Social Icons

Sunday, February 26, 2012

Ashabatul Hamra'

     Ashabatul hamra' atau si ikat kepala merah merupakan gelaran yang diberikan kepada salah seorang sahabat nabi yang sangat berani di medan perang iaitu Abu Dujanah. Beliau diberi gelaran itu kerana setiap kali di medan pertempuran beliau akan mengikat kepala beliau dengan kain merah yang bertuliskan: nashrun minAllah wa fathun qarib( pertolongan dari Allah SWT dan kemenangan telah dekat). 
     Kehebatan beliau di medan perang terserlah ketika di medan Uhud. Dalam satu peristiwa ketika perang Uhud, bagi membakar semangat para sahabat, Rasulullah SAW telah menawarkan pedang baginda kepada   para sahabat. Ramai sahabat yang bangkit untuk mengambilnya termasuklah Abu Dujanah. Atas kepahlawanan beliau, Rasulullah SAW menyerahkan pedang tersebut kepada Abu Dujanah. Setelah menerima pedang tersebut, beliau mengikat kepalanya dengan kain merah dan berjalan mengembangkan diri di tengah-tengah barisan. Ketika itulah, Rasulullah SAW berkata "sesungguhnya perbuatan itu merupakan perbuatan yang sangat dibenci Allah SWT, kecualilah di tempat ini". 

     Tentera musrikin sendiri mengetahui bahawa kalau Abu Dujanah telah mengenakan ikat kepala merahnya, bermakna dia siap berperang bermati-matian. Beliau membunuh setiap musrikin yang ditemuinya dan menerjang barisan kaum musrikin tanpa sekelumit rasa gentar. Walaupun beliau kelihatan sangat rakus dalam memerangi musuh Allah, tidah semua musuh Allah dibunuhnya. Ketika di medan Uhud, ketika Abu Dujanah siap menghayunkan  pedangnya untuk melibas, ternyata tentera musrikin tersebut adalah seorang wanita. Abu Dujanah meletak pedang di atas kepala wanita itu dan kemudian menariknya. Beliau tidak sanggup mempergunakan pedang Rasulullah SAW untuk membunuh wanita. Ternyata wanita Quraisy tersebut adalah Hindun binti Utbah.
        Keberanian dan kesetiaannya pada Rasulullah SAW juga dapat dilihat ketika saat genting di bukit Uhud dimana tentera musrikin beramai-ramai memusatkan serangan mereka keatas Rasulullah SAW dan bercita-cita membunuh baginda. ketika itu hanya beberapa sahabat bersama-sama baginda termasuklah Abu Dujanah. Abu Dujanah berdiri tegak di hadapan Rasulullah SAW menjadikan belakangnya sebagai perisai untuk melindungi beliau. Beberapa anak panah menancap di belakangnya, namun dia tetap berdiri tidak bergerak. Antara sahabat lain adalah Thalhah bin Ubaidillah yang bermati-matian melindungi baginda sehinggakan Rasulullah SAW berkata "siapa yang ingin melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi, maka lihatlah Thalhah bin Ubaidillah".
           Semoga keberanian Abu Dujanah ini dapat dijadikan pembakar semangat dalam memperjuangkan agama Allah ini. Allahu'alam

dipetik dari buku belajar dari perang Uhud




Friday, February 24, 2012

ibadah yang mudah: DIAM dan berakhlak mulia

"eh kau ni, mesti tak penah basuh baju tu kan? Kotor betul aku tgk!" mencebik mulut..

"aku baru je terjatuh lagi tadi, yang semalam tu aku basuh dah"...sambil tersenyum..

Benarlah kadangkala apa yang kita sangka itu salah, jangan laju sangat mulut tu menempelak dan memberi tuduhan kerana itu bisa menyakitkan hati, meretakkan hubungan, mengeruhkan keadaan, dan yang paling takut, menambahkan dosa,
Di Riwayatkan bahawa Umar bin Khatab melihat Abu Bakar As Sidiq menarik lidaahnya dengan tangannya, lalu Umar bertanya,"apa yang anda lakukan, wahai khalifah Allah?"
Beliau menjawab, "Ada sumber yang menjelaskan kepadaku bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda,

"Tidak ada satupun dari anggota tubuh melainkan semuanya menyampaikan pengaduan kepada Allah atas ketajaman lidah"
Dari Ibnu Mas'ud bahawa dirinya berada di atas bukit Safa membaca talbiyah dan berkata,
"Wahai lidah, katakanlah yang baik, engkau akan beruntung. Diamkanlah yang buruk, engkau akan selamat sebelum engkau menyesal." Ada yang bertanya kepadanya
"Wahai Abdirrahman, apakah ini engkau yang mengatakannya atau pernah engkau dengar?"
Lalu beliau menjawab, "Tidak, tetapi pernah aku dengan Rasulullah SAW bersabda,

"Sesungguhnya kebanyakan dosa manusia itu (bersumber) pada lidahnya" 


Astagfirullah hal 'Azim,,,moga kita sentiasa menjaga tutur kata kita
jadi, bayangkan kita punya limit perkataan untuk ditulis di 'wall' facebook atau untuk bertutur setiap hari, 
supaya...kita lebih memilih untuk menulis dan bercakap..
Sabda Rasulullah SAW: "SIMPANLAH lidahmu kecuali untuk yang baik, sebab dengan begitu engkau telah mengalahkan syaitan": At tabrani

KESIMPULAN :

Rasulullah SAW: "Maukah kamu kuberitahukan ibadah yang paling mudah dan ringan di badan? iaitu DIAM 


dan BERAKHLAK BAIK"



Tuesday, February 7, 2012

Ibnu Qayyim - Taubat dan Kesombongan

Humility

Ibnu Qayyim berkata, " Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebaikan untuk hambaNya, Dia menjauhkan pandangan hambaNya daripada kebaikan yang dilakukannya, dan menjauhkan hambaNya daripada menyebut-nyebut kebaikan yang telah dilakukannya. Lantas menyebabkan hambaNya sentiasa teringatkan dosanya, terus-menerus mengingati dosa-dosa tersebut sehingga dia masuk ke syurga. Hal ini kerana, tanda-tanda amalan yang diterima adalah amalan-amalan tersebut tidak lagi disebut-sebut oleh lidah dan tidak lagi diingati oleh hati."
Dan salah seorang Salaf berkata, "Sesungguhnya ada hamba yang berbuat kesilapan yang memasukkannya ke syurga. Ada pula yang berbuat amal tetapi amalnya membawanya ke neraka"
Mereka berkata, "Bagaimana begitu?"
Dia menjawab, "Dia membuat silap, dan kesilapan itu kekal di matanya, di hatinya. Apabila dia mengingatinya kembali, dia menyesal, dia kembali kepada Tuhan, dan bersegera memadamkannya, dan dia menjadi lemah dan rendah diri di hadapan Tuhannya, lantas hilang rasa takbur dan sombongnya. Dan dia pula membuat kebaikan, dan kebaikan itu kekal di matanya, di hatinya, dan timbul perasaan takbur dan perasaan sombong kerananya, sehingga dia memasuki api neraka. 
Diterjemah daripada buku The Message from Tabuk.

Sunday, February 5, 2012

Dakapan Erat dan Kucupan Dahi

Ketika Rasulullah dan para sahabat masih di Mekah, mereka diancam dengan pelbagai cara dan ditindas oleh musyrikin Quraisy. Dan dengan sebab itu, Rasulullah menganjurkan sebahagian sahabat supaya berhijrah ke Habsyah untuk sementara waktu. Penghijrahan ke Habsyah yang terletak di benua Afrika itu dipimpin oleh bapa saudara Rasulullah sendiri, iaitu Saidina Jaafar. Selain bertujuan untuk menyelamatkan keimanan para sahabat, penghijrahan ini juga bermatlamat untuk menyebarkan Islam di kalangan masyarakat Habsyah.


Setelah sekian lama berpisah, Rasulullah menyambut kepulangan Saidina Jaafar dengan dakapan erat dan kucupan di dahi. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada sanad yang sahih ada menjelaskan dengan nyata perbuatan Rasulullah ini. Selain itu, Rasulullah turut mendakap dan mengucup dahi anak angkatnya, Zaid bin Haritsah yang berjaya membebaskan diri daripada cengkaman musyrikin Quraisy, kemudian mengikuti jejak baginda berhijrah ke Madinah. At-Tirmizi meriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a. katanya, 


"Ketika Zaid tiba di rumah Siti Aisyah, Rasulullah dengan amat gembira menyambut kedatangannya. Baginda telah mendakap Zaid serta mengucup dahinya."
Kedua-dua kisah Saidina Jaafar dan juga Zaid bin Haritsah ini menjadi dalil bahawa perbuatan memeluk dan mengucup dahi orang yang datang dari jauh, ataupun mereka yang sudah lama tidak bertemu, adalah perbuatan yang sangat digalakkan oleh syarak.


Petikan dari buku Muhammad saw, insan teladan sepanjang zaman oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.





Wednesday, February 1, 2012

Membaca al-Quran, Latihan ke Arah Pembinaan Peribadi Muslim

بسم الله الرحمن الرحيم

Sabda Baginda: Orang yang dalam hatinya tidak ada sedikit pun daripada al-Quran samalah seperti rumah yang telah runtuh (Riwayat at-Tirmizi)

Tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah;
 ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ
Maksudnya: Kitab (al-Quran) itu tidak ada keraguan padanya sebagai petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.
(surah al-Baqarah: 2)

Ketaqwaan ialah asas kepada peribadi Muslim. Mengikut ayat di atas, ketaqwaan bersandarkan keseluruhan ajaran al-Quran itu sendiri. Oleh sebab itulah Sayidatina Aisyah pernah menyifatkan peribadi Rasulullah S.A.W. sebagai penghayatan al-Quran itu sendiri.

Begitulah al-Quran merupakan rujukan terbesar dalam pembinaan peribadi Muslim. Oleh sebab itu Allah sentiasa menggesa umat Islam supaya membaca al-Quran. Di samping memberikan pengertian-pengertian jelas mengenai hakikat-hakikat Islam untuk dihayati, al-Quran juga memberi rasa pendekatan yang tidak terhingga dalam perasaan pembacanya kepada Allah. Dengan rasa yang jernih dan murni itulah kecintaan kepada Allah menjadi lebih bertambah dan keluhuran peribadi lebih terserlah.

Dalam al-Quran, Allah sendiri memberi tahu:
وَلَقَدۡ يَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ لِلذِّكۡرِ فَهَلۡ مِن مُّدَّكِرٍ
Maksudnya: Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
(surah al-Qamar: 17)

Sementara Rasulullah S.A.W. pula, dalam pengertian yang sama bersabda:

Maksudnya: “Dalam al-Quran itu terdapat cerita tentang orang terdahulu, berita mengenai orang akan datang dan ketetapan hukum antara kamu.

Dalam satu riwayat daripada Abdullah bin Ibn Mas'ud mengenai kepentingan al-Quran dalam hidup manusia, Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “ Rumah yang paling kosong sekali daripada kebaikan ialah rumah yang kosong daripada al-Quran.”

Tentu sekali kekosongan yang dimaksudkan di atas bukannya ketiadaan naskah al-Quran di rumah berkenaan, tetapi sebaliknya ketiadaan pembacaan dan penghayatan.

Pengertian seperti ini boleh kita dapati daripada hadis lain apabila Rasulullah S.A.W. menasihatkan Anas R.A. supaya sentiasa membaca al-Quran. Sabda Baginda:

Maksudnya: “Wahai anakku, jangan lupa membaca al-Quran sama ada pada waktu pagi atau waktu petang, kerana al-Quran menghidupkan hati yang mati dan menghalang daripada perlakuan keji, mungkar dan melampau.”

Menegaskan lagi kepentingan al-Quran dalam hidup manusia dan bagaimana hidup itu musnah sama sekali tanpa al-Quran, Rasulullah S.A.W. bersabda sebagaimana riwayat Ibn Abbas:

Maksudnya: “ Orang yang dalam hatinya tidak ada sedikit pun daripada al-Quran samalah seperti rumah yang telah runtuh.” (Riwayat at-Tirmizi)

Dalam suatu hadis yang lain pula, Rasulullah S.A.W. menyebut sebagaimana diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab:

Maksudnya: “Dengan al-Kitab (al-Quran) ini Allah mengangkat kaum-kaum tertentu dan menjatuhkan kaum-kaum tertentu.” (Riwayat Muslim)

Walaubagaimanapun, dalam melakukan amalan membaca al-Quran, keimanan kepada Allah dan kefahaman tentang al-Quran itu sendiri menjadi syarat utama. Sehubungan dengan itu, Rasulullah S.A.W. bersabda, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya'ari:

Maksudnya: “Bandingan seorang Mukmin yang membaca al-Quran samalah seperti buah 'Utrujjah', baunya sedap dan rasanya pun enak. Bandingan Mukmin yang tidak membaca al-Quran samalah seperti buah 'tamar' tidak berbau tetapi lazat rasanya. Bandingan orang Munafiq yang membaca la-Quran samalah seperti buah 'raihanah', baunya sedap dan rasanya kelat. Bandingan orang Munafiq yang tidak membaca al-Quran samalah seperti buah 'hanzalah', tidak berbau dan kelat rasanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

*utrujjah=limau, tamar=kurma, buah raihanah=ada sumber mengatakan, ia bermaksud 'bunga', hanzalah= buah seperti labu

Antara cara yang dinasihati oleh Rasulullah S.A.W. dalam bermanfaat dengan al-Quran ialah sentiasa membacanya dan tidak meninggalkan bacaan itu dalam tempoh yang agak lama. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy'ari, Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “Selalu-selalulah membaca al-Quran, kerana demi Allah, ia cepat lari daripada unta di tambatan.”
(Hadis Mutafaq 'alaih)

Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibn Umar, Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “Tuan punya al-Quran samalah seperti tuan punya unta yang tertambat. Kalau ia betul-betul menjaganya, dia akan tetap menguasainya, tetapi kalau ia membiarkannya, ia akan pergi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allahu a'lam

Sumber: Buku 'Peribadi Muslim' karangan Mahmood Zuhdi Hj Abdul Majid


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...