Social Icons

Monday, December 31, 2012

Cara syaitan mengganggu Bani Adam

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

1) Waswasah
Waswasah bermaksud membisikkan keraguan pada diri manusia ketika dia melakukan kebaikan atau amal soleh. Sebagai contoh, di saat azan Subuh berkumandang, dan tubuh kita masih berselimut, terbersit dalam fikiran kita, "Lima minit lagi," "Masih awal". Ini adalah waswasah. Kenyataannya, bukan lima minit tetapi satu jam, dan akhirnya kita terlambatmengerjakan solat Subuh, atau bahkan kita langsung meninggalkannya.

2) Tazyin
Tazyin bermaksud membungkus kemaksiatan dengan kenikmatan. Segala yang berbau maksiat biasanya dilihat indah. Misalnya, mengapa orang yang bercinta dilihat lebih mesra berbanding pasangan suami isteri? Berjalan berdua ketika bercinta dirasakan lebih manis berbanding berjalan berdua selepas berkahwin. Ini kerana ada unsur tazyin. Berdua-duaan tanpa ikatan itu maksiat, sementara pernikahan itu ibadah. Namun maksiat dihiasi oleh syaitan supaya ia kelihatan indah, lebih nikmat. Inilah yang disebut sebagai strategi tazyin.

3) Tamanni
Tamanni bermaksud memperdayakan manusia dengan khayalan dan angan-angan. Pernahkah anda terniat mahu solat tahajud ketika merebahkan badan ditempat tidur? Namun pada jam 3 pagi, di saat jam penggera berbunyi, kita cepat-cepat mematikannya kemudian meneruskan tidur.

Pernahkah kita ingin bertaubat? Namun ketika maksiat ada di depan mata, kita tetap melakukannya. Ironisnya ini berlaku berkali-kali. Inilah yang disebut strategi tamanni.

4) A'dawah
A'dawah ertinya berusaha menanamkan benih permusuhan. Syaitan sentiasa berusaha menumbuhkan api permusuhan di antara manusia. Biasanya permusuhan berawal dari prasangka buruk. Kerana itu, waspadalah kalau berprasangka buruk pada orang lain, sesungguhnya kita telah terperangkap dengan strategi syaitan.

5) Takwif
Takwif ertinya menakut-nakutkan. Pernahkah anda merasa takut miskin kerana menginfakkan sebahagian harta, takut disebut berlagak alim kerana datang ke majlis taklim? Kalau kita pernah merasakannya, inilah strategi takwif.

6) Saddun
Saddun ertinya berusaha menghalang manusia melaksanakan perintah allahdengan menggunakan pelbagai bentuk hambatan. Pernahkah anda merasa malas ketika mahu mengerjakan solat, atau merasa sangat mengantuk ketika membaca al-Quran meskipun sudah cukup tidur? Ini adalah gejala saddun angkara syaitan.

7) Wa'dun
Wa'dun ertinya janji palsu. Syaitan berusaha memujuk manusia supaya mengikutinya dengan memberi janji-janji yang menggoda. akhirnya manusia mempercayainya. Misalnya, seorang wanita menyerahkan dirinya kepada kekasih hatinya kerana dia berjanji untuk menikahinya, namun apabila dia hamil, kekasihnya meninggalkannya begitu sahaja. Dia enggan bertanggungjawab. Inilah contoh wa'dun atau janji palsu daripada syaitan.

8) Kaidun
Kaidun bermaksud tipu daya. Syaitan berusaha sekuat tenaga memasang sejumlah perangkap agar manusia terjebak ke dalamnya. Pernahkah di saat anda diberikan tugas, anda terfikir mahu menangguhkannya kerana tempohnya masih panjang? Ternyata apabila tempoh masa yang diperuntukkan hampir tamat, kita mulai kelam kabut menyelesaikannya. Kita lakukannnya dengan ala kadar dan tergesa-gesa sehingga hasilnya tidak seperti yang diharapkan. strategi ini disebut kaidun

9) Nisyan
Nisyan bermaksud lupa. Sesungguhnya lupa itu adalah sifat manusiawi. Lupa memang sifat manusiawi, tetapi syaitan tetap berusaha agar manusia menjadikan lupa sebagai alasan untuk tidakbertanggungjawab. Pernahkah kita lupa menunaikan janji? Lupa solat? Kalau sesekali itu bolehlah disebut manusiawi, tetapi kalau sering dilakukan bererti kita telah terjebak dengan strategi nisyan.

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. (Al-An'am; 112)

sumber: Mantapkan hati Meminang Bidadari (Burhan Sodiq)

Sunday, December 30, 2012

Al-Qa'qa' bin Amru : Dihantar seorang sebagai tentera bantuan

     


     Pertama kali saya terdengar nama Al-Qa'qa' bin Amru At-Tamimi adalah apabila menonton cerita drama bersiri Omar Series  keluaran syarikat MBC. Perasaan saya hanyalah biasa, tidak sama perasaan ketika melihat watak Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali, Khalid Al Walid RadiAllahu 'anhum. Dan saya rasa kisah Usamah bin Zaid sebagai panglima muda menggantikan Khalid Al-Walid lebih kerap kali saya dengar berbanding kisah Al-Qa'qa' bin Amru






ERA PEMERINTAHAN KHALIFAH ABU BAKAR AS-SIDDIQ R.A

     Bila saya cuba mencari kisah Al-Muthanna bin Harithah, yang dilantik oleh Khalifah Abu Bakar menjadi ketua operasi awal berperang di Iraq melawan Parsi dalam buku Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin karya Tuan Guru Abdul Hadi Awang, saya terjumpa kali kedua nama Al-Qa'qa' bin Amru. Dan alhamdulillah inilah titik permulaan saya merasakan Al-Qa'qa' bin Amru bukan calang orang



     Khalifah Abu Bakar mengarahkan Khalid Al-Walid untuk membantu Al-Muthanna :


Khalid datang bersama dengan seribu anggota tentera, disertakan dengan tentera daripada puak-puak Rabiah dan lain-lain yang datang membantu seramai sepuluh ribu. Al-Muthanna pula membawa lapan ribu tentera dan menjadikan jumlahnya lapan belas ribu.
Apabila panglima Khalid dan Iyadz menghantar perutusan kepada Khalifah Abu Bakar meminta tentera tambahan, khalifah menghantar hanya Al-Qa'qa' bin Amru At-Tamimi seorang sahaja bagi membantu Khalid
Lalu dikatakan kepadanya, "Adakah munasabah hanya menghantar seorang sahaja?" Khalifah Abu Bakar menjawab, "Tidak boleh dikalahkan oleh musuh sekiranya ada seorang sepertinya"
Jawapan menunjukkan Khalifah Abu Bakar mengetahui kemampuan dan kepakaran seorang tokoh tentera yang boleh menyamai jumlah yang ramai 
 Zat Al-Salasil (Battle of Chains)

     Di dalam buku ini juga ada diceritakan bagaimana ketika Khalid dicabar oleh Panglima Parsi bernama Hurmuz untuk bertarung satu lawan satu, Hurmuz telah melakukan helah, Hurmuz berpakat dengan beberapa orang tenteranya supaya membunuh Khalid sewaktu mereka bertarung satu lawan satu.




     Ketika Khalid dan Hurmuz bertarung tanpa senjata, tentera Hurmuz telah berlari keluar dari barisan tentera dan mengelilingi Khalid dan Hurmuz. Sejurus Al-Qa'qa' menyaksikan terdapat beberapa orang tentera Parsi berlari untuk menerkam Khalid, Al-Qa'qa' telah dapat mengesan helah tersebut, tanpa sempat memberitahu tentera Islam yang lain kerana dia merasa kesuntukan masa , Al-Qa'qa' dengan pantas mengejar dengan menunggang kuda lantas dengan rahmat Allah swt, Al-Qa'qa' seorang telah membunuh kesemua tentera Parsi yang cuba hendak membunuh Khalid, alhamdulillah sekaligus memudahkan Khalid membunuh Hurmuz yang mana sebentar tadi agak sukar bagi Khalid kerana dia terpaksa bertarung dengan Hurmuz dan tentera-tentera Parsi yang lain.

     Setelah kematian Hurmuz, peperangan berlangsung,tentera Parsi mempunyai anggota yang ramai, antaranya pasukan khas yang diikat dengan rantai (Zat Al-Salasil). Pertempuran sengit ini berakhir dengan kemenangan tentera Islam dan tentera Parsi berundur lari bertempiaran.


     

ERA PEMERINTAHAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB R.A

Perang Qadisiyyah 

     Abdul Rahman bin 'Auf telah mencadangkan kepada Khalifah Umar supaya melantik Singa yang menerkam dengan kukunya, iaitu Sa'ad bin Abi Waqas sebagai panglima perang tentera Islam seramai sekitar 30 000 orang.

     Rustum adalah panglima perang tentera Parsi yang mempunyai kekuatan seramai 120 000 orang dan 33 ekor gajah perang. Gajah raja yang paling besar berwarna putih diletakkan dibarisan hadapan, taktik pertempuran ini amat menggerunkan dan telah menyebabkan tentera berkuda Islam tidak mampu berhadapan dengan tentera bergajah Parsi.




     Perang ini berlangsung selama 4 hari. Sa'ad bin Abi Waqas telah mengarahkan Al-Qa'qa' bin Amru dan saudaranya Asim bin Amru untuk mencederakan mata dan belalai gajah, dan alhamdulillah pada hari ketiga, pertempuran dikuasai oleh tentera Islam setelah tunjang utama kekuatan tentera Parsi iaitu tentera bergajah dapat ditewaskan.




     Kemenangan berpihak kepada tentera Islam dengan jumlah tentera syahid seramai ribuan orang, manakala tentera Parsi yang terbunuh adalah seramai puluhan ribu orang.


Penaklukan Mesir



     Sewaktu penaklukan Mesir yang diketuai oleh Amru bin Ash, Al-Qa'qa' adalah salah seorang yang dihantar oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A untuk membantu Amru bin Ash.

     Dalam suratnya Saidina Umar berkata "Aku kirimkan kepadamu seorang lelaki berbanding seribu dari umat Islam". Alhamdulillah dengan izin Allah, Mesir dapat ditakluk dengan mudah.


TESTIMONIAL PARA SAHABAT TENTANG AL-QA'QA' BIN AMRU AT-TAMIMI

  1. Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A 
    • "Suara Al-Qa'qa' dalam tentera jauh lebih baik dari suara seribu tentera"
    • "Tidak boleh dikalahkan oleh musuh sekiranya ada seorang sepertinya"
  2. Saidina Umar Al-Khattab R.A
    • "Aku kirimkan kepadamu seorang lelaki berbanding seribu dari umat Islam"
  3. Sa'ad bin Abi Waqas R.A
    • Suatu hari Saidina Umar berkirim surat kepada Sa’ad bin Abi Waqas. Dalam suratnya itu beliau bertanya; “Siapa tentera yang paling berani dalam perang Qadisiyyah?” Dalam surat balasannya, Sa’ad menjawab bahwa dirinya belum perah melihat tentera paling berani seperti Al-Qa'qa'. Dalam satu hari dia mampu melakukan tiga serangan. Dalam setiap serangan itu mesti ada musuh yang dibunuh.

Pesanan untuk diri saya dan sahabat-sahabat sekalian
  1. Terus menerus mendoakan saudara-saudara seaqidah kita di seluruh dunia yang ditindas dan dibunuh dengan zalim
  2. Pernah terdengar nama Khattab? Beliau adalah panglima moden Islam abad ke-20. Seorang yang masyaAllah hebat, berjuang di Afghanistan, Checnya etc. Boleh cari dokumentari beliau di Youtube




p.s : Syarikat MBC juga ada buat drama bersiri tentang Al-Qa'qa' bin Amru At-Tamimi cuma sayangnya belum ada subtitle english.

Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu adalah dari kekurangan diri saya

BarakAllahu fiikum

wassalam wbt :)





Sumber : 
  1. Omar series keluaran syarikat MBC
  2. Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin karya Tuan Guru Abdul Hadi Awang
  3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_al-Qadisiyyah
  4. http://www.nellaieruvadi.com/islam/history_brave_qaqa1.asp
  5. http://www.grandestrategy.com/2007/12/sword-of-allah-chapter-19-battle-of.html
  6. http://www.buletin-alilmu.com/2011/03/26/kemenangan-islam-di-perang-qadisiyyah/
  7. http://www.2lisan.com/1812/amru-bin-ash/#.UN9jq28UnN0
  8. http://www.2lisan.com/1820/al-qaqa-bin-amru/#.UN9kYW8UnN1





     

Saturday, December 29, 2012

Kelebihan Al-Kahfi, Hindari Fitnah.

"Aku berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"


Lewat pada zaman ini, di mana isi dunia menjadi matlamat yang dikejar, sehingga matlamat asal kewujudan  dilupakan , malah tujuan kehidupan yang sebenar semakin kabur di pandangan, apakah kini segala maksud persoalan kehidupan yang dilontarkan mampu  untuk ditafsirkan dan diertikan dengan benar dan jelas? 



Dalam kondisi dunia kini yang sering melontarkan seribu satu kekeliruan, antara yang ‘hitam’ dan  yang ‘putih’, sehingga ada yang akhirnya ‘kelabu’ yang dipilih.

Apabila hanya nafsu dunia yang diingini, sehingga kehidupan nyata akhirat dilupakan.
Apabila yang benar dilihat salah, dan pabila yang salah diakui benar,
Apabila yang amanah dikhianati, dan pabila amanah dipegang oleh yang mengkhianati.
Apabila pengkhianat diberikan kepercayaan,manakala janji dimungkiri.
Dan pabila yang haq diketepikan, yang zalim pula dimegahkan...

kemanakah hilangnya pegangan yang selama ini dipelajari?

Di dalam suatu hadis,

Rasulullah S.A.W. bersabda,
akan datang tahun-tahun penuh dengan kedustaan yang menimpa manusia , pendusta dipercayai, orang yang jujur didustakan,amanat diberikan pada pengkhianat, orang yang amanah dikhianati , dan Ruwaibidlah turut bicara. “ Lalu baginda ditanya , apakah Ruwaibidlah itu?” baginda menjawab, “orang-orang bodoh yang mengurusi perkara umum.”(Hadis Riwayat Ibnu Majah) sahih.

Apakah semua yang berlaku kini  bukti penipuan atau fitnah-fitnah di akhir zaman?
Fitnah-fitnah yang kian merebak  luas ini, juga dikenali sebagai fitnah Dajjal kecil, sebelum munculnya puncak fitnah terbesar iaitu fitnah al –Masih Ad-Dajjal . Dalam era yang penuh dengan penipuan , seharusnya kita bersiap sedia dan berusaha membina benteng untuk melindungi  dan mengelakkan diri dari serangan dunia yang penuh dengan pencemaran fitnah ini.



Walaupun dunia kini sesak dengan bermacam kekeliruanserta permasalahan,  Alhamdulillah...kerana Allah S.W.T telah mengurniakan nikmat yang besar buat kita, hamba-hamba-Nya, iaitu kitab yang kekal yang dijadikan asas panduan untuk kehidupan di alam ini, iaitu Al-Quran.

Terdapat beberapa kelebihan khusus yang telah disebut oleh Rasulullah S.A.W bagi sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi di dalam kitab ini. Surah yang ke-18 ini memberi kelebihan pengampunan dosa di antara Jumaat dengan Jumaat  jika dibaca pada hari Jumaat dan lagi memberi perlindungan pada diri agar dijauhi fitnah al-Dajjal jika menghafal 10 ayat terawalnya.

Berikut adalah beberapa hadis mengenai kebaikan surah al-Kahfi.

“Imam Ahmad berkata : “Daripada Abi Darda’ daripada Nabi S.A.W. , baginda telah bersabda :”sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripadanya permulaan surah al-Kahfi , maka terhindar daripada Al-Dajjal”                 
 ( Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud , Al-Nasa’i , Al-Tarmizi daripada Qatadah)

“Imam Ahmad berkata : “Daripada Abi Al - Darda’i , Nabi S.A.W bersabda : “Sesiapa membaca sepuluh ayat akhir daripada surah Al-Kahfi, maka terhindar daripada fitnah al-Dajjal” 
( Hadis Riwayat Muslim dan Al-Nasa’i)

“Daripada Umar berkata: Nabi S.A.W telah bersabda ; “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat , maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit . Untuknya cahaya dihari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat” 
( Hadis Riwayat Ibnu Katsir)

Surah ini juga mengemukakan 6 ciri-ciri penting yang boleh digarap oleh setiap mukmin bagi mengelakkan fitnah Dajjal yang menghancurkan. Antaranya:


1)       Sahabat sejati ;

“ Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui isi hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi  pengajaran Al- Quran , serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah –lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” [ Al-Kahfi  18;28]

2)      Memahami hakikat dunia;
“Dan kemukakanlah kepada mereka  misal perbandingan ; kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit , lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu;  kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin ; dan ingatlah adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [ Al-Kahfi 18; 45]

3)      Kerendahan hati;
“Nabi Musa berkata, “ Engkau akan dapati aku, InsyaAllah : orang yang sabar, dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu.” [Al-Kahfi 18;69]

4)      Kejujuran ;
“katakanlah (wahai Muhammad) : “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu , diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadahnya kepada Tuhannya.” [Al-Kahfi  18;110]



5)      Perlindungan Allah
“ dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu, tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya, dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripada-Nya.” [Al-Kahfi 18; 27]

6)      Kehidupan akhirat
“ Dan ‘Kitab-kitab Amal’ juga tetap akan dibentangkan , maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu , merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya, dan mereka akan berkata : “Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya?  Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar ,melainkan semua dihitungnya! “ dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) , dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.” [ Al-Kahfi 18; 49]

Sungguh berat hidup di zaman kedustaan yang menyelimuti dunia sehinggakan dunia seperti malam yang gelap-gelita.
Semoga Allah S.W.T  memelihara  dan memantapkan iman tauhid kita di era badai fitnah ini.



Allahumma inni a’uuzu bika min ‘azaabil qabri , wa min ‘azaabi jahannam, wa min fitnatil mahyaa wal mamati , wa min syarri fitnatil masiihid dajjal.

Maksudnya: Ya Allah , aku berlindung kepada Mu dari siksa kubur, dari siksa neraka jahannam, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah Dajjal.

Doa ini boleh diamalkan seusai membaca tashahhud akhir solat.



“Bila seseorang selesai membaca tashahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu ; “  ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari siksa neraka jahannam , dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal.[ selanjutnya hendalah ia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai kepentingannya.] “ ( Hadis Riwayat  Muslim, Abu ‘Awanah, Nasa’i dan Ibnu jarud dalam al- muntaqa [27]. )


Tuesday, December 18, 2012

MUDAHKAN KEHIDUPAN KITA DENGAN SOLAT





"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."

Dalam ayat 153 surah alBaqarah ini, Allah menyatakan bahawa antara fadhilat solat yang paling hebat ialah, ia menjadi penghubung dan jalan untuk seseorang hamba meminta pertolongan kepadaNya.
Maka, selesaikan SEGALA HAJAT dan masalah kita melalui SOLAT.

Huzaifah r.a menyatakan bahawa Rasulullah saw apabila ditimpa dengan sesuatu perkara, Baginda akan bersegera menunaikan solat. (Riwayat Abu Daud)
Abdullah ibnu Mas'ud r.a pula menceritakan, pernah suatu hari seorang sahabat Rasulullah saw datang menemui Baginda lalu berkata; "Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya ingin keluar ke Bahrain untuk tujuan perniagaan". Lalu jawab Rasulullah saw, "Solatlah dua rakaat!" (Riwayat atTabrani di dalam Kitab al-Kabir)


Ma'mar meriwayatkan daripada seorang sahabat dalam kalangan Quraisy, bahawa Rasulullah saw apabila mendapati kesempitan rezeki dalam mana-mana keluarga Baginda, Baginda akan memerintahkan kepada keluarga Baginda agar mendirikan solat, kemudiannya Baginda membacakan ayat alQuran:

" Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki kepadamu, Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Taha:132)

Lihatlah bagaimana imbauan kehidupan suci murni Rasulullah saw, keluarga Baginda dan para Sahabat r.a, sentiasa dihiasi dengan kesungguhan mereka untuk menjadikan solat sebagai sumber untuk mereka memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah. Mereka benar-benar faham apakah NILAI  sebenar amalan SOLAT. Betapa solat merupakan solusi praktikal yang dibekalkan oleh Allah kepada hambaNya.
Masakan tidak, dalam setiap rakaat solat, kita meminta :

 "Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan"

Hati yang sentiasa disuburkan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah melalui fadhilat solat sebegini, maka kehidupan akan menjadi begitu akrab dengan amalan solat. Apabila Allah yang memerintahkan agar kita meminta pertolongan kepadaNya melalui solat, maka sudah pasti Allah sesekali tidak akan memungkiri janjiNya dan sesekali tidak akan lemah daripada mengotakannya!

Oleh itu ayuh, Mudahkan kehidupan kita dengan Solat!

~alBaqiyaat asSholihaat~





Wednesday, December 12, 2012

BIAR SEDIKIT ASAL BAHAGIA DARIPADA BANYAK TETAPI MENDERITA




BIAR SEDIKIT ASAL BAHAGIA DARIPADA BANYAK TETAPI MENDERITA


Allah memang menghendaki supaya kebaikan disebarluaskan, namun Dia jugalah yang menciptakan cemuhan-cemuhan yang datang menerusi mulut manusia.


Daripada seluruh umur anda, yang dikira adalah umur yang membahagiakan, melapangkan, mententeramkan dan bersedia menerima apa sahaja yang ditentukan buat anda. Namun rakus, tamak dan sikap bongkak sungguh bukanlah kehidupanmu yang asli. Semua itu adalah lawan kepada kesihatan, kesegaran dan kecantikan anda. Kerana itu, berusahalah untuk mencapai redha Allah, menerima pembahagian, meyakini ketentuan dan tidak bimbang menghadapi masa yang akan datang.



Jadilah anda seperti RAMA-RAMA – ringan perawakan, indah dipandang, sedikit bergantung kepada yang lain, terbang dari satu bunga ke bunga yang lain, dari satu tangkai ke tangkai yang lain dan dari satu taman ke taman yang lain. Pendek kata, hidupnya sentiasa berpusing daripada yang baik kepada yang baik..


Kalau tidak, jadilah seperti seekor LEBAH – yang sentiasa memakan sesuatu yang baik dan mengeluarkan yang baik pula. Jika ia jatuh di atas tangkai, ia tidak memecahkannya; menyentuh nektar tetapi tidak melukainya, mengeluarkan madu dan tidak menyengat jika tidak diancam, terbang dengan rasa cinta dan hinggap dengan tali kasih.







Tuesday, December 11, 2012

Tarbiyyah diri seorang ninja (2)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...




3) Tidak memanjakan diri

Setiap ninja memiliki pelbagai skill bertaraf tinggi yang tidak mudah untuk dipelajari. Sebagai contoh, seorang ninja mampu berlari-lari dan melompat tinggi di atas bumbung-bumbung bangunan tinggi. Kita sebagai orang biasa nampak perbuatan ini seakan-akan mudah, namun seorang ninja harus mengimbangi badan dan punya latihan keras; dan barangkali berkali-kali jatuh tersungkur sebelum 'biasa' dengan perbuatan-perbuatan tersebut.

Begitu juga hidup sebagai seorang manusia. Sedari kecil, kita didik untuk tidak memanjakan diri. Untuk seorang bayi mencapai kemampuan mampu berjalan seperti manusia normal hari ini penuh dengan kesusahan. Bayi manakah yang tidak pernah jatuh dalam usaha untuk mempelajari kebolehan berjalan? Dan adakah bayi itu berputus asa? Jika bayi itu berputus asa, maka sesungguhnya ia akan membesar dan mungkin bergantung kepada 'walker'/tongkat sepanjang hayat. Seperti juga seekor rama-rama. Fasa membebaskan diri dari kepompong merupakan satu tempoh sukar dalam fasa tumbesaran dan keupayaan hidup seekor rama-rama. Jika ia gagal, atau pun dibantu, seekor rama-rama itu akan hilang upaya untuk mengembangkan sayap dengan sempurna, ataupun otot yang berfungsi mengibas sayapnya gagal berfungsi dengan kapasiti sepatutnya (flacid). Dan seterusnya rama-rama itu akan mengesot, dan gagal untuk meneruskan hidup.

Sebagai seorang muslim, kita percaya hidup ini adalah ladang bagi akhirat. Sunnatullah dalam bercucuk tanam di dunia tidak mudah, kerana ganjaran hasil tuaian di akhirat itu sangat besar. Tidak kira ibadah khusus seperti solat mahupun umum seperti bekerja dan makan, kita sentiasa diuji dalam pelbagai aspek, baik dari segi rohani (akidah) mahupun jasmani (fiqh dan akhlak). Maka, solusi dalam segala permasalahan semestinya bukan dengan duduk berdiam diri atau lari; tidak pun dengan menunding jari menyalahkan seluruhnya kepada pihak sekeliling. Tetapi yang seharusnya kita perlu bersedia dengan ilmu yang secukupnya, merancang strategi dan seterusnya bertindak. Mari kita renungkan firman Allah dalam surah al-Ankabut (surah laba-labah); ayat 2:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

4) Bijak memanipulasi keadaan sekeliling.



Seorang ninja perlu ringan. Tidak membawa beban yang berat. Maka dari sudut persenjataan ninja, ia sangat terhad dan tidak kompleks. Apa yang menyebabkan seorang ninja itu mampu menjayakan misinya adalah kemampuan memahami keadaan setempat dan menggunakan apa yang ada disekelilingnya sebagai 'alat' senjata tambahan. Simple, but lethal.

Adalah mustahil untuk setiap manusia menjadi sempurna. Kita mengimpikan berbagai perkara. Namun tidak semua dapat kita capai, disebabkan (antaranya) keadaan setempat yang tidak mengizinkan. Sebagai contoh, seorang pelajar ingin suasan kondusif untuk belajar. Senyap. Tapi dia sekarang berada dalam sebuah kelas, ketika waktu rehat. Bising. Dia boleh jadi akan turut hanyut dalam kemeriahan suasan rehat. Ataupun bijak menggunakan kemungkinan yang ada di sekolah itu untuk mewujudkan ruang kondusif untuk belajar. Antara solusi yang mungkin untuk itu adalah, jika pelajar itu mempunya tisu, maka dia boleh membuat sumbatan di telinga. Tidak pun, dia tahu yang surau/masjid bukan satu tempat yang popular untuk pelajar ketika rehat. Di situ ada ketenangan. Dan disitu ada peluang untuk belajar.

Dunia ini padat dengan teka teki kehidupan. Bagi yang melihat ia dari perspektif negatif, maka ia akan bertindak tidak sepatutnya, membenci, berputus asa, dan terus menerus membesarkan masalahnya tanpa penyelesaian yang baik. Walhal, jika dia melihat dari sudut positif, segala apa yang berlaku itu adalah peluang untuk mencapai redha Allah. Seperti kata bijak pandai; hidup sebagai seorang Muslim, hanya ada 2 kemungkinan pada pengakhiran amalnya: menang mencapai apa yang kita usahakan, atau syahid yakni ganjaran perjuangan ditangguhkan ke alam yang seterusnya, yang mana kekal abadi. A win-win situation. Maka, gunakanlah dunia sebagai alat untuk mencapai redha Allah.  Jadi, bagaimana untuk meggunakan 'ujian', sebagai contoh kesusahan untuk mencapai redha Allah? Sedar atau tidak, bila mana manusia itu dalam kesusahan, disitulah keadaan yang paling kondusif untuk dia merendahkan hati, dan doa seorang muslim menjadi mustajab apabila dia dalam kesusahan. Allah dengan sifat Maha PenyayangNya, menyediakan lapangan luas, hatta dalam kesusahan untuk mencapai kejayaan. Cuma ia berbalik kepada kita, untuk sedar atau tidak; dan menggunakannya peluang ini sebaik mungkin

Saturday, December 8, 2012

Kesan Solat Yang Khusyuk




Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam solatnya”

Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak solat yang didirikan oleh seseorang itu, tetapi malangnya dia tidak memperolehi pahala melalui solatnya itu. Sebaliknya oleh kerana mereka lalai ketika solat maka Allah SWT menjanjikan balasan api neraka pula kepadanya.

Nabi s.a.w bersabda lagi yang maksudnya: “Tidak ada ganjaran bagi seseorang hamba dalam solatnya kecuali sekadar mana yang ia ingat (khusyuk)”.

Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain. Jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dan puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan saja mereka akan kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai orang yang tinggi pekertinya, sentiasa menjaga dari melakukan perkara yang membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.

Begitu juga zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang. Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu mengeluarkan zakat.

Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai. Ini kerana ibadah haji melibatkan dua perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya namun kesan daripada ibadah haji itu jelas ketara, kerana dia terpaksa membelanjakan ribuan wang ringgit. Tubuh berasa letih dan wang habis.
Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang dinyatakan itu. Firman Allah dalam surah al-Ma’un, ayat 4-5:

“Maka celakalah bagi orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya”

Menurut Imam al-Ghazali, solat itu ialah munajat (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran disamping khusyuk dan tawadhuk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah SWT.

Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya seperti orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin dia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada Allah SWT kerana sebenarnya orang itu sedang menggigau. Sesungguhnya orang yang menggigau itu ialah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang akan diterima oleh Allah SWT, jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan pelbagai kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah SWT.



Disunting daripada Khusyuk Dalam SOLAT oleh TGNA, m/s 2-5

Tarbiyyah diri seorang Ninja (1)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...


Ninja merupakan individu atau pasukan yang mempunyai kemahiran tinggi dalam seni pertempuran di zaman Jepun lampau. Terkenal dengan kepantasan, kemahiran bersembunyi dan menyerang secara mengejut, ketepatan dan kemahiran tempur berdepan; ia menjadi salah satu kebanggaan sejarah Jepun disamping kaum samurai. Dan seni ninja pada zaman moden diadaptasi di dalam banyak buku dan karya komik Jepun (anime) seperti Naruto, Teenage Mutant Ninja Turtle, Flame of Recca, dan berbagai lagi.

InsyaAllah, penulisan entri ini tidaklah berfokus kepada cara-cara menjadi ninja sejati. Entri ini ingin membincangkan karekter-karekter diri yang membentuk seorang ninja yang dapat diambil oleh kita agar menjadi lebih produktif! :-)

1) Kemampuan dalam menguruskan kosentrasi.

Ninja perlu mempunyai kosentrasi yang tinggi. Kosentrasi ini penting dalam menentukan sesuatu misi yang dilaksanakan, sama ada berakhir dengan kejayaan dan kesempurnaan atau kegagalan yang kadangkala mengancam nyawa seorang ninja. Di sini, seorang ninja perlu mengabaikan segala perkara yang tidak berkaitan disekelilingnya, dan jelas akan matlamat, yang seterusnya dimanefestasi dengan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugas.

Sebagai mana kita dalam menempuh hidup yang penuh cabaran, seringkali kita diganggu oleh 'keindahan dunia'. Sebagai contoh, laman sosial facebook. Hampir menjadi kemestian setiap seorang muda mudi era ini mempunyai facebook. Facebook dapat menghubungkan kita kepada kawan-kawan, tidak kira di mana sahaja, dan dapat mengikuti perkembangan terkini dalam kekerapan setiap minit! Ia menjadikan facebook satu perkara yang menyeronokkan dan tidak keterlaluan jika dikatakan ia mampu membuat penggunanya ketagih jika tidak dikawal.

Kesan contoh (facebook) di atas ke atas kita sebagai seorang muslim amat ketara jika diamati sebaiknya. Kita cuba bekerja dengan tekun, namun atas ganggugan-gangguan ini, fokus yang diperlukan tidak dapat ditumpukan sepenuhnya kepada perkara utama; seperti belajar, membuat kerja sekolah, menulis repot, etc. Malah ia turut mengancam kualiti ibadah seharian kita. Sebagai seorang muslim, terminologi 'khusyuk' acap kali ditekankan dalam menghasilkan ibadah yang sempurna dan diterima di sisi Allah. Adakah mudah untuk khusyuk jika hati sentiasa bergelumang dengan persona dunia?

Selain itu, dengan melakukan sesuatu tanpa kosentrasi yang secukupnya, di mana kita melaksanakan 'multiple task' dalam satu-satu masa (kerja+facebook), kita akan mudah merasa 'tepu akal' dan lesu dalam jangka masa yang singkat. Sedangkan, hasil kerja kita, jika ingin dibandingkan dengan seorang yang bekerja secara fokus tanpa facebook pada jangka masa yang lebih singkat, adalah lebih cemerlang berbanding bersama facebook.

Mari sama-sama kita muhasabah diri, akan salah satu daripada rukun iman; iaitu percaya kepada hari akhirat. Satu agenda penting pada hari di mana segalanya dihisab, adalah kita dituntut untuk bertanggungjawab atas segala perkara yang kita laksanakan di dunia. Pilihlah di antara amalan yang tidak berkualiti ditambah dengan perkara yang melalaikan, ataupun amalan yang berkualiti, dan ikhlas untuk mencapai redha Allah

2) Ketenangan seakan seorang pertapa/ahli ibadah.

Ninja sentiasa menghadapi situasi-situasi cemas. Barangkali seorang ninja perlu melumpuhkan musuh yang berkali-kali ganda dari segi bilangan dan kekuatan. Ataupun terperangkap dalam muslihat musuh. Ketenangan ini membantu seorang ninja berfikir dengan jelas, dan memilih jalan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah. Setiap ninja berpegang kepada moto: setiap masalah punya jalan penyelesaiannya!

“Ketahuilah bahawa dengan mengingati ALLAH itu, hati akan menjadi tenang.” – ar Ra’ad : 28

Sebagai seorang insan yang normal, masalah adalah salah satu daripada warna dalam kehidupan. Mahu atau tidak, kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah, ragam, komplikasi dan ujian yang dijangka mahupun mengejut. Di sinilah pentingnya jiwa yang tenang. Manusia selalunya menggunakan dua unsur dalam menyelesaikan sesuatu masalah; iaitu akal dan hati (emosi). Akal itu ibarat kereta, dan emosi itu pemandunya. Emosi yang stabil (tenang) dapat membawa akal ke destinasi yang ingin dituju. Namun, emosi yang tidak stabil hanya membawa akal kepada kecelakan kepada pemiliknya.

Kombinasi akal dan ketenangan membantu kita untuk merancang dengan baik dan sentiasa bersedia. Sebagaimana pepatah melayu ada menyebut; sediakan payung sebelum hujan. Jiwa yang tenang membantu dalam menjadi seorang yang sedar dengan keadaan sekeliling. Keadaan ini membantu akal untuk memproses segala maklumat dan merancang jalan yang terbaik dalam menguruskan kehidupan seharian. Disamping merancang, ketersusunan dalam mengatur kehidupan memainkan peranan penting dalam usaha menjadi muslim yang cemerlang. Hidup yang tersusun membantu seseorang melihat dengan lebih jelas apa yang bakal dihadapi, dan mengurangkan kebarangkalian untuk melaksanakan kesalahan dalam sesuatu tugasan.

Dalam perspektif seorang muslim, kunci mencapai ketenangan yang hakiki adalah dengan kembali kepada yang Maha Berkuasa. Manusia sentiasa mencari jalan dalam mencapai kebahagiaan. Dan sangat menyedihkan apabila mereka menyalah guna segala nikmat dunia untuk matlamat ini, sehingga ada sesetengahnya melanggar batas-batas yang digariskan oleh Allah. Bahagia dalam erti kata yang sempurna itu apabila kita mencapai ketenangan hati dan bebas dari keterikatan dunia yang sentiasa memujuk nafsu yang tidak kenal erti puas. Maka, dengan mempercayai akan janji Allah di dalam surah ar-Ra'ad (ayat di atas), dan berusaha ke arah itu, insyaAllah, kejayaan yang kita buru pasti dalam genggaman!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...