ia tidak dinamakan darurat.

Kadangkala keadaan yang menyukarkan walaupun tidak membawa pada situasi yang membahayakan nyawa ataupun anggota, ia masih dikira sebagai darurat terutamanya dalam persoalan ibadat. Contohnya, orang yang dipenjarakan tidak ada tempat yang suci dan pakaian yang lengkap bagi menunaikan solat, kewajipan solat tidak lupus. dalam keadaan sebegitu, dia wajib menunaikan solat dalam keadaan yang terbaik bagi dirinya. Solat itu dikira sah kerana dia berada dalam keadaan darurat.

Masalah yang hampir sama juga mungkin dihadapi oleh mereka yang tinggal dikawasan yang sejuk seperti di Russia yang kadangkala melampaui negatif 20 darjah celcius dibawah takat beku. Mustahil bagi mereka yang berada dalam keadaan sesejuk ini berwuduk apabila mereka berada di luar rumah seperti di universiti ataupun di tempat kerja.

Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah sebegini, mereka boleh bertayammum dan meninggalkan waduk sebab keadaan darurat. Pelbagai persoalan lain seumpama ini mungkin dihadapi oleh mereka yang tinggal di luar negara. Oleh yang demikian, kepercayaan darurat ini begitu diperlukan umat Islam yang berada di luar negara.

Thursday, November 29, 2012

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (3)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

3) Rukhsah

Rukhsah ialah hukum yang disyarakkan dengan hukuman yang lebih ringan dalam situasi yang ditetapkan. Makna lain ialah hukum yang mengharuskan perbuatan haram sebab situasi tertentu tanpa menjejaskan hukum asal semasa situasi biasa.

Antara contoh bagi rukhsah pula adalah:



a. Orang yang bermusafir boleh melakukan jamak atau mengumpulkan antara dua solat. Selain itu boleh qasar iaitu memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat.



b. Orang yang bermusafir juga dibenarkan berbuka puasa dan menggantikannya pada waktu yang lain sebagai kelonggaran semasa bermusafir.



c. Orang yang dipaksa mengucapkan kalimah kufur dapat mengucapkannya demi menyelematkan nyawa.

Banyak lagi persoalan lain yang termasuk dalam kategori rukhsah terpaksa dihadapi oleh mereka yang tinggal di luar negara. Oleh yang demikian, rukhsah adalah salah satu daripada dasar yang penting dalam perbincangan fikah luar negara.

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (2)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

2) Tidak terikat pada satu mazhab.

Adalah mustahil bagi satu-satu mazhab menyelesaikan semua masalah bagi semua keadaan untuk semua orang. Sesetengah mazhab mungkin sesuai bagi sesetengah keadaan tetapi tidak sesuai dengan keadaan lain. Sesetengahnya pula sesuai dengan sesetengah iklim dan geografi tetapi tidak sesuai dengan iklim dan geografi yang lain. Sesetengahnya pula mungkin sesuai dengan sekelompok manusia ataupun bangsa-bangsa khususnya tetapi tidak dengan yang lain.



Sebagai contoh, pendapat mazhab Syafie yang mengatakan wuduk batal apabila dua orang yang bukan muhrim dan berlainan jantina bersentuhan kulit sama ada sengaja mahupun tidak. Pendapat ini tidak releven bagi mereka yang sedang bertawaf di Baitullah semasa haji mahupun umrah. Agak mustahil bagi seseorang mengelakkan diri daripada bersentuhan pada waktu itu kecuali mereka berupaya terbang ataupun terapung-apung di udara semasa tawaf dilaksanakan. Solusinya, para pengikut mazhab Syafie terpaksa bertukar kepada mazhab yang berpendapat wuduk tidak terbatal kerana perkara itu.



Contoh yang lain adalah keadaan umat Islam yang tinggal di negara yang sedikit umat Islamnya ataupun daerah yang hanya ada segelintir umat Islam, kurang 40 orang lelaki. Dalam keadaan seperti ini, bagi pengikut mazhab Syafie, mereka tidak dapat menunaikan solat Jumaat sepanjang hidup kerana syarat sah menunaikan solat Jumaat dalam mazhab Syafie perlu dihadiri oleh 40 orang lelaki muslim yang bermukim. Oleh itu, apabila umat Islam di tempat ini  ingin menunaikan solat Jumaat, mereka perlu berpegang dengan mazhab lain yang membenarkan solat Jumaat dengan bilangan yang lebih kecil.

Antara dasar yang utama bagi mereka yang tinggal di luar negara adalah tidak tertakluk dengan pendapat satu mazhab sahaja. Apabila mereka tidak terikat dengan satu mazhab sahaja, mereka terpaksa mengamalkan talfiq iaitu mencampurkan pelbagai pendapat mazhab dan mengamalkan lebih daripada satu satu pendapat mazhab. Dalam dunia moden dan juga dalam keadaan Islam mula berkembang di segenap pelosok dunia, pengamalan talfiq menjadi perkara kemestian.

Tuesday, November 27, 2012

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (1)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

InsyaAllah, post kali ini akan berkongsi mengenai dasar prinsip bagaimana sesuatu hukum Fiqh yang fleksibel (taqlid) di keluarkan. Artikel ini dipetik daripada buku Fikah Luar Negara karangan Dr. Mazlee Malik dan Hamidah Mat.

'Fikah luar negara tetap bersandarkan pada keaslian dan ketulenan Islam iaitu; sesuai, fleksibel dan dinamik pada semua keadaan dan masa.'




Fikah luar negara menuntut pada kesusaian hukum dengan keadaan setempat. Kesesuaian ini, walau bagaimanapun tidak menggadaikan prinsip-prinsip Islam serta tidak mengubah perkara-perkara tetap dalam Islam. Oleh yang demikian, perlu ditetapkan dasar-dasar yang kukuh bagi menjadikan fikah luar negara itu berpaksikan keaslian dan ketulenan Islam; iaitu sesuai pada semua keadaan dan juga bersifat fleksibel dan dinamik.

1) Perubahan hukum mengikut perubahan waktu dan tempat

Ibn Abidin Hanafi menyatakan, "Terdapat banyak hukum-hakam yang dihasilkan oleh mujtahid berasaskan suasana yang berlaku pada zamannya. Justeru, hukum-hakam itu berbeza dengan perbezaan masa ataupun zaman kerana berlakunya perubahan urf (iaitu adat) masyarakat pada waktu itu, darurat ataupun kerosakan akhlak masyarakat.

Apabila dikekalkan hukum itu atas sifatnya yang dahulu, ia menimbulkan masyaqqah (iaitu kepayahan) dan kemudharatan bagi manusia. Ia menyalahi prinsip-prinsip syariat yang dibina atas dasar meringankan dan memudahkan serta menolak kemudharatan dan kerosakkan. Semua ini bertujuan mengekalkan sistem hidup atas hukum-hakam yang terbaik. Kerana dasar inilah, kita dapat melihat para fuqaha mazhab berbeza pendapat dengan imam mujtahid mazhab mereka dalam banyak masalah.

Perbezaan itu kerana pendapat yang dibina itu berdasarkan suasana pada zaman imam mujtahid. Fuqaha mazhab berpendapat kalau para imam mujtahid itu masih hidup pasti mereka memberi fatwa seperti para fuqaha itu yang berdasarkan prinsip-prinsip mazhabnya."

Apa yang dikatakan oleh Ibn Abidin ini bukanlah perkara yang baru. Sebagai contoh, Imam Malik mengeluarkan banyak fatwa berdasarkan amalan penduduk Madinah pada zamannya. Menurutnya, penduduk Madinah pada zamannya itu masih lagi mewarisi tradisi yang mereka amalkan sejak zaman Nabi Muhammad.

Imam Abu Hanifah juga banyak berselisih pendapat dengan sahabat-sahabatnya berdasarkan perbezaan urf dan latar belakang masing-masing. Imam Syafie pula, dalam hal ini ada sikap yang lebih dinamik. Semasa beliau berada di Mesir, beliau banyak mengubah segala fatwa dan hukum yang dihasilkannya semasa beliau berada di Baghdad. Ini semua berdasarkan atas perbezaan keadaan antara Mesir dan Baghdad. Justeru, lahirlah qawl jadid (pendapat baru) dan qawl qadim (pendapat lama) bagi mazhab Syafie.

Antara contoh perbezaan para ulama yang disebabkan perbezaan keadaan seperti pendapat para ulama berkaitan dengan larangan mengambil upah mengajar al-Quran. Bagi para ulama mutaqaddimin (terdahulu), mereka melarang para guru al-Quran mengambil upah mengajar al-Quran. Tetapi selepas berlaku perubahan suasana, urf dan keadaan, para ulama mutaakhirin (terkemudian) memberi fatwa harus mengambil upah mengajar al-Quran supaya pengajian al-Quran tidak terhapus. Antara contoh yang lain juga adalah kes unta hilang, di mana ketika zaman Rasulullah, Rasulullah hanya membiarkan (melarang untuk ditangkap) unta yang hilang (tanpa tuan) dengan harapan ia akan kembali kepada tuannya semula pada masa akan datang. Tetapi di zaman Uthman ibn Affan, unta yang dijumpai berkeliaran tanpa tuan akan ditangkap dan mereka yang kehilangan unta akan menuntut kembali ditempat khas (atas sebab akhlak yang mula rosak dan sikap tidak jujur dalam masyarakat).

Walau bagaimanapun, perlu diingat perbezaan hukum-hakam kerana mengikut perbezaan urf bukanlah perbezaan tasyri' (syariat). Tetapi perbezaan itu hanya dalam perlaksanaanya sahaja. Ini bukan beerti hukum Allah dalam masalah berbagai-bagai tetapi maksud perlaksaan itu adalah kerana situasi, suasana dan peristiwa yang berbeza.

Monday, November 26, 2012

Kamu susah? kamu sedih?

Baru ini aku disapa oleh sahabat, matanya merah berair. Mulutnya kejap tertutup, seolah-olah menahan sesuatu yang ingin dibicarakan.
Hati aku berdenyut-denyut lebih kuat, fikiran ligat memikir sebab, bersimpati. Apalah yang dirunsing sahabatku seorang ni. 

"macam mane ye..macam mana kau buat untuk lupakan orang yang meninggalkan kau ye.? sahabat aku memecah kesunyian bilik.. 
"oo kau teringat pakcik kau yang baru meninggal tu ye..? Doakan la dia, baca yasin untuk dia..inshaallah arwah orang soleh, seorang guru, pasti ilmu yang bermanfaat sedang menemani arwah di kubur" 

"Itulah...nak baca yasin pun susah, sebab dia yang ajar aku ngaji.." sahut sahabatku itu dengan esakan yang lebih kuat.

Aku faham, pakcik itu terlalu rapat dengan sahabat ku ini, seperti bapanya sendiri. Tempat dia bergantung. Sumber inspirasi, dan sumber kekuatan untuk menghabiskan peperiksaan dan berjaya dalam hidup. 

Fikiranku segera melayang memikirkan adik kesayangan aku, teringat juga masa-masa 'berat' aku dulu ketika kehilangannya. Malam tidur tidak lena, membaca yasin pun masih teringat, masa melihat apa sahaja yang berkaitan boleh membuatkan air mata mengalir. 

Buat sahabat diluar sana, yang baru sahaja kehilangan, aku pasti yang diuji lebih dari kami juga pasti ramai. Yang kehilangan ibu, bapa tempat bergantung, itu lebih sakit lagi. Buat yang masih susah meredhakan pemergian sesorang. Atau yang sedang menghadapi hari-hari susah dalam hidup. Duduk dan muhasabah. 

Rasulullah manusia agung, melalui terlalu banyak fasa kehilangan. Kehilangan ayah, kemudian ibu, datuk, anak-anak, pakcik, dan juga isteri kesayangan. Sehingga Allah memujuk baginda melalui penurunan surah ad dhuha. tentu sekali kita tak dapat membayangkan keadaan dan apa yang dihadapi nabi, sampai Allah memujuk baginda dalam surah dalam alQuran.

 Memikirkan tentangan daripada Musyrikin Mekah, dengan perlbagai ancaman bunuh, ancaman buang negeri, di gelar majnun. gila..! Dibaling batu sehinga berdarah teruk. Kita pernah kena sampai macam tu?!
bila terkenangkan doa baginda ketika baginda di sakiti teruk oleh penduduk taif, hati sayu sekali me
ngenangkan ketulusan baginda meminta pada Allah,
" Ya Allah, aku mengadu kepadaMu kelemahan kekuatanku,
sedikitnyya kemampuanku dan HINANYA AKU PADA PANDANGAN MANUSIA, Wahai Tuhan Yang Maha pengasih, kamulah golongan yang lemah dan Kamu juga Tuhanku..." 
Sampai begitu sekali.. 

"astaghfirullah hal 'azim.. Aku terlalu larut dalam kesedihan ni. Banyak urusan pelajaran aku tergendala, lemahnya aku" sambung sahabat aku tadi, mengesat air mata. 

"Alhamdulillah, sekarang mari kita sama-sama bangkit, jangan biar syaitan menang atas kita. InshaAllah fikir yang baik-baik sahaja untuk arwah. Kita juga boleh berjumpa mereka di alam mimpi, kalau rindu sangat (^^,) " aku mengukir senyuman, memberi harapan kepadanya. 
"InshaAllah MASA selalu menjadi pengubat, lama-lama sikit nanti hilanglah. Kadang-kadang memang macam tu, apa sahaja masalah yang menimpa, hanya masa yang boleh jadi pengubat. Baik masalah-masalah lain pun" aku menyambung..

"itu yang susah tu.." cebik sahabatku. 
"tapi jangan risau, sepanjang masa susah tu, Pahala sabar menghadapi sakit itu pasti akan di ganjari, dinaikkan darjat di sisi Allah, dan dibersihkan dosa-dosa kita" 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang mukmin yang rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya"(Hadis riwayat Bukhari). 
Yang penting jangan sesekali kita berputus asa atas rahmatnya, kerana hidup kita ini sentiasa dengan ujian. buat yang sedang senang dan goyang kaki je tu...ingat! Ujian kesenangan adalah ujian yang lebih 'licik'. 


Sebab kerana memang fitrah nafsu, nafsu tidak suka diuji dengan lemah, dengan kalah, dengan miskin, dengan gagal, kerana itu orang selalu diuji dengan kesusahan tiada pilihan, melainkan menyerah dan merayu kepada Allah untuk jalan keluar kerana nafsu ingin cepat keluar dari ujian itu!

Tapi ujian kesenangan selalu menipu kita. Moga-moga para pembaca sekalian dan diri yang menulis ini dikurniakan kekuatan untuk beramal soleh, hinga bertemu Rabul Jalil. Aminn.. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...