Umar bin
Abdul Aziz merupakan khalifah kelapan dalam bani Umaiyyah. Diberi jolokan
sebagai khulafa’ ar rasyidin kelima. Seorang yang sangat masyhur dalam sejarah
umat Islam sebagai seorang pemimpin yang sangat mementingkan keadilan.
Umar bin
Abdul Aziz, daripada keturunan Umar Al-Khattab
Umar Al-Khattab
sebagaimana yang kita tahu pada malam hari sering kali keluar pada malam hari
di kota Madinah mebuat rondaan untuk melihat nasib rakyatnya sendiri. Maka pada
satu malam beliau telah terdengar satu perbualan antara seorang gadis dengan
ibunya.
“Masukkanlah
air kedalam susu ini sebelum waktu fajar.”
“Jangan
ibu. Tidakkah Amirul Mukminin telah melarang hal ini, supaya jangan dicampurkan
air dengan susu.”
“Eh, orang
lain juga semua buat. Kalau kita buat pun manalah Amirul Mukminin semua benda
tahu.“
Gadis itu
kemudiannya menjawab dengan satu kata-katanya yang masyhur.
“Jika
Amirul Mukminin tidak nampak, maka Tuhan Amirul Mukminin yang nampak.”
Umar,
apabila mendengar kata-kata ini, menangis, mengenangkan baiknya gadis ini.
Lalu sebaik
Umar pulang ke rumah, dipanggil anaknya yang bernama Ashim, diceritakan kisah
ini dan diberinya arahan.
“Wahai
Ashim pergilah ke rumah perempuan tersebut dan kahwinlah dia. Aku berharapkan
agar Allah mengeluarkan daripada keturunan perempuan ini, seorang tokoh yang
akan memimpin orang-orang Arab dan orang-orang Ajab.”
Ashim
patuh, dikahwininya gadis tersebut, Ummu Amarah namanya, dan hasil daripada
perkahwinan ini lahirlah seorang gadis, bernama Laila. Laila kemudiannya
berkahwin dengan seorang bangsawan, gabenor Mesir bernama Abdul Aziz, daripada
bani Umaiyyah. Dan daripada perkahwinan ini lahirlah Umar bin Abdul Aziz.
Kisah
Umar bin Abdul Aziz
Umar
dibesarkan dalam persekitaran keluarga bangsawan, ayahnya gabenor, sepupunya
khalifah. Hidupnya dikelilingi dengan kemewahan, namun begitu, beliau cenderung
dan gemar mendalami ilmu agama. Sering kali merantau ke Madinah dan berguru
dengan tokoh-tokoh terkemuka, sehinggalah akhirnya beliau dilantik menjadi
gabenor Madinah yang di sayangi rakyat.
Umar
mempunyai hubungan yang baik dengan khalifah pada masa itu, Sulaiman bin Abdul Malik.
Umar yang wara’ disayangi khalifah, kerana bagus pemerintahannya. Dan mereka
selalu bersama-sama.
Satu hari
Umar dibawa oleh khalifah melawat markas tentera bani Umaiyyah. Tentera bani
Umaiyyah pada masa itu cukup hebat, hebatnya sehingga satu per empat dunia di bawah
kekuasaan mereka.
Bertanya
Sulaiman akan pendapat Umar mengenai tentera mereka.
“Apa yang
sedang engkau lihat Umar Abdul Aziz?”
“Aku sedang
melihat dunia itu sedang memakan antara satu sama lain, dan engkau adalah orang
yang bertanggungjawab dan akan dipersoalkan oleh Allah mengenainya.”
“Apa?! Engkau
tidak kagumkah dengan hebatnya pemerintahan kita ini? Yang telah kita bina.”
Jawab Umar.
“Bahkan
yang paling hebat dan mengkagumkan adalah orang yang mengenali Allah kemudian
menderhakainya, mengenali syaitan kemudian mengikutnya, mengenali dunia
kemudian dia condong kepadanya.”
Jawapan
Umar ini sebenarnya sangat mengkagumkan Sulaiman. Dan ini mendorong beliau untuk
melantik Umar sebagai penggantinya kelak. Sulaiman mempunyai seorang menteri, Rajak
bin Haywah. Seorang yang soleh dan baik dalam menasihati pemerintah. Ketika Sulaiman
sedang sakit, sebelum wafat, beliau telah meminta nasihat daripada Rajak
tentang siapakah yang sesuai untuk menjadi penggantinya.
“Aku sedang berfikir bagaimana aku hendak serahkan urusan
pentadbiran kaum muslimin selepas kematianku nanti”
“Wahai Amirul Mukminin, antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya adalah apabila dia
melantik orang yang soleh memerintah kaum muslimin”
“Kalau begitu apa
pendapatmu mengenai Umar?”
“Aku berpendapat dia seorang yang baik, muslim
yang mulia, sukakan kebaikan dan sukakan orang-orang yang baik. Cuma aku
bimbang saudara-saudaramu tidak bersetuju dengannya”.
“Nampaknya
begitulah.”
Lalu Sulaiman bin Abdul
Malik mengambil langkah politik agar cadangan itu mendapat sokongan kaum
keluarganya yang mencengkam pemerintah Bani Umayyah ketika itu dengan
mencadangkan Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah, sementara adik Sulaiman
iaitu Yazid bin Abdul Malik sebagai timbalan. Beliau menulis surat rasminya
seperti berikut:
“Bismillah al-Rahman al-Rahim, ini surat Sulaiman bin Abdul
Malik untuk Umar bin Abdul Aziz. Aku telah melantiknya menjadi khalifah selepasku,
dan selepasnya Yazid bin Abdul Malik. Kamu semua dengar dan taatlah kepadanya.
Jangan kamu berselisih pendapat nanti musuh-musuh akan bertindak ke atas kamu.”
Dipanggilnya
semua gabenor dan pembesar bani Umaiyyah. Dalam keadaan kesemua mereka tidak
mengetahui isi kandungan surat, Sulaiman memerintahkan agar mereka semua
berbaiah dengan orang yang diwasiatkan sebagai pengganti di dalam isi surat
tersebut.
Selepas
kewafatan Sulaiman, ribuan rakyat berkumpul untuk melihat isi kandungan surat. Dan
sebaik surat dibuka, nama Umar bin Abdul Aziz dibaca. Semua orang terdiam. Umar
yang terkejut menolak.
“Sesungguhnya
jawatan ini diserahkan kepadaku tanpa bermesyuarat denganku dan tidak pernah
aku meminta, dan juga tidak pernah bermesyuarat dengan kamu semua. Sesungguhnya
aku mencabut baiah setia yang ada di tengkuk-tengkuk kamu. Pilihlah siapa yang
kamu mahu.”
Namun semua
rakyat menolak permintaan Umar dan tetap ingin berbaiah dengan Umar. Lemah
semangat Umar, rungsing dan menangis
mengenangkan betapa beratnya tanggungjawab seorang khalifah.
Selepas
menguruskan jenazah Sulaiman, dalam keadaan kepenatan beliau pulang ke rumah,
ingin berehat buat seketika. Pada ketika itu, masuklah anaknya, Abdul Malik, berusia
15 tahun.
“Apa yang
ayah sedang lakukan?”
“Wahai
anakku, ayahmu ini terlalu letih menguruskan jenazah dan ayahmu tidak pernah
merasai satu keadaan yang tubuhnya begitu penat lebih daripada waktu ini.”
“Jadi apa
yang ayah akan buat?”
“Ayah akan
tidur sekejap sehingga masuk waktu Zohor dan selepas itu ayah akan keluar untuk
bersembahyang dengan umat Islam.”
Berkata
anaknya.
“Wahai ayahku,
Amirul Mukminin, siapa yang menjamin Amirul Mukminin untuk hidup sehingga waktu
Zohor sedangkan sekarang adalah kewajipan Amirul Mukminin untuk pergi
mengembalikan hak-hak orang yang dizalimi? Siapa yang menjamin sehingga waktu
Zohor Amirul Mukminin tidak akan mati?”
Terbangun
Umar mendengar kata anaknya, lalu memanggil dan mencium kedua belah mata
anaknya, dan bersyukur kepada Allah.
“Segala
puji kepada Allah, yang telah mengeluarkan daripada keturunan aku, orang yang
menolong aku di atas agamaku”
Dan
kemudian mentadbirlah Umar bin Abdul Aziz dengan penuh gemilang selama 2 tahun
5 bulan 5 hari. Ajaib pemerintahannya, negara kaya raya dalam tempoh begitu
singkat, sehinggakan tidak ada yang layak menerima zakat.
Sebelum kewafatan
Umar
Umar
meninggal ketika usia 36 yahun dan beliau tidak mewasiatkan apa-apa kepada
anaknya.
Dalam satu
kisah, sebelum kematian, beliau telah ditanya.
“Wahai Amirul
Mukminin, tidakkah engkau ingin mewasiatkan sesuatu kepada anak-anakmu?”
“Apa yang
ingin aku wasiatkan? Aku tidak memiliki apa-apa.”
“Mengapa
engkau tinggalkan anak-anak engkau dalam keadaan tidak memiliki?”
“Anak-anakku,
jika mereka orang-orang soleh, Allah lah yang menguruskan orang-orang soleh.
Jika mereka orang-orang yang tidak soleh, aku tidak ingin meninggalkan hartaku
di tangan orang-orang yang menderhakai Allah dan menggunakannya untuk
menderhakai Allah.”
Umar
memanggil anak-anaknya dan berkata.
“Wahai
anak-anakku, sesungguhnya ayahmu telah diberi dua pilihan. Yang pertama
menjadikan kamu semua kaya (dengan menggunakan wang rakyat) dan ayahmu masuk
neraka, yang kedua menjadikan kamu semua miskin, seperti sekarang, tetapi
ayahmu masuk ke dalam syurga. Sesungguhnya wahai anak-anakku, ketahuilah bahawa
aku telah memilih syurga.”
Maka kekal
miskinlah anak-anak Umar, tidak mempunyai harta, tidak seperti anak-anak
khalifah, dan gabenor yang lain yang biasanya kaya-raya mewarisi harta. Namun
begitu selepas kejatuhan kerajaan Umaiyyah, anak-anak Umar bin Abdul Aziz
adalah golongan yang kaya-raya, sebaliknya anak-anak gabenor dan khalifah yang
sebelumnya kaya-raya, mereka bertukar menjadi susah kemudiannya.
Benarlah
kata-kata Umar, jika mereka orang-orang soleh, Allahlah yang menguruskan orang-orang
soleh. Dan kesudahan yang baik itu bagi orang-orang yang bertaqwa.
Wallahualam
Rujukan: