Social Icons

Sunday, March 18, 2012

Lelaki tua dan cucunya

0955
Pada suatu pagi yang indah di Karlovo Namesti.
Saya bergerak ke tram stop di hadapan apartment saya, untuk memenuhi janji ke "taman-taman syurga"; jemputan mingguan yang sememangnya amat saya sukai. Saya tahu yang saya hampir terlepas masa yang dijanjikan, lantas mesej dihantar kepada sahabat, memaklumkan bahawa saya mungkin terlewat.


1010
Saya mula resah. Tram yang sepatutnya sampai 10 minit lepas tidak kunjung tiba. Mungkin kerana hujung minggu, hari orang tidak bekerja. Meskipun begitu, hati merungut kerana tram yang tidak menepati jadual. "Nak pergi majlis ilmu pun payah," hati kecil berdetik.
Tiba-tiba minda mengingatkan : 

وَعَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ:وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقًايَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا,سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا إِلَى الجَنَّةِ
Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, sesungguhnya Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (H.R Muslim)

Segera saya beristighfar. Hadis ringkas, yang selalu dibacakan tatkala mendengar perkongsian daripada sahabat dan senior. Hadis ringkas, yang dengannya, Allah turunkan ketenangan dan kegembiraan kepada jiwa saya.  

Lantas saya alihkan pandangan kepada penduduk tempatan yang turut resah menunggu tram bersama-sama saya. Perhatian saya tertumpu kepada seorang lelaki tua dengan 3 orang anak kecil. Semuanya perempuan. Saya kira lelaki tua itu adalah datuk kepada anak-anak tersebut. Saya perhatikan salah seorang gadis kecil yang sedang memegang sesuatu di tangannya. Sesuatu yang bersinar; mungkin kaca, mungkin kristal murah. Yang pasti, objek berbentuk kucing itu menyenangkan hatinya. Gadis kecil itu adalah anak istimewa. Sememangnya dia lebih asyik dalam dunianya di tengah-tengah kesibukan orang ramai.

Telefon berbunyi menandakan masuknya mesej dari sahabat. Dalam masa beberapa saat perhatian saya teralih, terdengar satu bunyi di tengah-tengah kesibukan jalan di Karlovo Namesti. 

Saya lihat objek mainan gadis kecil itu tergolek di tengah jalan, entah bagaimana terjatuh, saya tidak tahu. Dilanggar pula oleh sebuah kereta, terpecah dua. Dilanggar lagi oleh beberapa kenderaan lain, hancur satu bahagian daripada pecahan itu. 


Saya perhatikan pandangan sayu gadis kecil itu. Saya lihat pula si lelaki tua; datuknya, yang turut memerhatikan nasib mainan itu di tengah jalan. Sememangnya tak dapat diselamatkan lagi.
Saya terkejut. Terkejut bila melihat lelaki tua tersebut melangkah ke tengah jalan. "Apa yang mahu dibuatnya di tengah-tengah jalan yang sibuk itu?" minda bertanya. Ternyata si lelaki tua mengutip satu bahagian mainan anak itu yang masih belum hancur. Minda separuh menyangka bahawa dia akan menghulurkan cebisan itu kepada cucunya. Namun tidak.
Lelaki tua itu meletak cebisan tersebut di tepi jalan. Kemudian dia kembali kepada cucu-cucunya.
"Subhanallah!" hati berseru.

يَا رَ سُوْ لَ الله ِدُ لَّنِي عَلَى عَمَلٍ أَ نْتَفِعُ بِهِ قَالَ:اِعْزِلْ الْأَ ذَى عَنْ طَرِ يْقِ الْمُسْلِمِيْنَ
“Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang dapat bermanfaat bagiku.” Beginda menjawab, “Singkirkanlah gangguan dari jalan-jalan kaum muslimin.” (H.R Muslim)
Sungguh saya terkesan dengan perbuatan lelaki tua tersebut. Betapa sesungguhnya di bumi asing ini, saya diingatkan kembali akan ajaran agama yang menyuruh kita menjaga kemaslahatan umat, diingatkan kepentingan agar saling menjaga di kalangan saudara, diingatkan akan hadis junjungan besar mengenai cabang-cabang iman : 
Iman itu ada 73 cabang; yang paling tinggi adalah kalimah La Ilaha Illallah dan yang paling rendah adalah menyingkirkan duri dari jalan.
1015
Tram yang dinanti akhirnya tiba. Saya kemudiannya menuju ke tempat pertempuan dengan sahabat, meninggalkan lelaki tua itu dengan cucu-cucunya.
Saya mendapat pengajaran yang amat bermakna pada pagi itu.


Orang bukan Islam punya kesedaran untuk membantu orang di sekelilingnya. Lantas, kita sebagai Muslim hendaklah lebih-lebih lagi berusaha untuk menjaga kemaslahatan umat, kerana sesungguhnya kita dibekalkan dengan mutiara aqidah Islamiyah yang tidak dipunyai oleh mana-mana umat lain.


Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ada seseorang laki-laki yang melewati ranting berduri berada di tengah jalan. Dia mengatakan, ‘Demi Allah, aku akan menyingkirkan duri ini dari kaum muslimin sehingga mereka tidak akan terganggu dengannya.’ Maka Allah pun memasukkannya ke dalam surga.” (Riwayat Imam Muslim)


Dalam riwayat lain, juga dari Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW telah bersabda, “Sungguh, aku telah melihat seorang laki-laki yang tengah menikmati kenikmatan di syurga disebabkan ia memotong duri yang berada di tengah jalan, yang duri itu mengganggu kaum muslimin.” 

Tuesday, March 6, 2012

Sejengkal Lebih Dekat ke Syurga

Kisah ini masyhur di kalangan orang- orang soleh, namun kesahihannya tidak dapat dipastikan. Walaupun begitu, ambillah iktibar dari kisah ini. Semoga Allah memberkati usaha kita untuk memperbaiki diri.

Pernah wujud suatu ketika dahulu, seorang lelaki yang amat kejam. Dia pernah membunuh 99 orang. Pada suatu masa dia teringat akan dosa-dosanya dan mahu minta ampun daripada Allah, tetapi dia ingin tahu apakah Allah masih mahu menerima taubatnya.

Dia pun pergi berjumpa dengan seorang alim di kampungnya bagi mendapatkan jawapan berkenaan kemusykilan itu.

Orang alim itu menyuruhnya pergi bertanya kepada seorang paderi yang dapat mendegnar masalahnya, lalu dia pun pergi mencari paderi itu.

Apabila berjumpa dengan paderi itu, orang jahat itu pun berkata, "Saya sudah membunuh 99 orang. Adakah saya masih boleh bertaubat lagi?"

"Tidak akan ada taubat lagi bagi orang yang seperti kamu," jawab paderi itu.

Lelaki itu naik marah lalu dibunuhnya paderi itu. Sekarang sudah genap 100 orang dibunuhnya.

Kemudian dia pergi semula kepada orang alim di kampungnya. Dia disuruh pergi berjumpa dengan seorang alim lain.

Dia pun pergi mencari si alim itu dan berkata kepadanya, "Saya sudah membunuh 100 orang. Adakah saya masih boleh bertaubat?"

"Boleh!" jawab orang alim itu. "Siapakah yang dapat menghalang tuan daripada bertaubat?"

Kemudian orang alim itu berkata lagi, "Sekarang tuan pergilah ke daerah Fulan. Di sana ramai orang menyembah Allah. Tuan ikutlah mereka bersama- sama mernyembah Allah. Jangan tuan pulang ke kampung tuan, kerana di sana tempat tinggal ramai orang yang jahat."

Lelaki itu pun memulakan perjalanannya menuju ke daerah Fulan, tetapi di pertengahan jalan, dia meninggal dunia.

Pada saat itu Malaikat Rahmat berselisih pendapat dengan Malaikat Azab.

"Lelaki ini sudah menuji kepada Allah untuk bertaubat dengan sepenuh hatinya," kata Malaikat Rahmat.

"Lelaki ini tidak pernah melakukan sebarang kebaikan sama sekali," kata Malaikat Azab.

Datang seorang malaikat lain dalam bentuk manusia. Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab melantik malaikat ketiga itu menjadi hakim bagi mereka.



"Ukurlah jarak antara dua tempat itu, yakni antara kampung asalnya dengan daerah Fulan yang ditujunya, jarak mana yang lebih dekat, itulah keputusannya," kata malaikat yang menyerupai manusia itu.

Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab pun mula mengukur kedua-dua jarak itu. Mereka dapati lelaki itu lebih dekat satu jengkal sahaja kepada daerah Fulan di mana para penduduknya menyembah Allah.

Dengan itu, rohnya diambil oleh Malaikat Rahmat dan dosa-dosanya diampunkan oleh Allah.

Usaha lelaki tersebut untuk membaiki dirinya telah dibalas oleh Allah. Allah telah mentakdirkan si lelaki tersebut mati pada jarak hanya sejengkal lebih ke arah daerah Fulan tersebut.
Subhanallah, Maha Suci Allah. Allah Maha Pengampun segala dosa.

Tawaduk: Jati Diri Muslim


Islam menganjurkan umatnya memiliki ciri-ciri peribadi yang mulia seperti tawaduk, sentiasa bertakwa pada Allah dan bersikap qanaah. Tawaduk  harus menjadi hiasan diri setiap muslim kerana ia melambangkan berilmu. Seseorang tidak menyombong diri malah mudah mesra dan lembut dalam berhubung dengan orang lain.
Sifat tawaduk adalah sunnah Nabi saw. Jika kita meneliti sikap Nabi saw dalam melalui kehidupannya maka kita akan menjumpai nilai-nilai tawaduk yang murni itu. Hal itu dijelaskan oleh Ja’afar al Barzanji dalam kitabnya yang terkenal iaitu Kitab Barzanji menyatakan, “Rasulullah saw itu sopan santun orangnya, suka merendah diri serta tidak menolak pekerjaan biasa untuk dikerjakan olehnya. Baginda juga menjahit sendiri kasutnya, menampal kain atau bajunya yang koyak. Baginda juga memerah susu kambingnya, malah Nabi saw telah menunaikan segala kewajipan terhadap ahli rumahnya dengan baik”.
Dalam bahagian yang lain Ja’afar al Barzanji melukiskan lagi perwatakan Nabi saw yang bersikap tawaduk dalam melalui kehidupan seharian. “Rasulullah saw sangat menaruh kasihan belas kepada fakir miskin malah kerap duduk bersama-sama mereka dengan merendahkan diri baginda.” Dan sikap tawaduk Nabi saw ini jugalah menjadi faktor pemangkin kepada mudahnya Islam diterima. Justeru, kita sebagai muslim beriman sewajar mengikuti contoh yang telah ditunjukkan Nabi saw.
Masyarakat Melayu memang terkenal dengan amalan seperti budi pekerti, akal budi, budi bahasa dan sebagainya. Inilah adat dan amalan budaya yang menepati makna tawaduk itu dan seharusnya masyarakat Melayu kekalkan dan dihidup-suburkan ke dalam jiwa generasi muda. Ia harus diterapkan sejak anak-anak masih kecil agar menjadi kebiasaan. .
Imam al Ghazali mewasiatkan kepada kita yang katanya , “Menanamkan iman dalam diri anak merupakan kewajipan orang tua. Anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitif dengan Tuhan. Apabila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa”.  Ini jelas menggambarkan betapa pentingnya setiap ibu bapa itu mendidik anak-anak mereka dengan sifat tawaduk agar mereka membesar dalam etika tatalaku dan sahsiah peribadi yang menepati kehendak agama yang sentiasa ingat kepada Allah dan takut untuk berbuat dosa.
Jika kita perhatikan dalam suasana hidup sesetengah golongan muda sekarang, nilai tawaduk semakin terhakis dan rasa malu itu sudah menipis. Sebab itulah pelbagai gejala sosial timbul dan mengancam kelangsungan iman. Apabila sikap tawaduk ditinggalkan, maka umat Islam akan menjadi umat yang hidup mementingkan diri, berperangai sombong, takabur dan tanpa segan-segan melakukan dosa. Kata Ibrahim bin Syaiban, “Kemuliaan ada pada tawaduk, kekuatan ada pada takwa dan kebebasan ada pada qana’ah”. Manakala Sufian At-Thauri pula menegaskan bahawa,  “Makhluk yang paling mulia jiwanya ialah alim yang zahid, faqeh yang sufi, kaya yang tawaduk dan fakir yang syukur.
Ingatlah pesan Allah dalam Surah Al-Furqan ayat 63 yang bermaksud, “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya) ialah mereka orang yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka. Mereka menjawab dengan kata-kata yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.”
Demikianlah sikap tawaduk yang mesti dihayati di jiwa setiap insan yang beriman agar dapat menjadi contoh terbaik dan bersesuaian dengan anugerah Allah kepada umat Islam dengan gelaran umat yang terbaik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...