Social Icons

Sunday, April 1, 2012

Belajar SYUKUR daripada buah tembikai


Belajar dan belajar, itulah yg kita lakukan setiap hari tidak kira siapa kita; bapa, ibu, boss, pekerja, cikgu, pelajar, penjual dan pembeli, pembuat kek, "casher", pemandu lori, "cleaner", pak "Guard", "nelayan, pekebun, pelukis dan ramai lagi. MasyaAllah tak mampu nak tulis semua, membayangkan betapa ramainya manusia di bumi ini dan macam-macam pekerjaan mereka.

Kalau student apatah lagi. Setiap harinya membaca ilmu, meneliti ilmu, memahami ilmu, menulis ilmu, mengguna ilmu dan mengajar ilmu. Lingkungan hidupnya penuh dengan ilmu. Namun bukanlah ilmu itu hanya ilmu-ilmu yang kita pelajari dari buku-buku sains, matematik, agama dan sastera semata-mata. Bukan juga hanya daripada, lecture, seminar, internet dan kuliah. 

Mereka yang sentiasa berzikir(ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka"  Ali Imran: 191

Percaya atau tidak, kita boleh belajar walaupun kita sedang duduk seorang diri, dalam bilik, di meja makan, di bangku taman atau di tepi sungai. Allah telah menciptakan kita dengan pelbagai deria. Deria nampak, bau, sentuh, rasa dan dengar. Dan deria inilah yang boleh kita gunakan untuk belajar.

Belajar SYUKUR daripada buah tembikai


Seorang lelaki soleh pulang ke rumah dengan membawa sebiji tembikai( ada orang panggil timun Cina :)). Dia membeli buah itu dari sebuah pasar. Isterinya membelah tembikai itu dan merasanya: "tawar". Lalu isterinya terus-terusan merungut. 

Melihat isterinya yg merungut itu, suami berkata: "Saya membeli tembikai itu dari pasar"
Isteri: "Saya tau"
Suami: " pada pendapat awak, semasa saya membeli tembikai tadi, saya nak yang manis atau yang tawar?"
Isteri: " Tentulah yang manis"
Suami:" Ketika penjual sedang menjual tadi, agaknya mereka nak menjual yang manis atau yang tawar?"
Isteri: "Tentulah mereka ingin menjual yg manis"
Suami terus lagi bertanya: " Ketika peraih(aka org tengah) ingin menjual kepada penjual di pasar, mereka agaknya ingin menjual yang manis atau yang tawar?"
Isteri: "Mesti yang manis"
Si suami diam sejenak...
Kemudian dia menyambung." Ketika pekebun menanam tembikainya, adakah dia mahu tembikai yang tumbuh nanti manis atau tawar?"
Isteri: " Tentu yang manis, pastinya."
Suami:" Ketika awak membelah buah ini tadi, awak inginkan yang manis atau yang tawar?"
Isteri: "Mesti saya ingin yang manis. Kenapa dengan semua soalan ini?" soal isteri.

Orang soleh itu tersenyum pada isterinya. Lalu dia berkata:
"Ketika semua orang inginkan buah yang manis,sebaliknya pula yang berlaku.Buah tembikai itu tawar rasanya!"
Isteri orang soleh itu terdiam.

Marahkan siapa?

'Jadi ketika awak marah tentang rasa tembikai yang tawar, awak sebenarnya marahkan siapa? Bukankah semua orang inginkan buah yang manis. Tetapi kuasa Allah memutuskan buah itu tawar rasanya, Jadi awak marahkan siapa? Marahkan saya yg membeli, atau penjual yang menjual atau awak yang membelah atau pekebun yg menanam? Atau Allah yang menentukan rasa tawar?"

Adab ketika makan: Janganlah kita mengecam, mengutuk makanan walaupun makanan itu tidak sedap. Kalau kita tak suka, kita tinggalkan sahaja. Pengajarannya: kita faham bahawa rezeki kita dapat yang manis atau tawar, sedap atau tidak, semuanya ditentukan Allah. Jika kita mengecamnya, ramai orang akan terasa hati. Mungkin emak atau isteri yang memasak terasa hati. atau mungkin ayah yang membeli terasa hati. Dan lebih-lebih lagi tanpa kita sedar, kita seolah-olah "mengecam" Allah yg mengurniakan rezeki itu kepada kita.

Kita mestilah belajar bersyukur. Jika kita tidak bersyukur dengan yang sedikit, mana mungkin kita akan bersyukur dengan yang banyak?

Saya terbaca cerita menarik ini dari karangan penulis Pahrol Mohd Juoi; Nota FIKIR untuk ZIKIR.

Ada pengajaran rupanya daripada buah  bulat berbelang-belang tu. Saya pun tak pernah terfikir sebelum ini.
Mungkin kalau kita mahukan buah yang manis, kita perlu belajar daripada orang yg berpengalaman macam mana nak pilih buah yang manis. Ada beberapa buah yang kita boleh "detect" kemanisanya dari rupa dan bau. Ada yang main ketuk-ketuk buah tembikai nak tau bnyak air atau tak. Wallahua'lam. kita boleh berusaha. Namun kalau sudah beli, tapi tawar atau tak elok, jangan kita merungut banyak. Mari belajar bersyukur. Kurangkan marah-marah dan merungut, insyaAllah tekanan darah pun tak naik :)

Sunday, March 18, 2012

Lelaki tua dan cucunya

0955
Pada suatu pagi yang indah di Karlovo Namesti.
Saya bergerak ke tram stop di hadapan apartment saya, untuk memenuhi janji ke "taman-taman syurga"; jemputan mingguan yang sememangnya amat saya sukai. Saya tahu yang saya hampir terlepas masa yang dijanjikan, lantas mesej dihantar kepada sahabat, memaklumkan bahawa saya mungkin terlewat.


1010
Saya mula resah. Tram yang sepatutnya sampai 10 minit lepas tidak kunjung tiba. Mungkin kerana hujung minggu, hari orang tidak bekerja. Meskipun begitu, hati merungut kerana tram yang tidak menepati jadual. "Nak pergi majlis ilmu pun payah," hati kecil berdetik.
Tiba-tiba minda mengingatkan : 

وَعَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ:وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقًايَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا,سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا إِلَى الجَنَّةِ
Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, sesungguhnya Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (H.R Muslim)

Segera saya beristighfar. Hadis ringkas, yang selalu dibacakan tatkala mendengar perkongsian daripada sahabat dan senior. Hadis ringkas, yang dengannya, Allah turunkan ketenangan dan kegembiraan kepada jiwa saya.  

Lantas saya alihkan pandangan kepada penduduk tempatan yang turut resah menunggu tram bersama-sama saya. Perhatian saya tertumpu kepada seorang lelaki tua dengan 3 orang anak kecil. Semuanya perempuan. Saya kira lelaki tua itu adalah datuk kepada anak-anak tersebut. Saya perhatikan salah seorang gadis kecil yang sedang memegang sesuatu di tangannya. Sesuatu yang bersinar; mungkin kaca, mungkin kristal murah. Yang pasti, objek berbentuk kucing itu menyenangkan hatinya. Gadis kecil itu adalah anak istimewa. Sememangnya dia lebih asyik dalam dunianya di tengah-tengah kesibukan orang ramai.

Telefon berbunyi menandakan masuknya mesej dari sahabat. Dalam masa beberapa saat perhatian saya teralih, terdengar satu bunyi di tengah-tengah kesibukan jalan di Karlovo Namesti. 

Saya lihat objek mainan gadis kecil itu tergolek di tengah jalan, entah bagaimana terjatuh, saya tidak tahu. Dilanggar pula oleh sebuah kereta, terpecah dua. Dilanggar lagi oleh beberapa kenderaan lain, hancur satu bahagian daripada pecahan itu. 


Saya perhatikan pandangan sayu gadis kecil itu. Saya lihat pula si lelaki tua; datuknya, yang turut memerhatikan nasib mainan itu di tengah jalan. Sememangnya tak dapat diselamatkan lagi.
Saya terkejut. Terkejut bila melihat lelaki tua tersebut melangkah ke tengah jalan. "Apa yang mahu dibuatnya di tengah-tengah jalan yang sibuk itu?" minda bertanya. Ternyata si lelaki tua mengutip satu bahagian mainan anak itu yang masih belum hancur. Minda separuh menyangka bahawa dia akan menghulurkan cebisan itu kepada cucunya. Namun tidak.
Lelaki tua itu meletak cebisan tersebut di tepi jalan. Kemudian dia kembali kepada cucu-cucunya.
"Subhanallah!" hati berseru.

يَا رَ سُوْ لَ الله ِدُ لَّنِي عَلَى عَمَلٍ أَ نْتَفِعُ بِهِ قَالَ:اِعْزِلْ الْأَ ذَى عَنْ طَرِ يْقِ الْمُسْلِمِيْنَ
“Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang dapat bermanfaat bagiku.” Beginda menjawab, “Singkirkanlah gangguan dari jalan-jalan kaum muslimin.” (H.R Muslim)
Sungguh saya terkesan dengan perbuatan lelaki tua tersebut. Betapa sesungguhnya di bumi asing ini, saya diingatkan kembali akan ajaran agama yang menyuruh kita menjaga kemaslahatan umat, diingatkan kepentingan agar saling menjaga di kalangan saudara, diingatkan akan hadis junjungan besar mengenai cabang-cabang iman : 
Iman itu ada 73 cabang; yang paling tinggi adalah kalimah La Ilaha Illallah dan yang paling rendah adalah menyingkirkan duri dari jalan.
1015
Tram yang dinanti akhirnya tiba. Saya kemudiannya menuju ke tempat pertempuan dengan sahabat, meninggalkan lelaki tua itu dengan cucu-cucunya.
Saya mendapat pengajaran yang amat bermakna pada pagi itu.


Orang bukan Islam punya kesedaran untuk membantu orang di sekelilingnya. Lantas, kita sebagai Muslim hendaklah lebih-lebih lagi berusaha untuk menjaga kemaslahatan umat, kerana sesungguhnya kita dibekalkan dengan mutiara aqidah Islamiyah yang tidak dipunyai oleh mana-mana umat lain.


Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ada seseorang laki-laki yang melewati ranting berduri berada di tengah jalan. Dia mengatakan, ‘Demi Allah, aku akan menyingkirkan duri ini dari kaum muslimin sehingga mereka tidak akan terganggu dengannya.’ Maka Allah pun memasukkannya ke dalam surga.” (Riwayat Imam Muslim)


Dalam riwayat lain, juga dari Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW telah bersabda, “Sungguh, aku telah melihat seorang laki-laki yang tengah menikmati kenikmatan di syurga disebabkan ia memotong duri yang berada di tengah jalan, yang duri itu mengganggu kaum muslimin.” 

Tuesday, March 6, 2012

Sejengkal Lebih Dekat ke Syurga

Kisah ini masyhur di kalangan orang- orang soleh, namun kesahihannya tidak dapat dipastikan. Walaupun begitu, ambillah iktibar dari kisah ini. Semoga Allah memberkati usaha kita untuk memperbaiki diri.

Pernah wujud suatu ketika dahulu, seorang lelaki yang amat kejam. Dia pernah membunuh 99 orang. Pada suatu masa dia teringat akan dosa-dosanya dan mahu minta ampun daripada Allah, tetapi dia ingin tahu apakah Allah masih mahu menerima taubatnya.

Dia pun pergi berjumpa dengan seorang alim di kampungnya bagi mendapatkan jawapan berkenaan kemusykilan itu.

Orang alim itu menyuruhnya pergi bertanya kepada seorang paderi yang dapat mendegnar masalahnya, lalu dia pun pergi mencari paderi itu.

Apabila berjumpa dengan paderi itu, orang jahat itu pun berkata, "Saya sudah membunuh 99 orang. Adakah saya masih boleh bertaubat lagi?"

"Tidak akan ada taubat lagi bagi orang yang seperti kamu," jawab paderi itu.

Lelaki itu naik marah lalu dibunuhnya paderi itu. Sekarang sudah genap 100 orang dibunuhnya.

Kemudian dia pergi semula kepada orang alim di kampungnya. Dia disuruh pergi berjumpa dengan seorang alim lain.

Dia pun pergi mencari si alim itu dan berkata kepadanya, "Saya sudah membunuh 100 orang. Adakah saya masih boleh bertaubat?"

"Boleh!" jawab orang alim itu. "Siapakah yang dapat menghalang tuan daripada bertaubat?"

Kemudian orang alim itu berkata lagi, "Sekarang tuan pergilah ke daerah Fulan. Di sana ramai orang menyembah Allah. Tuan ikutlah mereka bersama- sama mernyembah Allah. Jangan tuan pulang ke kampung tuan, kerana di sana tempat tinggal ramai orang yang jahat."

Lelaki itu pun memulakan perjalanannya menuju ke daerah Fulan, tetapi di pertengahan jalan, dia meninggal dunia.

Pada saat itu Malaikat Rahmat berselisih pendapat dengan Malaikat Azab.

"Lelaki ini sudah menuji kepada Allah untuk bertaubat dengan sepenuh hatinya," kata Malaikat Rahmat.

"Lelaki ini tidak pernah melakukan sebarang kebaikan sama sekali," kata Malaikat Azab.

Datang seorang malaikat lain dalam bentuk manusia. Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab melantik malaikat ketiga itu menjadi hakim bagi mereka.



"Ukurlah jarak antara dua tempat itu, yakni antara kampung asalnya dengan daerah Fulan yang ditujunya, jarak mana yang lebih dekat, itulah keputusannya," kata malaikat yang menyerupai manusia itu.

Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab pun mula mengukur kedua-dua jarak itu. Mereka dapati lelaki itu lebih dekat satu jengkal sahaja kepada daerah Fulan di mana para penduduknya menyembah Allah.

Dengan itu, rohnya diambil oleh Malaikat Rahmat dan dosa-dosanya diampunkan oleh Allah.

Usaha lelaki tersebut untuk membaiki dirinya telah dibalas oleh Allah. Allah telah mentakdirkan si lelaki tersebut mati pada jarak hanya sejengkal lebih ke arah daerah Fulan tersebut.
Subhanallah, Maha Suci Allah. Allah Maha Pengampun segala dosa.

Tawaduk: Jati Diri Muslim


Islam menganjurkan umatnya memiliki ciri-ciri peribadi yang mulia seperti tawaduk, sentiasa bertakwa pada Allah dan bersikap qanaah. Tawaduk  harus menjadi hiasan diri setiap muslim kerana ia melambangkan berilmu. Seseorang tidak menyombong diri malah mudah mesra dan lembut dalam berhubung dengan orang lain.
Sifat tawaduk adalah sunnah Nabi saw. Jika kita meneliti sikap Nabi saw dalam melalui kehidupannya maka kita akan menjumpai nilai-nilai tawaduk yang murni itu. Hal itu dijelaskan oleh Ja’afar al Barzanji dalam kitabnya yang terkenal iaitu Kitab Barzanji menyatakan, “Rasulullah saw itu sopan santun orangnya, suka merendah diri serta tidak menolak pekerjaan biasa untuk dikerjakan olehnya. Baginda juga menjahit sendiri kasutnya, menampal kain atau bajunya yang koyak. Baginda juga memerah susu kambingnya, malah Nabi saw telah menunaikan segala kewajipan terhadap ahli rumahnya dengan baik”.
Dalam bahagian yang lain Ja’afar al Barzanji melukiskan lagi perwatakan Nabi saw yang bersikap tawaduk dalam melalui kehidupan seharian. “Rasulullah saw sangat menaruh kasihan belas kepada fakir miskin malah kerap duduk bersama-sama mereka dengan merendahkan diri baginda.” Dan sikap tawaduk Nabi saw ini jugalah menjadi faktor pemangkin kepada mudahnya Islam diterima. Justeru, kita sebagai muslim beriman sewajar mengikuti contoh yang telah ditunjukkan Nabi saw.
Masyarakat Melayu memang terkenal dengan amalan seperti budi pekerti, akal budi, budi bahasa dan sebagainya. Inilah adat dan amalan budaya yang menepati makna tawaduk itu dan seharusnya masyarakat Melayu kekalkan dan dihidup-suburkan ke dalam jiwa generasi muda. Ia harus diterapkan sejak anak-anak masih kecil agar menjadi kebiasaan. .
Imam al Ghazali mewasiatkan kepada kita yang katanya , “Menanamkan iman dalam diri anak merupakan kewajipan orang tua. Anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitif dengan Tuhan. Apabila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa”.  Ini jelas menggambarkan betapa pentingnya setiap ibu bapa itu mendidik anak-anak mereka dengan sifat tawaduk agar mereka membesar dalam etika tatalaku dan sahsiah peribadi yang menepati kehendak agama yang sentiasa ingat kepada Allah dan takut untuk berbuat dosa.
Jika kita perhatikan dalam suasana hidup sesetengah golongan muda sekarang, nilai tawaduk semakin terhakis dan rasa malu itu sudah menipis. Sebab itulah pelbagai gejala sosial timbul dan mengancam kelangsungan iman. Apabila sikap tawaduk ditinggalkan, maka umat Islam akan menjadi umat yang hidup mementingkan diri, berperangai sombong, takabur dan tanpa segan-segan melakukan dosa. Kata Ibrahim bin Syaiban, “Kemuliaan ada pada tawaduk, kekuatan ada pada takwa dan kebebasan ada pada qana’ah”. Manakala Sufian At-Thauri pula menegaskan bahawa,  “Makhluk yang paling mulia jiwanya ialah alim yang zahid, faqeh yang sufi, kaya yang tawaduk dan fakir yang syukur.
Ingatlah pesan Allah dalam Surah Al-Furqan ayat 63 yang bermaksud, “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya) ialah mereka orang yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka. Mereka menjawab dengan kata-kata yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.”
Demikianlah sikap tawaduk yang mesti dihayati di jiwa setiap insan yang beriman agar dapat menjadi contoh terbaik dan bersesuaian dengan anugerah Allah kepada umat Islam dengan gelaran umat yang terbaik.

Sunday, February 26, 2012

Ashabatul Hamra'

     Ashabatul hamra' atau si ikat kepala merah merupakan gelaran yang diberikan kepada salah seorang sahabat nabi yang sangat berani di medan perang iaitu Abu Dujanah. Beliau diberi gelaran itu kerana setiap kali di medan pertempuran beliau akan mengikat kepala beliau dengan kain merah yang bertuliskan: nashrun minAllah wa fathun qarib( pertolongan dari Allah SWT dan kemenangan telah dekat). 
     Kehebatan beliau di medan perang terserlah ketika di medan Uhud. Dalam satu peristiwa ketika perang Uhud, bagi membakar semangat para sahabat, Rasulullah SAW telah menawarkan pedang baginda kepada   para sahabat. Ramai sahabat yang bangkit untuk mengambilnya termasuklah Abu Dujanah. Atas kepahlawanan beliau, Rasulullah SAW menyerahkan pedang tersebut kepada Abu Dujanah. Setelah menerima pedang tersebut, beliau mengikat kepalanya dengan kain merah dan berjalan mengembangkan diri di tengah-tengah barisan. Ketika itulah, Rasulullah SAW berkata "sesungguhnya perbuatan itu merupakan perbuatan yang sangat dibenci Allah SWT, kecualilah di tempat ini". 

     Tentera musrikin sendiri mengetahui bahawa kalau Abu Dujanah telah mengenakan ikat kepala merahnya, bermakna dia siap berperang bermati-matian. Beliau membunuh setiap musrikin yang ditemuinya dan menerjang barisan kaum musrikin tanpa sekelumit rasa gentar. Walaupun beliau kelihatan sangat rakus dalam memerangi musuh Allah, tidah semua musuh Allah dibunuhnya. Ketika di medan Uhud, ketika Abu Dujanah siap menghayunkan  pedangnya untuk melibas, ternyata tentera musrikin tersebut adalah seorang wanita. Abu Dujanah meletak pedang di atas kepala wanita itu dan kemudian menariknya. Beliau tidak sanggup mempergunakan pedang Rasulullah SAW untuk membunuh wanita. Ternyata wanita Quraisy tersebut adalah Hindun binti Utbah.
        Keberanian dan kesetiaannya pada Rasulullah SAW juga dapat dilihat ketika saat genting di bukit Uhud dimana tentera musrikin beramai-ramai memusatkan serangan mereka keatas Rasulullah SAW dan bercita-cita membunuh baginda. ketika itu hanya beberapa sahabat bersama-sama baginda termasuklah Abu Dujanah. Abu Dujanah berdiri tegak di hadapan Rasulullah SAW menjadikan belakangnya sebagai perisai untuk melindungi beliau. Beberapa anak panah menancap di belakangnya, namun dia tetap berdiri tidak bergerak. Antara sahabat lain adalah Thalhah bin Ubaidillah yang bermati-matian melindungi baginda sehinggakan Rasulullah SAW berkata "siapa yang ingin melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi, maka lihatlah Thalhah bin Ubaidillah".
           Semoga keberanian Abu Dujanah ini dapat dijadikan pembakar semangat dalam memperjuangkan agama Allah ini. Allahu'alam

dipetik dari buku belajar dari perang Uhud




Friday, February 24, 2012

ibadah yang mudah: DIAM dan berakhlak mulia

"eh kau ni, mesti tak penah basuh baju tu kan? Kotor betul aku tgk!" mencebik mulut..

"aku baru je terjatuh lagi tadi, yang semalam tu aku basuh dah"...sambil tersenyum..

Benarlah kadangkala apa yang kita sangka itu salah, jangan laju sangat mulut tu menempelak dan memberi tuduhan kerana itu bisa menyakitkan hati, meretakkan hubungan, mengeruhkan keadaan, dan yang paling takut, menambahkan dosa,
Di Riwayatkan bahawa Umar bin Khatab melihat Abu Bakar As Sidiq menarik lidaahnya dengan tangannya, lalu Umar bertanya,"apa yang anda lakukan, wahai khalifah Allah?"
Beliau menjawab, "Ada sumber yang menjelaskan kepadaku bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda,

"Tidak ada satupun dari anggota tubuh melainkan semuanya menyampaikan pengaduan kepada Allah atas ketajaman lidah"
Dari Ibnu Mas'ud bahawa dirinya berada di atas bukit Safa membaca talbiyah dan berkata,
"Wahai lidah, katakanlah yang baik, engkau akan beruntung. Diamkanlah yang buruk, engkau akan selamat sebelum engkau menyesal." Ada yang bertanya kepadanya
"Wahai Abdirrahman, apakah ini engkau yang mengatakannya atau pernah engkau dengar?"
Lalu beliau menjawab, "Tidak, tetapi pernah aku dengan Rasulullah SAW bersabda,

"Sesungguhnya kebanyakan dosa manusia itu (bersumber) pada lidahnya" 


Astagfirullah hal 'Azim,,,moga kita sentiasa menjaga tutur kata kita
jadi, bayangkan kita punya limit perkataan untuk ditulis di 'wall' facebook atau untuk bertutur setiap hari, 
supaya...kita lebih memilih untuk menulis dan bercakap..
Sabda Rasulullah SAW: "SIMPANLAH lidahmu kecuali untuk yang baik, sebab dengan begitu engkau telah mengalahkan syaitan": At tabrani

KESIMPULAN :

Rasulullah SAW: "Maukah kamu kuberitahukan ibadah yang paling mudah dan ringan di badan? iaitu DIAM 


dan BERAKHLAK BAIK"



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...