Islam menganjurkan umatnya memiliki ciri-ciri peribadi yang mulia seperti tawaduk, sentiasa bertakwa pada Allah dan bersikap qanaah. Tawaduk harus menjadi hiasan diri setiap muslim kerana ia melambangkan berilmu. Seseorang tidak menyombong diri malah mudah mesra dan lembut dalam berhubung dengan orang lain.
Sifat tawaduk adalah sunnah Nabi saw. Jika kita meneliti sikap Nabi saw dalam melalui kehidupannya maka kita akan menjumpai nilai-nilai tawaduk yang murni itu. Hal itu dijelaskan oleh Ja’afar al Barzanji dalam kitabnya yang terkenal iaitu Kitab Barzanji menyatakan, “Rasulullah saw itu sopan santun orangnya, suka merendah diri serta tidak menolak pekerjaan biasa untuk dikerjakan olehnya. Baginda juga menjahit sendiri kasutnya, menampal kain atau bajunya yang koyak. Baginda juga memerah susu kambingnya, malah Nabi saw telah menunaikan segala kewajipan terhadap ahli rumahnya dengan baik”.
Dalam bahagian yang lain Ja’afar al Barzanji melukiskan lagi perwatakan Nabi saw yang bersikap tawaduk dalam melalui kehidupan seharian. “Rasulullah saw sangat menaruh kasihan belas kepada fakir miskin malah kerap duduk bersama-sama mereka dengan merendahkan diri baginda.” Dan sikap tawaduk Nabi saw ini jugalah menjadi faktor pemangkin kepada mudahnya Islam diterima. Justeru, kita sebagai muslim beriman sewajar mengikuti contoh yang telah ditunjukkan Nabi saw.
Masyarakat Melayu memang terkenal dengan amalan seperti budi pekerti, akal budi, budi bahasa dan sebagainya. Inilah adat dan amalan budaya yang menepati makna tawaduk itu dan seharusnya masyarakat Melayu kekalkan dan dihidup-suburkan ke dalam jiwa generasi muda. Ia harus diterapkan sejak anak-anak masih kecil agar menjadi kebiasaan. .
Imam al Ghazali mewasiatkan kepada kita yang katanya , “Menanamkan iman dalam diri anak merupakan kewajipan orang tua. Anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitif dengan Tuhan. Apabila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa”. Ini jelas menggambarkan betapa pentingnya setiap ibu bapa itu mendidik anak-anak mereka dengan sifat tawaduk agar mereka membesar dalam etika tatalaku dan sahsiah peribadi yang menepati kehendak agama yang sentiasa ingat kepada Allah dan takut untuk berbuat dosa.
Jika kita perhatikan dalam suasana hidup sesetengah golongan muda sekarang, nilai tawaduk semakin terhakis dan rasa malu itu sudah menipis. Sebab itulah pelbagai gejala sosial timbul dan mengancam kelangsungan iman. Apabila sikap tawaduk ditinggalkan, maka umat Islam akan menjadi umat yang hidup mementingkan diri, berperangai sombong, takabur dan tanpa segan-segan melakukan dosa. Kata Ibrahim bin Syaiban, “Kemuliaan ada pada tawaduk, kekuatan ada pada takwa dan kebebasan ada pada qana’ah”. Manakala Sufian At-Thauri pula menegaskan bahawa, “Makhluk yang paling mulia jiwanya ialah alim yang zahid, faqeh yang sufi, kaya yang tawaduk dan fakir yang syukur.
Ingatlah pesan Allah dalam Surah Al-Furqan ayat 63 yang bermaksud, “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya) ialah mereka orang yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka. Mereka menjawab dengan kata-kata yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.”
Demikianlah sikap tawaduk yang mesti dihayati di jiwa setiap insan yang beriman agar dapat menjadi contoh terbaik dan bersesuaian dengan anugerah Allah kepada umat Islam dengan gelaran umat yang terbaik.
dipetik dari majalah Dian : http://www.majalahdian.com.my/index.php/2-latest/24-tawaduk-jati-diri-muslim
No comments:
Post a Comment