Social Icons

Sunday, February 26, 2012

Ashabatul Hamra'

     Ashabatul hamra' atau si ikat kepala merah merupakan gelaran yang diberikan kepada salah seorang sahabat nabi yang sangat berani di medan perang iaitu Abu Dujanah. Beliau diberi gelaran itu kerana setiap kali di medan pertempuran beliau akan mengikat kepala beliau dengan kain merah yang bertuliskan: nashrun minAllah wa fathun qarib( pertolongan dari Allah SWT dan kemenangan telah dekat). 
     Kehebatan beliau di medan perang terserlah ketika di medan Uhud. Dalam satu peristiwa ketika perang Uhud, bagi membakar semangat para sahabat, Rasulullah SAW telah menawarkan pedang baginda kepada   para sahabat. Ramai sahabat yang bangkit untuk mengambilnya termasuklah Abu Dujanah. Atas kepahlawanan beliau, Rasulullah SAW menyerahkan pedang tersebut kepada Abu Dujanah. Setelah menerima pedang tersebut, beliau mengikat kepalanya dengan kain merah dan berjalan mengembangkan diri di tengah-tengah barisan. Ketika itulah, Rasulullah SAW berkata "sesungguhnya perbuatan itu merupakan perbuatan yang sangat dibenci Allah SWT, kecualilah di tempat ini". 

     Tentera musrikin sendiri mengetahui bahawa kalau Abu Dujanah telah mengenakan ikat kepala merahnya, bermakna dia siap berperang bermati-matian. Beliau membunuh setiap musrikin yang ditemuinya dan menerjang barisan kaum musrikin tanpa sekelumit rasa gentar. Walaupun beliau kelihatan sangat rakus dalam memerangi musuh Allah, tidah semua musuh Allah dibunuhnya. Ketika di medan Uhud, ketika Abu Dujanah siap menghayunkan  pedangnya untuk melibas, ternyata tentera musrikin tersebut adalah seorang wanita. Abu Dujanah meletak pedang di atas kepala wanita itu dan kemudian menariknya. Beliau tidak sanggup mempergunakan pedang Rasulullah SAW untuk membunuh wanita. Ternyata wanita Quraisy tersebut adalah Hindun binti Utbah.
        Keberanian dan kesetiaannya pada Rasulullah SAW juga dapat dilihat ketika saat genting di bukit Uhud dimana tentera musrikin beramai-ramai memusatkan serangan mereka keatas Rasulullah SAW dan bercita-cita membunuh baginda. ketika itu hanya beberapa sahabat bersama-sama baginda termasuklah Abu Dujanah. Abu Dujanah berdiri tegak di hadapan Rasulullah SAW menjadikan belakangnya sebagai perisai untuk melindungi beliau. Beberapa anak panah menancap di belakangnya, namun dia tetap berdiri tidak bergerak. Antara sahabat lain adalah Thalhah bin Ubaidillah yang bermati-matian melindungi baginda sehinggakan Rasulullah SAW berkata "siapa yang ingin melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi, maka lihatlah Thalhah bin Ubaidillah".
           Semoga keberanian Abu Dujanah ini dapat dijadikan pembakar semangat dalam memperjuangkan agama Allah ini. Allahu'alam

dipetik dari buku belajar dari perang Uhud




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...