Kisah ini masyhur di kalangan orang- orang soleh, namun kesahihannya tidak dapat dipastikan. Walaupun begitu, ambillah iktibar dari kisah ini. Semoga Allah memberkati usaha kita untuk memperbaiki diri.
Pernah wujud suatu ketika dahulu, seorang lelaki yang amat kejam. Dia pernah membunuh 99 orang. Pada suatu masa dia teringat akan dosa-dosanya dan mahu minta ampun daripada Allah, tetapi dia ingin tahu apakah Allah masih mahu menerima taubatnya.
Dia pun pergi berjumpa dengan seorang alim di kampungnya bagi mendapatkan jawapan berkenaan kemusykilan itu.
Orang alim itu menyuruhnya pergi bertanya kepada seorang paderi yang dapat mendegnar masalahnya, lalu dia pun pergi mencari paderi itu.
Apabila berjumpa dengan paderi itu, orang jahat itu pun berkata, "Saya sudah membunuh 99 orang. Adakah saya masih boleh bertaubat lagi?"
"Tidak akan ada taubat lagi bagi orang yang seperti kamu," jawab paderi itu.
Lelaki itu naik marah lalu dibunuhnya paderi itu. Sekarang sudah genap 100 orang dibunuhnya.
Kemudian dia pergi semula kepada orang alim di kampungnya. Dia disuruh pergi berjumpa dengan seorang alim lain.
Dia pun pergi mencari si alim itu dan berkata kepadanya, "Saya sudah membunuh 100 orang. Adakah saya masih boleh bertaubat?"
"Boleh!" jawab orang alim itu. "Siapakah yang dapat menghalang tuan daripada bertaubat?"
Kemudian orang alim itu berkata lagi, "Sekarang tuan pergilah ke daerah Fulan. Di sana ramai orang menyembah Allah. Tuan ikutlah mereka bersama- sama mernyembah Allah. Jangan tuan pulang ke kampung tuan, kerana di sana tempat tinggal ramai orang yang jahat."
Lelaki itu pun memulakan perjalanannya menuju ke daerah Fulan, tetapi di pertengahan jalan, dia meninggal dunia.
Pada saat itu Malaikat Rahmat berselisih pendapat dengan Malaikat Azab.
"Lelaki ini sudah menuji kepada Allah untuk bertaubat dengan sepenuh hatinya," kata Malaikat Rahmat.
"Lelaki ini tidak pernah melakukan sebarang kebaikan sama sekali," kata Malaikat Azab.
Datang seorang malaikat lain dalam bentuk manusia. Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab melantik malaikat ketiga itu menjadi hakim bagi mereka.
"Ukurlah jarak antara dua tempat itu, yakni antara kampung asalnya dengan daerah Fulan yang ditujunya, jarak mana yang lebih dekat, itulah keputusannya," kata malaikat yang menyerupai manusia itu.
Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab pun mula mengukur kedua-dua jarak itu. Mereka dapati lelaki itu lebih dekat satu jengkal sahaja kepada daerah Fulan di mana para penduduknya menyembah Allah.
Dengan itu, rohnya diambil oleh Malaikat Rahmat dan dosa-dosanya diampunkan oleh Allah.
Usaha lelaki tersebut untuk membaiki dirinya telah dibalas oleh Allah. Allah telah mentakdirkan si lelaki tersebut mati pada jarak hanya sejengkal lebih ke arah daerah Fulan tersebut.
Subhanallah, Maha Suci Allah. Allah Maha Pengampun segala dosa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment