Social Icons

Saturday, October 25, 2014

Amsterdam yang suka berhibur

Melepasi bumi Berlin yang rakyatnya seperti tentera, punyai fokus dan kuat bekerja. Kulihat, penduduk Amsterdam sangat berlainan. Lebih murah dengan senyuman, lebih ramai yang berbahasa Inggeris, lebih sukakan hiburan dan santai. Namun, mereka ini lebih pragmatik dan mementingkan praktikaliti.


Setiap lima minit kami berjalan, pasti bau kanabis menusuk hidung kami. Aku mengenali bau ini ketika di Prague, tapi jarang jarang dan hanya di tempat tertentu, tapi tidak di sini, baunya merata-rata! Sebutkan sahaja apa, semua produk mereka pasti di masukkan marijuana, coklat, kek, gula gula, dan juga kopi, yang menariknya, campuran kanabis dalam muffin mereka tidak sekata, ada yang 80%, dan ada yang hanya 0.4%. Kata mereka ikut nasiblah akan dapat yang mana. Hanya sebuah kedai di hujung lorong berdekatan Princess Canal, yang menjual muffin yang mengandungi jumlah kanabis yang sekata.Canal di sana semacam parit, tapi sedikit besar. Ia di tidak begitu digunakan untuk pengangkutan, tapi hanya untuk aktiviti santai. 

Pada musim sejuk, bilamana parit itu beku, mereka akan bermain ski di atasnya, dan pada tahun ini, mereka menantikan musim sejuk yang paling hebat dan bakal menganjurkan pertandingan ski secara besar besaran. Bagi yang mempunyai wang yang lebih, mereka akan mendirikan rumah di dalam paritt tersebut, ia memakan kos yang sangat tinggi, sekita 800 000 USD, namun kos penyelenggaraan dan lain lain kos selepas itu dikatakan lebih murah dari rumah rumah di atas jalan.


Mereka mementingkan kemahuan rakyat, biarpun mahu menghapuskan kanabis dari negara mereka, supaya negara mereka dilihat sebagai socially correct, mereka semacam 'tutup mata' dan tidak betul-betul menghapuskan kanabis, begitu juga tentang pekerja seks di negara tersebut.


Ya, benar. Pasti, sesiapa yang ingin ke negara ini di tanya tentang Red Light District. Seperti kanabis, usaha menghapuskan pekerja seks juga gagal kerana sikap mereka yang sangat mementingkan kemahuan rakyat, socially accepted. Kes yang sama berlaku bilamana lambakan penganut Katolik hanya mengaut keuntungan ketika tahun 70-an 80- an, mereka menyalahgunakan agama untuk keuntungan, di mana akhirnya penganut Katolik tidak dibenarkan di negara Belanda, tapi atas sikap mahu diterima rakyat, mereka 'tutup mata' sahaja dan jumlah penganut Katolik tidak pernah berkurang dari negar tersebut.


Diceritakan bahawa pelayar yang pulang mahu berehat di kota Belanda, akan pulang untuk benar-benar berehat, jadi gejala minum arak dan hiburan sangat berleluasa. Di belakang red Light distreet  itu ada sebuah gereja yang sangat lama, ia dinamakan “Old Church” kerana mereka yang terkenal dengan sikap yang praktikal. Berbeza bila di Kota London,nama jalan dan nama stesen bus atau tram di sana samada di semadikan nama tokoh atau nama peristiwa sejarah tertentu.


Old Church ini sangat ironi, kerana disekitanya merupakan tempat yang paling banyak gejala hiburan. Mereka akan membayar sejumlah wang, indulgence untuk di ampunkan dosa yang mereka telah lakukan.


Belanda dan Basikal


1 Cycling in Amsterdam.jpg


Jika ada istilah pscyopath, mereka di Amsterdam seolah olah ada istilah cyclepath. Ramah dan baik ketika berjalan, serta merta berubah bila berbasikal. Pejalan kaki menduduki strata terendah dalam piramid kenderaan Belanda.
Basikal yang berada di strata teratas, tidak ada sebab untuk berhenti. Jadi, mata kami memang perlu cekap ketika mahu melintasi jalan. Berlainan daripada kereta dan motorsikal yang dapat dikesan melalui bunyi enjin, basikal mereka boleh datang secara senyap dan tiba-tiba, laju!


Mata di alih kepada bot yang melalui canal-canal di Amsterdam. Seperti polis pun ada, seperti pasukan penyelamat pun ada, mereka khyusuk memerhati sekitar canal, seperti mencari sesuatu. Rupanya baru kami diberitahu, bahawa mereka ini sebahagian daripada majlis bandaraya. Mereka mengangkat basikal basikal yang “hanyut”! Sebanyak ratusan dan kadangkala mencapai ribuan basikal setahun berjaya dijumpai.


Belanda dan Muslim


Dia berbaju biru, ramah dan ceria sekali. Berumur lingkungan 50an, berbangsa India, memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang minat dengan subjek nutrisi. Sejam kami di stesen bus kerana menunggu hari siang. Ramai sekali yang datang bertemu dan berborak dengan beliau, paling tidak pun mereka melambaikan tangan atau mengangguk “hai” dari kejauhan. Baik pelajar sekolah, universiti mahupun pegawai yang bermuka bengis dan berbadan sasa yang sesekali lalu untuk melakukan tugasan mereka, juga datang menyapa beliau.


“I am Muslim”, itulah yang dikenalkan kepada kami. Katanya, “I will help you, buying tickets, explaining you with things that you don’t know, i will be around here doing my work if in case u need me” ,  katanya sebelum beredar dan menyambung kerja. Dilihat dia mengagihkan akhbar percuma, mengelap sini dan sana, mengalih itu dan ini, nampak dia selesa dan suka betul dengan tugasannya di situ.


Sebagai seorang yang tidak tahu apa-apa sangat tentang bandar Amsterdam, pertolongan yang begitu sangat mententeramkan. Kami membuat keputusan ke masjid. Lalu menemuinya sekali lagi “Do you know where is this?,  sambil menunjukkan kepada peta yang di simpan dalam tablet. Kerutan di dahinya seolah-olah memberitahu yang dia kurang nampak, tanpa disuruh aku cepat-cepat membesarkan paparan “view” point di dalam peta itu,  ia tertulis “Shoura Sunni Mosque”. Dia tersenyum, lalu menyambung kerutan di dahi dan menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Aku hairan, masih tak nampak lagi?


Oh, i don’t know this mosque”, jawabnya jujur, menjawab persoalan dihatiku. Namun, katanya sekejap lagi, kawan-kawan muslimnya yang lain akan datang, dan mereka akan tunjukkan masjid yang lebih dekat dari stesen bas ini. Kemudian dia bertanya lagi “At what time usually the mosque is open?” “Oh, am not so sure here in Amsterdam, but usually people will come to perform the Fajr prayer, and the mosque will be lock until Dhuhr”, terangku bersungguh. “Ok, then let’s wait a little bit more”, kami bersetuju.


Biarpun sentiasa ditanamkan dengan sikap supaya berbaik sangka, waspada itu harus sentiasa ada bilamana kita di tempat baru dan menemui orang yang baru. Kami berbual dan berbual, dari topik nutrisi, hingga ke sejarah penjajahan British dan pembahagian jajahan takhluk. Akhirnya beliau mengeluarkan sebatang pen,


“Please, take this as a gift from me, hope you will like Amsterdam”, dia senyum. Mungkin kerana dia melihat aku teragak-agak untuk menerima pemberiannya, dia menyambung “Oh, don’t worry, this is not a very special pen, is just a pen, that you could get it anywhere for free, but it is good enough for a gift and memory from me”, beritahunya selamba. Aku tersengih lalu mengucapkan terima kasih sungguh-sungguh.



Padanlah, ramai menyenanginya, dia pandai mengambil hati dan menjadikan orang yang baru kenal dengannya rasa di hargai. Sebelum berpisah, sebuah buku terkeluar dari poketnya ketika dia cuba mengambil kertas kerana ingin memberikan emelnya kepadaku. Aku terlupa apa tajuk buku itu, kerana aku melihatnya sepintas lalu saja. Tapi rupanya buku tentang satu idealisme yang menyamakan semua agama. “I am reading this book” sambil menunjukkan simbol yang aku tak pasti apa di muka depan buku, dia bertanya “Is this sign of islam?” aku lekas menjawab, “No, this is not Islam”, sedikit hampa.


Tidak begitu pasti mengapa dia memperkenalkan dirinya sebagai muslim, mungkin kerana mahu mewujudkan persamaan dan penerimaan daripada kami. Namun, “tipunya” itu tidak membawa kerugian apa pun, dia tidak mengambil kesempatan, malah, begitu banyak pertolongannya yang menjadikan pagi kami di Amsterdam itu mudah. Tiada yang lain di benak fikiran, melainkan mendoakan dia menemui islam selepas ini. inshallah.

Menginsafi kefaqiran diri


Hiburan yang melampau pasti satu hari akan mebinasakan sesuatu kaum atau satu peradaban. Lihat saja Kerajaan Parsi yang pada satu masa pernah menjadi kuasa besar di dunia Timur, akhirnya ia berakhir dengan kekalahan mereka dalam peperangan Al Qadisiyyah yang bersejarah. Pertempuran pertama mengikut adat peperangan di zaman itu ialah pertarungan panglima yang ditugaskan. Kesemua panglima Islam berjaya menewaskan lawan masing-masing. Panglima Parsi, Rustam serta kerajaannya pada masa itu telah dilanda kebejatan akhlak, mereka juga tidak lagi di hormati rakyat Parsi sendiri, akhirnya berjaya di kalahkan tentera islam di bawah Panglima Saad b. Abi Waqqas.


Meninggalkan Kota Belanda itu sambil menelurusi bait-bait indah dan memotivasikan


Pesan Amirul Mukminin kepada Panglima Saad b Abi Waqas,


“aku berpesan kepadamu dan bala tenteramu, supaya bertaqwa kepada Allah dalam semua keadaan, Maka sesungguhnya bertaqwa kepada Allah itulah sebaik baik persediaan bagi menghadapi musuh dan sekuat-kuat kelengkapan.


Aku perintahkanmu dan sesiapa sahaja supaya berwaspada terhadap DIRI SENDIRI daripada terjerumus kedalam maksiat lebih daripada waspada kamu kepada musuhmu, kerana dosa yang dilakukan oleh tentera itu lebih menakukat daripada musuh-musuh itu sendiri”........


 Semoga kita istiqomah dan terus menjauhi maksiat yang berbahaya untuk pembangunan ummah. 










Saturday, October 18, 2014

Berlin yang bengis

Berlin, Jerman

Penduduknya seperti di Prague, tawar dengan senyuman. Berlainan dengan rakan sekelasku, Thadaus yang berasal dari situ,, biarpun juga jarang memberikan senyuman, namun sesekali apabila menawarkan khidmat atau mengajak berbual sentiasa melebar senyumnya. Berlin, seperti bandar Eropah yang lain, dihias dengan arkitektur yang moden, namun di kekalkan binaan sejarah, atau monumen yang mengajak rakyatnya sentiasa menekuni sejarah lampau, bukan untuk kekal di masa lampau tetapi untuk tidak mengulangi kesalahan lalu, dan bagi mengingati kemegahan bangsa mereka terdahulu. 

Rancangan awal mengikuti "Berlin free tour" daripada Sandemann meleset, biarpun kami merancang namun keyakinan yang Dia Maha Perancang terbaik, menjadikan kami akur. Sandeman free tour ini sememangnya terkenal di Eropah. Mengikuti walking tour adalah jalan singkat mengenali sesuatu bandar, memakan masa 2-3 jam, diketuai seorang tour guide yang bagiku semacam encyclopedia bergerak tu, ditambah pula tiada kos terlibat untuk menaiki kenderaan awam, menjadikannya begitu berbaloi. 

Keyakinan kami menatijahkan kegembiraan apabila kami bertemu dengan "Sight Seeing Tour Bus" dan ditawarkan dengan harga kinder, harga kanak-kanak. Tabiatku yang suka menawar harga, meminta murah itu selalu dapat mengukirkan senyum rakan taulan yang bersama, walaupun mereka mengakui malu nak tebalkan muka! mengakui dengan bajet yang kecil, kami agak berkira untuk benda yang remeh. Kami hop- on dan hop-off  di mana-mana tempat yang menarik. 

Allah Engkau teman berjalan

Ketika bermusafir, pasti ada perancangan kita yang meleset, biar tak banyak, mungkin sedikit. Mengakui yang Eropah merupakan tamadun yang lama dan berpengalaman, menjadikan sistem untuk berkelana sini ke sana itu mudah, namun tiada apa yang pasti, melainkan apa yang ditetapakanNya. Niat yang samar ketika bermusafir, kadangkala menyukarkan perjalanan. zikir dan istighfar banyak memudahkan jalan. Bukan sahaja ketika bermusafir, malah tika mana ingin melakukan apa sahaja tugas pun. 

Kami memakai baju hujan yang sedikit berwarna warni, sesuai dengan weather forecast. Sedang kami menelusuri Kaisserdamn street, terdengar bunyi nyanyian lagu yang tidak asing dengan kami. Lagu Teletubbies!! lagu itu diualng-ulang ulang, seperti meminta respon dari kami.  Akibat kepenatan dek perjalan, malas sungguh kami nak melayan dan ambil pusing, kami membenarkan mereka melepasi dulu. Memakai ketinggian wanita Asia yang normal 150-155cm, nasib kami selalu antara dua, sama ada di layan istimewa sebagai kanak-kanak atau di tertawa atau diejek sebagai anak-anak. 

Menghadapi ejekan dan sindirian bukannya mudah, namun barisan ayat yang baru di baca dalam perjalanan tadi, menjadi motivasi untuk senyum dan bersahaja. Sirah memaparkan yang manusia teragung, baginda rasul yang kita sayangi juga sering diejek dan  sering disindir. Seorang yahudi yang meminta hutang sebelum tiba masa bayaran yang dijanjikan, dengan menggunakan kata-kata yang menyakitkan bagi memalukan Rasulullah saw ditengah khalayak ramai, dia meninggikan suara, "Memang Muhammad seorang yang tidak menepati membayar hutang, begitulah perangai keluarganya juga!" . Rasulullah saw kemudiannya memenangkan para sahabat khususnya saidina Umar yang begitu marah dengan sikap biadap Yahudi tersebut.
Jadi apalah sangat jika sesekali kita dilayan buruk. Mahal dan bagus sangatkah kita? sindirin itu sememangnya daripada remaja-remaja nakal di situ, namun hakitkatnya Allah mahu menguji keegoan dalam diri kita.

Malu untuk bereaksi melampau, malas membalas sindirian, moga ada bahagian kami daripada Ilahi. Kita yang sebenarnya boleh menentukan kebahagiaan emosi diri sendiri. Ahh biarkan saja, syukur, dengan tudung di kepala, sedikit sebanyak memaksa kami bersikap profesional. 

Muslimnya yang gigih

ketika berjalan pulang menelusuri sepanjang kedai kedai di kota Berlin, mataku terpegun dengan seorang wanita bertudung. Iras wajahnya seolah olah memberitahuku yang dia penduduk tempatan. berkerudung merah, membawa tas tangan yang juga merah, ke pejabat mungkin. Teringat aku kepada sahabat Bosniaku, Elvira Korman. air matanya ketika mengadu menceritakan nasibnya bertudung di Bumi Eropah masih jelas di dalam mindaku. Kemungkinan muslimat ini juga sama, mereka tak mudah mendapat kerja, dan kadangkala di layan kurang baik. Hanya iman yang membantu kekal bertudung. Diakui Elvira,di sestengah tempat di Bosnia, dia terpaksa akur menanggalkan tudung dengan hati yang terpaksa. Semoga kami dapat menyerap semangat yang ada pada mereka, dan di istiqomahkan mereka. 

kami akhirnya sampai ke Massenderm, stesen bas yang menghuni puluhan bas yang mahu kepelbagai destinasi.

Amsterdam kami datang! 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...