Social Icons

Sunday, November 2, 2014

Tafsir Surah al-Baqarah ayat 17

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

1) Di awal surah al-Baqarah, Allah menceritakan berkenaan tiga golongan yang dikategorikan mengikut kaca mata iman, iaitu golongan yang beriman, yang kufur dan yang munafik. 13 ayat telah di khaskan pada 20 ayat pertama yang mengisahkan golongan ini, yang mana menunjukkan akan kepentingannya untuk memahami ciri golongan tersebut. Dan pada ayat ke-17 surah al-Baqarah, Allah telah memberi satu perumpamaan yang dalam maknanya berkenaan orang munafik.
2) Allah telah memberi perumpamaan pada ayat ke-17 akan salah satu asas kehidupan yang sangat penting bagi umat manusia, iaitu api. Dan jika dilajakkan ke ayat seterusnya, Allah telah menggunakan unsur air, yang juga asas kehidupan manusia.
3) Api mempunyai sifat yakni membakar. Ia menjadi sumber cahaya bagi mereka dalam kegelapan. Dan di sini, Allah s.w.t. membayangkan yang mana orang munafik itu menyalakan api bagi menerangi (adha-at) sekeliling (yakni berharapkan akan adanya cahaya yang terhasil). Namun Allah menghilangkan cahaya yang sepatutnya terhasil.
4) Ini menimbulkan satu persoalan. Kenapa cahaya yang Allah hilangkan? Kenapa bukan sumber api itu? Mari kita rujuk surah Yunus ayat kelima.



Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah- pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).

Matahari diberi sifat bersinar/menerangi (dhiya), sama seperti sifat api, manakala bulan diberi sifat bercahaya (nura).

5) Apa yang dapat ditafsir oleh sesetengah penafsir dari penggunaan sifat-sifat ini, adalah api itu seumpama wahyu Allah. Al-Quran. Dan dijanjikan terpelihara sehingga datangnya hari Kiamat. Tidak akan sekali-kali hilang. Namun yang dihilangkan itu adalah cahaya. Yakni kapasiti hati-hati yang terdedah kepada sumber yang menyinari. Sumber yang menyinari itu tidak dapat memberi manfaat kepada mereka yang tidak mendapat keizinan Allah s.w.t.. Sesungguhnya hidayah Allah kerap disama ertikan dengan cahaya. Allah-lah yang memilih siapa yang mampu menerima cahaya tersebut.
6) Tafsiran ayat ini diperkukuhkan ayat seterusnya (telah di alih bahasa) iaitu: Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran). (al-Baqarah ayat 19)
7) Acap kali kita diingatkan sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Hidayah itu rahmat Allah. Maka tetapkanlah berdoa dan pohonlah kepada-Nya agar hati kita ini tidak tergolong seperti mana golongan munafik dan sentiasa menerima cahaya dari-Nya.

Allahu a'lam

Saturday, November 1, 2014

Tafsir Surah al-Ankabut ayat 41

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang mendirikan rumah (untuk menjadi tempat perlindungannya) padahal sesungguhnya rumah yang sehabis-habis reput ialah rumah labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.

1) Sebelum manusia betul-betul memahami struktur pembinaan sarang labah-labah, ayat ini kelihatan terus kepada maksud (straight foward). Memang mudah untuk mecarikkan sarang labah-labah.
2) Namun selepas penemuan dan pemahaman yang lebih dalam berkenaan bagaimana labah-labah membina sarangnya (yang mana kekuatannya benang labah-labah jika diberi sama ketebalan, ia antara struktur terkuat yang wujud), maka wujud pertanyaan ke atas ayat ini.
3) Di sini terkandung seribu satu hikmah dari sisi saintifik jika diteliti akan penggunaan perkataan yang sangat spesifik dalam ayat tersebut. 'At-takhazat'; iaitu mendirikan di dalam bentuk past tense, gender feminin (fe'el amar, muannas) memberi gambaran bahawa yang mendirikan itu adalah labah-labah betina. Diketahui dalam kajian labah-labah, yang membuat sarangnya merupakan labah-labah benita, jauh selepas al-Quran diturunkan.
4) Penggunaan perkataan 'al-bayt' selepasnya iaitu rumah (walaupun dalam alih bahasa melayu selalunya terus di sama erti dengan sarang) memberi satu persoalan akan pemilihan perkataan tersebut. Mengapa tidak diletakkan perkataan sarang, atau jaring, atau bebenang? Penggunaan 'al-bayt' sebenarnya membawa erti lain seperti keluarga (contoh: bayti jannati). Maka sesungguhnya melalui kaedah saintifik, selain di ketahui yang pembina rumah labah-labah itu labah-labah betina, namun cara bagaimana labah-labah itu berkembang biak juga 'dikawal' oleh labah-labah betina.
5) Selepas sebuah sarang labah-labah disiapkan, labah-labah betina akan menerima kunjungan labah-labah jantan bagi tujuan kelansungan spesis. Labah-labah betina bertindak sebagai yang paling dominan dalam struktur kekeluargaan labah-labah, di mana selepas persenyawaan berlaku, kebanyakan labah-labah jantan akan dibunuh sebagai makanan. Dan wujud juga di antara spesis-spesis labah-labah yang selepas telurnya menetas, si anak memakan ibunya.
6) Maka, jika diambil ibrah akan keunikan kejadian Allah yang diberi gelaran labah-labah ini, dapatlah kita hayati akan perumpamaan yang Allah berikan bagi mereka yang menyekutukanNya. Sesungguhnya mereka yang mengharapkan perlindungan selain Allah, nescaya mereka akan binasa disebabkan oleh apa yang mereka syirikkan, dan sesungguhnya benda yang mereka syirkkan itu juga turut akan binasa.
7) Dan sangat cantik Allah letakkan 'bagi orang yang berpengetahuan', yang mana seakan satu mesej tersembunyi bahawa terdapat perkara yang lebih mendalam dari sekadar sebuah sarang labah-labah.

Allahu a'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...