Social Icons

Thursday, June 10, 2010

Piagam Madinah

Sekadar ingin berkongsi mengenai kepentingan piagam Madinah yang dilaksanakan oleh Rasulullah setibanya baginda di Madinah.

Selepas penghijrahan Rasulullah ke Madinah dan yakin dengan kemantapan asas masyarakat di sana, Rasulullah berusaha untuk mewujudkan kesatuan politik dalam sistem seharian. Rasulullah melihat betapa pentingnya mengadakan hubungan baik dengan golongan bukan Islam bagi melahirkan sikap toleransi yang berpanjangan.

Golongan bukan Islam yang paling hampir ketika itu adalah golongan Yahudi. Golongan tersebut tidak menunjukkan sebarang penentangan terhadap Rasulullah pada awal kedatangan baginda. Oleh itu, kesempatan ini digunakan oleh Rasulullah untuk mengadakan perjanjian dengan mereka, yakni perjanjian yang memberikan kebebasan mutlak dalam soal agama dan harta. Perjanjian ini secara tidak langsung mengelakkan politik penyingkiran dan permusuhan. Hal ini berdasarkan isi perjanjian berikut:


Bahawa kaum Yahudi dari banu Auf adalah satu umat bersama orang-orang mukmin,
mereka bebas dengan agama mereka sendiri, dan orang-orang Islam dengan agama mereka, begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka, termasuk juga diri mereka sendiri, perkara ini juga untuk bukan Yahudi Banu Auf sahaja.



Piagam Madinah bukan sahaja menggambarkan toleransi Rasulullah tetapi juga dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan kerja dakwah di Madinah. Dalam perjanjian ini, ditekankan bahawa orang mukmin dan Yahudi haruslah bersepakat sesama mereka selagi mana mereka tidak berperang.

Perjanjian ini secara tidak langsung merupakan strategi politik Rasulullah dalam menguasai Madinah dan meluaskan pengaruh orang mukmin.


Bahawa apa juga kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertelingkahan di antara sesama
peserta piagam ini sekiranya di khuatiri membawa kepada bencana maka hendaklah dirujuk kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad Rasulullah (s.a.w).


Buktinya, ketika kedudukan kaum Muslimin benar-benar sudah kukuh, terdapat penentangan dan pengkhianatan oleh orang Yahudi. Atas "tiket" perjanjian Piagam Madinah, Rasulullah berhak mengusir Yahudi sehingga tiada yang tersisa di Madinah. Pengusiran ini tentu sahaja tidak akan terjadi sekiranya orang Yahudi mematuhi perjanjian.

Rujukan: Ar-Raheeq Al Makhtum, Belajar dari Perang Badar.


Wallahu a'lam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...