Aku, sang pekerja ladang. Ya, ladang.
Setiap hari aku perlu bekerja di ladang. Letih , penat , panas, diselubung lumpur. Itu sudah biasa. Kadang –kadang terpaksa menahan sabar mendengar cercaan sang penduduk yang melihat rendahnya nilai pekerjaanku ini. Malah ada yang mengatakan kerja aku di ladang ini hanya sia –sia. Tidak kurang yang merasakan pekerjaanku ini tidak relevan untuk dunia mewah ini.
Tapi, berbeza bagi aku. Aku merasakan dan yakin sekali aku tidak bisa meneruskan kehidupan ini tanpa sehari aku bekerja di ladang itu. Aku rasa ada sesuatu yang hilang, yang dirampas dari aku andai sehari aku tidak menjejakkan kaki di ladangku itu. Ya, benar. Aku tertanya bagaimana nanti aku akan mengutip hasil yang baik nanti di hari menuai andai aku tidak berusaha sekeras mungkin sekarang di ladangku itu. Adakah hasil yang baik nanti menanti aku andai sekarang aku main-main sahaja bekerja di ladang itu? Adakah aku akan jadi orang yang rugi di hari menuai nanti di saat semua orang punya hasil tuaian masing-masing? Sungguh, aku tidak mahu rugi. Maka biarlah aku bersusah sekarang.
Benar, kadang kala aku juga merasa sangat letih , hinggakan pernah terlintas aku mahu berehat. Namun, Allah selalu sahaja menghantar teman-teman dari ladang untuk menguatkan aku. Untuk mengingatkan aku bahawa aku tidak berseorangan. Dari mereka, aku mula bangkit. Kekuatan yang aku yakin dari ALLAH, Rabbku. Terima kasih teman-teman ladangku.
Kami sepakat, sehari pun tidak akan berhenti dan berubah. Kami sepakat akan terus berusaha mengerjakan ladang ini. Mahu mengutip hasilnya saat hari menuai nanti bersama. Kami gabung kemahiran kami bersama agar ladang kami menjadi ladang yang hasilnya nanti bisa menyelamatkan kami. Kami gabungkan pengetahuan kami , kami bekerja bersama. Andai ada yang letih ,kami saling membangunkan. Andai ada yang jatuh, kami saling bangkitkan. Andai ada yang mengintai indahnya hidup di luar ladang, yang penuh keseronokan yang fana, kami saling menyedarkan. Itulah kami , sang pekerja ladang.
Di ladang ini, mesti ada usaha gigih,kadangkala dengan cara yang lembut untuk mengajak orang yang berada di luar ladanmg untuk bekerja bersamaku. Ada yang menerima, tidak kurang yang menolak. Namun, aku sedar aku harus terus asa. Tidak sekali pun aku harus berputus asa. Aku pertahankan segenggam tabah buat bekalan di perjalanan di ladang ini. Aku mahu mengajak semua orang bekerja di ladang ini yang membawa ke arah mengesakan YANG SATU. Aku mahu hukum-NYA yang diguna pakai oleh umat manusia. Aku mahu semua system-NYA yang diagungkan semua makhluk yang bernyawa di atas muka bumi ini. Biar keruh di hulu, aku harap jernih menanti di muara. Begitulah harapan aku , si pekerja ladang.
Aku lah sang pekerja ladang. Lebih tepat, aku lah sang pekerja ladang dakwah.
Ladang dakwah yang menyeru semua umat manusia kembali pada-Nya.
Ladang dakwah yang sama di mana keringat para nabi tumpah.
Ladang dakwah yang menyeru semua umat manusia menyembah Tuhan Yang Esa.
Ladang dakwah yang menyuruh kepada ma’ruf dan melarang daripada yang mungkar.
( Al-hajj ;67 )
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
Sekian, dari aku sang pekerja ladang dakwah.