Social Icons

Tuesday, December 11, 2012

Tarbiyyah diri seorang ninja (2)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...




3) Tidak memanjakan diri

Setiap ninja memiliki pelbagai skill bertaraf tinggi yang tidak mudah untuk dipelajari. Sebagai contoh, seorang ninja mampu berlari-lari dan melompat tinggi di atas bumbung-bumbung bangunan tinggi. Kita sebagai orang biasa nampak perbuatan ini seakan-akan mudah, namun seorang ninja harus mengimbangi badan dan punya latihan keras; dan barangkali berkali-kali jatuh tersungkur sebelum 'biasa' dengan perbuatan-perbuatan tersebut.

Begitu juga hidup sebagai seorang manusia. Sedari kecil, kita didik untuk tidak memanjakan diri. Untuk seorang bayi mencapai kemampuan mampu berjalan seperti manusia normal hari ini penuh dengan kesusahan. Bayi manakah yang tidak pernah jatuh dalam usaha untuk mempelajari kebolehan berjalan? Dan adakah bayi itu berputus asa? Jika bayi itu berputus asa, maka sesungguhnya ia akan membesar dan mungkin bergantung kepada 'walker'/tongkat sepanjang hayat. Seperti juga seekor rama-rama. Fasa membebaskan diri dari kepompong merupakan satu tempoh sukar dalam fasa tumbesaran dan keupayaan hidup seekor rama-rama. Jika ia gagal, atau pun dibantu, seekor rama-rama itu akan hilang upaya untuk mengembangkan sayap dengan sempurna, ataupun otot yang berfungsi mengibas sayapnya gagal berfungsi dengan kapasiti sepatutnya (flacid). Dan seterusnya rama-rama itu akan mengesot, dan gagal untuk meneruskan hidup.

Sebagai seorang muslim, kita percaya hidup ini adalah ladang bagi akhirat. Sunnatullah dalam bercucuk tanam di dunia tidak mudah, kerana ganjaran hasil tuaian di akhirat itu sangat besar. Tidak kira ibadah khusus seperti solat mahupun umum seperti bekerja dan makan, kita sentiasa diuji dalam pelbagai aspek, baik dari segi rohani (akidah) mahupun jasmani (fiqh dan akhlak). Maka, solusi dalam segala permasalahan semestinya bukan dengan duduk berdiam diri atau lari; tidak pun dengan menunding jari menyalahkan seluruhnya kepada pihak sekeliling. Tetapi yang seharusnya kita perlu bersedia dengan ilmu yang secukupnya, merancang strategi dan seterusnya bertindak. Mari kita renungkan firman Allah dalam surah al-Ankabut (surah laba-labah); ayat 2:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

4) Bijak memanipulasi keadaan sekeliling.



Seorang ninja perlu ringan. Tidak membawa beban yang berat. Maka dari sudut persenjataan ninja, ia sangat terhad dan tidak kompleks. Apa yang menyebabkan seorang ninja itu mampu menjayakan misinya adalah kemampuan memahami keadaan setempat dan menggunakan apa yang ada disekelilingnya sebagai 'alat' senjata tambahan. Simple, but lethal.

Adalah mustahil untuk setiap manusia menjadi sempurna. Kita mengimpikan berbagai perkara. Namun tidak semua dapat kita capai, disebabkan (antaranya) keadaan setempat yang tidak mengizinkan. Sebagai contoh, seorang pelajar ingin suasan kondusif untuk belajar. Senyap. Tapi dia sekarang berada dalam sebuah kelas, ketika waktu rehat. Bising. Dia boleh jadi akan turut hanyut dalam kemeriahan suasan rehat. Ataupun bijak menggunakan kemungkinan yang ada di sekolah itu untuk mewujudkan ruang kondusif untuk belajar. Antara solusi yang mungkin untuk itu adalah, jika pelajar itu mempunya tisu, maka dia boleh membuat sumbatan di telinga. Tidak pun, dia tahu yang surau/masjid bukan satu tempat yang popular untuk pelajar ketika rehat. Di situ ada ketenangan. Dan disitu ada peluang untuk belajar.

Dunia ini padat dengan teka teki kehidupan. Bagi yang melihat ia dari perspektif negatif, maka ia akan bertindak tidak sepatutnya, membenci, berputus asa, dan terus menerus membesarkan masalahnya tanpa penyelesaian yang baik. Walhal, jika dia melihat dari sudut positif, segala apa yang berlaku itu adalah peluang untuk mencapai redha Allah. Seperti kata bijak pandai; hidup sebagai seorang Muslim, hanya ada 2 kemungkinan pada pengakhiran amalnya: menang mencapai apa yang kita usahakan, atau syahid yakni ganjaran perjuangan ditangguhkan ke alam yang seterusnya, yang mana kekal abadi. A win-win situation. Maka, gunakanlah dunia sebagai alat untuk mencapai redha Allah.  Jadi, bagaimana untuk meggunakan 'ujian', sebagai contoh kesusahan untuk mencapai redha Allah? Sedar atau tidak, bila mana manusia itu dalam kesusahan, disitulah keadaan yang paling kondusif untuk dia merendahkan hati, dan doa seorang muslim menjadi mustajab apabila dia dalam kesusahan. Allah dengan sifat Maha PenyayangNya, menyediakan lapangan luas, hatta dalam kesusahan untuk mencapai kejayaan. Cuma ia berbalik kepada kita, untuk sedar atau tidak; dan menggunakannya peluang ini sebaik mungkin

Saturday, December 8, 2012

Kesan Solat Yang Khusyuk




Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam solatnya”

Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak solat yang didirikan oleh seseorang itu, tetapi malangnya dia tidak memperolehi pahala melalui solatnya itu. Sebaliknya oleh kerana mereka lalai ketika solat maka Allah SWT menjanjikan balasan api neraka pula kepadanya.

Nabi s.a.w bersabda lagi yang maksudnya: “Tidak ada ganjaran bagi seseorang hamba dalam solatnya kecuali sekadar mana yang ia ingat (khusyuk)”.

Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain. Jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dan puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan saja mereka akan kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai orang yang tinggi pekertinya, sentiasa menjaga dari melakukan perkara yang membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.

Begitu juga zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang. Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu mengeluarkan zakat.

Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai. Ini kerana ibadah haji melibatkan dua perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya namun kesan daripada ibadah haji itu jelas ketara, kerana dia terpaksa membelanjakan ribuan wang ringgit. Tubuh berasa letih dan wang habis.
Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang dinyatakan itu. Firman Allah dalam surah al-Ma’un, ayat 4-5:

“Maka celakalah bagi orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya”

Menurut Imam al-Ghazali, solat itu ialah munajat (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran disamping khusyuk dan tawadhuk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah SWT.

Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya seperti orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin dia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada Allah SWT kerana sebenarnya orang itu sedang menggigau. Sesungguhnya orang yang menggigau itu ialah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang akan diterima oleh Allah SWT, jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan pelbagai kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah SWT.



Disunting daripada Khusyuk Dalam SOLAT oleh TGNA, m/s 2-5

Tarbiyyah diri seorang Ninja (1)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...


Ninja merupakan individu atau pasukan yang mempunyai kemahiran tinggi dalam seni pertempuran di zaman Jepun lampau. Terkenal dengan kepantasan, kemahiran bersembunyi dan menyerang secara mengejut, ketepatan dan kemahiran tempur berdepan; ia menjadi salah satu kebanggaan sejarah Jepun disamping kaum samurai. Dan seni ninja pada zaman moden diadaptasi di dalam banyak buku dan karya komik Jepun (anime) seperti Naruto, Teenage Mutant Ninja Turtle, Flame of Recca, dan berbagai lagi.

InsyaAllah, penulisan entri ini tidaklah berfokus kepada cara-cara menjadi ninja sejati. Entri ini ingin membincangkan karekter-karekter diri yang membentuk seorang ninja yang dapat diambil oleh kita agar menjadi lebih produktif! :-)

1) Kemampuan dalam menguruskan kosentrasi.

Ninja perlu mempunyai kosentrasi yang tinggi. Kosentrasi ini penting dalam menentukan sesuatu misi yang dilaksanakan, sama ada berakhir dengan kejayaan dan kesempurnaan atau kegagalan yang kadangkala mengancam nyawa seorang ninja. Di sini, seorang ninja perlu mengabaikan segala perkara yang tidak berkaitan disekelilingnya, dan jelas akan matlamat, yang seterusnya dimanefestasi dengan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugas.

Sebagai mana kita dalam menempuh hidup yang penuh cabaran, seringkali kita diganggu oleh 'keindahan dunia'. Sebagai contoh, laman sosial facebook. Hampir menjadi kemestian setiap seorang muda mudi era ini mempunyai facebook. Facebook dapat menghubungkan kita kepada kawan-kawan, tidak kira di mana sahaja, dan dapat mengikuti perkembangan terkini dalam kekerapan setiap minit! Ia menjadikan facebook satu perkara yang menyeronokkan dan tidak keterlaluan jika dikatakan ia mampu membuat penggunanya ketagih jika tidak dikawal.

Kesan contoh (facebook) di atas ke atas kita sebagai seorang muslim amat ketara jika diamati sebaiknya. Kita cuba bekerja dengan tekun, namun atas ganggugan-gangguan ini, fokus yang diperlukan tidak dapat ditumpukan sepenuhnya kepada perkara utama; seperti belajar, membuat kerja sekolah, menulis repot, etc. Malah ia turut mengancam kualiti ibadah seharian kita. Sebagai seorang muslim, terminologi 'khusyuk' acap kali ditekankan dalam menghasilkan ibadah yang sempurna dan diterima di sisi Allah. Adakah mudah untuk khusyuk jika hati sentiasa bergelumang dengan persona dunia?

Selain itu, dengan melakukan sesuatu tanpa kosentrasi yang secukupnya, di mana kita melaksanakan 'multiple task' dalam satu-satu masa (kerja+facebook), kita akan mudah merasa 'tepu akal' dan lesu dalam jangka masa yang singkat. Sedangkan, hasil kerja kita, jika ingin dibandingkan dengan seorang yang bekerja secara fokus tanpa facebook pada jangka masa yang lebih singkat, adalah lebih cemerlang berbanding bersama facebook.

Mari sama-sama kita muhasabah diri, akan salah satu daripada rukun iman; iaitu percaya kepada hari akhirat. Satu agenda penting pada hari di mana segalanya dihisab, adalah kita dituntut untuk bertanggungjawab atas segala perkara yang kita laksanakan di dunia. Pilihlah di antara amalan yang tidak berkualiti ditambah dengan perkara yang melalaikan, ataupun amalan yang berkualiti, dan ikhlas untuk mencapai redha Allah

2) Ketenangan seakan seorang pertapa/ahli ibadah.

Ninja sentiasa menghadapi situasi-situasi cemas. Barangkali seorang ninja perlu melumpuhkan musuh yang berkali-kali ganda dari segi bilangan dan kekuatan. Ataupun terperangkap dalam muslihat musuh. Ketenangan ini membantu seorang ninja berfikir dengan jelas, dan memilih jalan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah. Setiap ninja berpegang kepada moto: setiap masalah punya jalan penyelesaiannya!

“Ketahuilah bahawa dengan mengingati ALLAH itu, hati akan menjadi tenang.” – ar Ra’ad : 28

Sebagai seorang insan yang normal, masalah adalah salah satu daripada warna dalam kehidupan. Mahu atau tidak, kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah, ragam, komplikasi dan ujian yang dijangka mahupun mengejut. Di sinilah pentingnya jiwa yang tenang. Manusia selalunya menggunakan dua unsur dalam menyelesaikan sesuatu masalah; iaitu akal dan hati (emosi). Akal itu ibarat kereta, dan emosi itu pemandunya. Emosi yang stabil (tenang) dapat membawa akal ke destinasi yang ingin dituju. Namun, emosi yang tidak stabil hanya membawa akal kepada kecelakan kepada pemiliknya.

Kombinasi akal dan ketenangan membantu kita untuk merancang dengan baik dan sentiasa bersedia. Sebagaimana pepatah melayu ada menyebut; sediakan payung sebelum hujan. Jiwa yang tenang membantu dalam menjadi seorang yang sedar dengan keadaan sekeliling. Keadaan ini membantu akal untuk memproses segala maklumat dan merancang jalan yang terbaik dalam menguruskan kehidupan seharian. Disamping merancang, ketersusunan dalam mengatur kehidupan memainkan peranan penting dalam usaha menjadi muslim yang cemerlang. Hidup yang tersusun membantu seseorang melihat dengan lebih jelas apa yang bakal dihadapi, dan mengurangkan kebarangkalian untuk melaksanakan kesalahan dalam sesuatu tugasan.

Dalam perspektif seorang muslim, kunci mencapai ketenangan yang hakiki adalah dengan kembali kepada yang Maha Berkuasa. Manusia sentiasa mencari jalan dalam mencapai kebahagiaan. Dan sangat menyedihkan apabila mereka menyalah guna segala nikmat dunia untuk matlamat ini, sehingga ada sesetengahnya melanggar batas-batas yang digariskan oleh Allah. Bahagia dalam erti kata yang sempurna itu apabila kita mencapai ketenangan hati dan bebas dari keterikatan dunia yang sentiasa memujuk nafsu yang tidak kenal erti puas. Maka, dengan mempercayai akan janji Allah di dalam surah ar-Ra'ad (ayat di atas), dan berusaha ke arah itu, insyaAllah, kejayaan yang kita buru pasti dalam genggaman!


Sunday, December 2, 2012

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (5 - akhir)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

5) Tidak mengikut hawa nafsu.

Walau apapun perubahan dan perbezaan pada hukum bagi fikah luar negara, perlu diingatkan segala perubahan dan perbezaan hanya berdasarkan kesedaran bagi mengamalkan Islam di mana sahaja kita berada. Titik tolak pada perbezaan itu perlu berdasarkan keimanan dan ketakwaan serta jauh daripada mengikut hawa nafsu dan perasaan mempermain-mainkan hukum syarak. Ini penting supaya kita sedar tujuan utama kehidupan kita di muka bumi ini adalah bagi mengabdikan diri kepada Allah melalui segala hukum syarak yang disyariatkan ke atas mereka.

Allah menyatakan dalam surah as Sad ayat 26 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, (ia) menyesatkan kamu daripada jalan Allah".

Kesimpulannya, berdasarkan dasar-dasar inilah fikah luar negara menjadi agak berbeza daripada fikah tradisional. Keunikan ini menjadikan fikah-fikah luar negara memudahkan umat Islam mengamalkan Islam di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa sahaja.


Allahu a'lam. Moga penulisan ini bermanfaat.

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (4)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

4) Darurat

Antara keindahan syariat Islam adalah ruang halal yang luas disediakan bagi umat Islam dan sedikitnya perkara yang haram. Kebanyakan perkara yang haram pula adalah perkara yang bahaya dan memudaratkan ke atas manusia seperti pengharaman arak, judi, riba, membunuh dan benda-benda kotor dan najis daripada dimakan.

Sesungguhpun perkara haram itu lebih kecil, tetapi Islam bersikap tegas pada perkara-perkara itu. Bukan hanya sekadar hukumnya haram, malah pada sesetengah perkara, hukuman yang berat dikenakan ke atas si pelaku. Islam juga bersikap tegas dengan mengharamkan perkara-perkara yang membawa kepada perlakuan perkara haram. Misalnya zina adalah haram, maka perkara-perkara yang membawa kepada zina juga adalah haram.

Contoh yang lain pula adalah pengharaman arak. Segala yang membawa kepada arak juga haram seperti orang yang memerah anggur bagi arak, menjual, membawa, menyediakan, malah bersama-sama dengan majlis yang dihidangkan arak juga haram.

Walaupun demikian, sebagai agama dan manhaj hidup yang meraikan kelemahan dan fitrah manusia, Islam masih memberikan ruang-ruang pengecualian bagi Muslim. Misalnya semasa berhadapan dengan situasi yang terdesak dan terpaksa melakukan perkara-perkara haram apabila mereka tidak mempunyai pilihan kedua.

Allah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud, "Dan sesiapa yang terpaksa dan bukan kerana melampau ataupun melampaui batas, maka tiada dosa ke atas mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih".

Ayat ini menerangkan mengenai pengecualian memakan makanan-makanan yang diharamkan untuk mereka yang berada dalam keadaan darurat dan tidak dilakukan dengan sengaja. Sepertinya juga empat ayat yang lain yang serupa dan seerti apabila Allah mengharamkan sesetengah perkara. Berdasarkan ayat-ayat itu, para fuqaha meletakkan kaedah fikah yang berbunyi, 'darurat mengharuskan perkara-perkara yang diharamkan'.

Kaedah itu walau bagaimanapun terikat dengan syarat yang ditetapkan oleh al-Quran iaitu, 'bukan kerana melampau atau melampaui batas'. Maknanya, keharusan melakukan perkara-perkara yang diharamkan seperti memakan mayat, daging babi ataupun yang seumpama denganya bukanlah sampai ke tahap melampau dan melampaui batas.

Oleh kerana itu, para fuqaha membenarkan seseorang yang terpaksa memakan daging babi semasa darurat supaya mengambilnya sekadar bagi menyelamatkan nyawa sahaja. Mereka melarang memakan daging babi sehingga kenyang ataupun mengambilnya dalam kuantiti yang banyak. Mereka juga meletakkan kaedah bagi syarat itu yang berbunyi, 'darurat diukur berdasarkan keperluannya'.

Keadaan yang dinamakan darurat itu juga ada kadarnya supaya tidak semua keadaan yang terpaksa atau sulit dikatakan sebagai darurat. Sebagai contoh, orang yang tidak ada wang menanggung keluarganya tidak boleh mencuri dengan alasan darurat sedangkan dia mampu bekerja. Ibu tunggal yang memerlukan duit menyara keluarga tidak boleh melacur sedangkan beliau masih lagi mampu bekerja dan mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib.

Keadaan yang dinamakan darurat adalah apabila orang itu tidak menemukan pilihan kedua apabila berada dalam situasi yang membahayakan nyawa dan anggota tubuhnya ataupun orang lain. Selain daripada keadaan ini, ia tidak dinamakan darurat.

Kadangkala keadaan yang menyukarkan walaupun tidak membawa pada situasi yang membahayakan nyawa ataupun anggota, ia masih dikira sebagai darurat terutamanya dalam persoalan ibadat. Contohnya, orang yang dipenjarakan tidak ada tempat yang suci dan pakaian yang lengkap bagi menunaikan solat, kewajipan solat tidak lupus. dalam keadaan sebegitu, dia wajib menunaikan solat dalam keadaan yang terbaik bagi dirinya. Solat itu dikira sah kerana dia berada dalam keadaan darurat.

Masalah yang hampir sama juga mungkin dihadapi oleh mereka yang tinggal dikawasan yang sejuk seperti di Russia yang kadangkala melampaui negatif 20 darjah celcius dibawah takat beku. Mustahil bagi mereka yang berada dalam keadaan sesejuk ini berwuduk apabila mereka berada di luar rumah seperti di universiti ataupun di tempat kerja.

Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah sebegini, mereka boleh bertayammum dan meninggalkan waduk sebab keadaan darurat. Pelbagai persoalan lain seumpama ini mungkin dihadapi oleh mereka yang tinggal di luar negara. Oleh yang demikian, kepercayaan darurat ini begitu diperlukan umat Islam yang berada di luar negara.

Thursday, November 29, 2012

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (3)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

3) Rukhsah

Rukhsah ialah hukum yang disyarakkan dengan hukuman yang lebih ringan dalam situasi yang ditetapkan. Makna lain ialah hukum yang mengharuskan perbuatan haram sebab situasi tertentu tanpa menjejaskan hukum asal semasa situasi biasa.

Antara contoh bagi rukhsah pula adalah:



a. Orang yang bermusafir boleh melakukan jamak atau mengumpulkan antara dua solat. Selain itu boleh qasar iaitu memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat.



b. Orang yang bermusafir juga dibenarkan berbuka puasa dan menggantikannya pada waktu yang lain sebagai kelonggaran semasa bermusafir.



c. Orang yang dipaksa mengucapkan kalimah kufur dapat mengucapkannya demi menyelematkan nyawa.

Banyak lagi persoalan lain yang termasuk dalam kategori rukhsah terpaksa dihadapi oleh mereka yang tinggal di luar negara. Oleh yang demikian, rukhsah adalah salah satu daripada dasar yang penting dalam perbincangan fikah luar negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...