Social Icons

Sunday, April 21, 2013

Sikap Seorang yang Bergelar Insan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang …

 Redha itu satu pengiktirafan dari satu subjek ke atas satu subjek akan kewujudannya untuk sesuatu perkara. Maka, dalam mencari redha Allah itu, manusia sebagai seorang hamba seharusnya mempunyai perasaan berharap dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah jalan-jalan yang membawa dirinya dekat kepada Allah subhanahu-wa-ta'ala.. agar manusia diiktiraf kewujudannya di atas muka bumi Allah ini. 

 Lantas, timbul persoalan. Apakah yang dimaksudkan dengan perasaan berharap? Apakah yang dimaksudkan bersungguh-sungguh dalam usaha ke arah jalan-jalan yang membawa diri dekat pada Allah? Perkara-perkara ini banyak dibincangkan dalam kitab-kitab penyucian hati (tazkiyyatun nafs). Namun, penulisan ini cuba mengupas 'sikap' yang tepat, yang perlu dalam diri setiap insan; yang lantas dimanifestasikan ke arah perasaan dan usaha yang bersungguh-sungguh. 



 Pernahkah kita sehari-hari duduk sejenak, memikirkan siapa sebenarnya diri kita? InsyaAllah yang membaca penulisan ini seorang muslim. Dan kemungkinan besar juga kalian muslim sedari lahir. Alhamdulillah di atas nikmat agung ini. Bayangkan, penciptaan seorang manusia, bermula dari titisan air mani yang hina, lantas diproses dan disimpan kukuh di dalam rahim seorang wanita bergelar ibu. Sedarilah, kita tidak lebih dari sesuatu yang tidak bernilai, lagi hina. Lantas, Allah dengan izin-Nya menyempurnakan penciptaan manusia yang penuh cacat cela lagi hina, dan diangkat darjatnya menjadi khalifah di muka bumi. Sedarlah kita, yang kita ini tidak punya apa-apa. Yang kita miliki hari ini bermula dari keadaan sifar! 

 Sedari kecil, Allah pinjamkan kita dengan insan disekeliling, yang menjaga dan mendidik kita. Secara azalinya, semua manusia punya ibu dan ayah. Dengan belaian kasih sayang mereka, kita membesar sihat. Mereka memberikan pelbagai perkara serba serbi; dari hujung rambut ke hujung kaki dijaga dengan cermat. Maka, kita membesar dari tidak tahu kepada tahu. Kita diberi akal yang sihat, kekuatan fizikal dan keadaan sekeliling yang baik untuk terus dapat bertahan sehingga hari ini. Perubahan dari bayi yang tidak punya apa-apa, lantas membesar dan menjadi dewasa dengan segala kecukupan adalah suatu yang di luar kemampuan kita untuk kita bayar kembali kepada ibu ayah kita. Apa lagi kepada Allah azzawajalla. Apatah lagi jika ingin difikirkan pada dunia hari ini, yang mana bak kata orang-orang muda, 'nak masuk tandas pun kena bayar'. Allah berikan semua nikmatnya tanpa tuntutan-tuntutan yang hamba-hamba lain selalu pinta. 

 Dengan menyedari hakikat yang kita tidak punya apa-apa, adalah suatu yang tidak normal bagi seorang manusia untuk berasa besar dan berbangga diri berjalan di atas muka bumi Allah ini. Segah mana pun sebuah kereta, ia pasti akan hancur remuk bila diberi daya melebihi keperluannya. Ketidak sempurnaan. Itulah ciri yang Allah hadirkan sekali kepada manusia, beserta nikmat-nikmat yang tidak terhingga, agar manusia sedar akan siapa diri mereka yang sebenarnya. 

 Sepertimana yang kita pasti, setiap suatu kehidupan akan ada pengakhiran. Manusia akan melalui proses penuaan, dan kesihatan mula merudum. Allah dengan zatnya yang Maha Pengasihani, mengingatkan manusia dengan jelas yang pertemuan yang akhir itu pasti. Masih diberi kita masa untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah azzawajalla. 

 Maka, apakah kebaikan yang dapat kita ambil dari segala coretan di atas, untuk dikaitkan dengan sikap yang sepatutnya sebagai seorang hamba? Kita sebagai seorang manusia perlu punya sikap sedar akan kedudukan diri. Kita perlu sedar yang kita tidak punya apa-apa. Kita perlu sedar yang segala milikan yang kita punya sekarang akan hilang. Kita perlu sedar yang kegembiraan yang kita kecapi sekarang pasti akan pudar. Kita perlu sedar yang persona dunia itu hanya sementara, samada persona itu sendiri akan musnah, atau kita musnah dan persona itu tidak meninggalkan bekas untuk kita bawa kepada kehidupan abadi. Kita perlu sedar akan Allah sebagai kuasa yang mutlak, dan segala hak ke atasNya, dan sebagaimana kita seorang hamba, wajib untuk tunaikan, dan lebih baik lagi dengan memberikan yang terbaik kepada tuan Rabbul Jalil. Kita perlu sedar yang mana segala amalan yang dilakukan tanpa sandaran kepada Allah itu umpama debu ditiup angin, lemah dan berkecai lalu hilang tanpa bekas. Kita juga perlu sedar, bahawa apa yang kita ada adalah hanya Allah semata-mata. Dia yang satu tiada kedua. Dia yang hanya paling benar kewujudannya, yang tidak terikat pada permulaan dan pengakhiran. Dan Dia, yang berdiri tanpa bantuan kita, yang mana kita secara total bergantung harap pada-Nya. 

 Sedarlah wahai insan!




 Allahu a'lam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...