Tuesday, December 31, 2013
Friday, December 27, 2013
Kisah Anak Gajah yang Tragis
Bismillah
Sekawan gajah tinggal di hutan Borneo. Dan pada satu hari
kawanan ini telah bertembung dengan sekumpulan pemburu haram. Pertembungan ini
berakhir dengan pembunuhan mereka semua, kecuali seekor anak gajah yang baru bertatih
mengenal dunia, sengaja dibiarkan hidup. Sungguh tragis! Lagi menyedihkan. Bahana
kerakusan manusia memburu gading bernilai, seekor anak telah bergelar yatim
piatu…
Cukup meyedihkan
Anak gajah itu kemudiannya dijual kepada kumpulan sarkas.
Dan dengan itu bermulalah episod baru kehidupan yang sungguh menjerihkan bagi si
anak. Dipaksa berlatih dengan keras setiap hari sebagai persiapan di masa depan
untuk menjadi sumber hiburan manusia. Tidak! Tidak sama sekali gajah itu rela terus
diperhambakan sedemikian rupa. Maka pada satu malam, anak gajah itu berusaha
melarikan diri dengan cuba melepaskan diri daripada belenggu ikatan rantai yang
mengikat kakinya. Namun begitu, meski gigih anak gajah itu berusaha, tidaklah
dapat dia meloloskan diri…
Dicubanya lagi di malam keesokan, dan juga di malam-malam
yang berikutnya. Cubaan demi cubaan namun bertemu dengan kegagalan, usaha yang
sia-sia, ibarat layang-layang melawan angin. Dan dengan itu putuslah sudah segala
harapan si anak gajah, berserahlah dia kepada takdir, seperti layang-layang putus teraju… ‘Aduh, celaka sungguh
nasibku, langit runtuh, bumi telah terban,
bagaimana mungkin aku bisa bebas?’ rintih sang gajah...
Beberapa tahun berlalu, anak gajah kini sudah menjadi seekor
gajah yang matang, gagah perkasa, tapi... masih lagi berstatus haiwan sarkas…
masih lagi menjadi hamba… masih lagi
ditambat dengan rantai yang sama…
Sindrom Anak Gajah
Umum mengetahui bahawa seekor gajah dewasa mudah sahaja
mampu menumbangkan pokok-pokok gergasi di hutan maka pembaca mungkin
tertanya-tanya, bagaimana kini seekor gajah dewasa mampu ditambat dengan rantai
biasa? Anak gajah tidak mampu untuk melepaskan diri daripada belenggu rantai
kerana tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi. Kini setelah dewasa dia mampu
malah lebih daripada itu tapi gajah itu tidak akan cuba melarikan diri, kerana
kemampuannya pada masa sekarang kini telah dihadkan oleh keterbatasannya di
masa lepas. Inilah yang kita namakan sebagai sindrom anak gajah.
Anda daripada awal dilahirkan mempunyai potensi penuh yang
sangat besar, dan apabila masa berlalu dan dengan pilihan yang anda pilih, anda
akan kehilangan sedikit demi sedikit potensi tersebut*. Sebagai contoh, pelajar
lulusan SPM yang cemerlang mempunyai banyak pilihan dalam memilih jurusan
pengajian di universiti dan apabila dia memilih bidang perubatan, maka dia
telah menutup potensi yang dia ada untuk bidang pengajian yang lain. Dan
apabila seorang doktor memilih untuk menjadi seorang pakar bedah, maka doktor
itu juga telah menutup potensi yang dia ada untuk bidang kepakaran yang lain.
Dalam erti kata lain, pelajar sekolah menengah sebenarnya mempunyai potensi
yang lebih besar daripada pelajar perubatan dan juga doktor, kerana dia masih
boleh memilih dan pilihannya itu mungkin membawa kepada masa depan yang jauh
lebih cemerlang berbanding dengan dia yang memilih bidang perubatan.
Apa yang ingin di sampaikan di sini adalah, anda hanya boleh
kehilangan potensi anda, maka jangan anda mengehadkan lagi potensi anda di masa
sekarang dengan sejarah kegagalan di masa lalu. Jangan bina sempadan palsu di
dalam minda anda yang kemudiannya mengekang kemampuan anda untuk terus pergi
maju ke hadapan apabila rebah. Sedangkan pada hakikatnya anda mampu bangkit! Jangan
biarkan kegagalan anda di masa lalu menentukan apa yang anda akan capai dalam
hidup. Jangan jadi seperti gajah yang terpenjara dengan mindanya sendiri!
Wallahualam.
Pembaca yang budiman mungkin tertanya-tanya kini apakah
nasib gajah yang telah diceritakan di atas. Suka untuk saya maklumkan di sini
bahawa di atas usaha beberapa insan prihatin dengan kerjasama Jabatan
PERHILITAN, gajah tersebut telah diselamatkan dan kini ditempatkan di Zoo
Negara** dan bahagia tinggal bersama penjaga zoo yang berdedikasi.
Alhamdulillah.
Kini bahagia
Nota
Laksana layang-layang melawan angin = Perbuatan yang sia-sia
Laksana layang-layang putus teraju =
Tinggal berserah kepada nasib saja, daya upaya sudah tiada lagi
Langit runtuh, bumi telah terban =
Segala harapan sudah musnah. Terban = runtuh
*OHCS m/s 99
**Haiwan liar
yang dibesarkan sejak kecil bersama manusia tidak sesuai dilepaskan di habitat
asal.
Tuesday, December 24, 2013
Rebut 5 sebelum 5
Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat
sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan
hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Janganlah
bertangguh-tangguh dalam berbuat kebaikan dan rebutlah 5 perkara sebelum
datangnya 5 perkara.
Beribadatlah, dan
lakukanlah ibadat sunat disamping ibadat fardhu semasa sihat sebelum datangnya
kesakitan,
Bersedekahlah semasa
masih kaya (berharta) sebelum ditimpa kemiskinan. Jangan lah kita bagi alasan
untuk bertangguh dalam bersedekah. Belajarlah bersedekah walaupun ketika
sempit, supaya kita dapat terus bersedekah ketika senang nanti. ;)
Berzikirlah sewaktu
masih mempunyai kelapangan sebelum dilanda kesibukan, misalnya di waktu pagi
sebelum melakukan kerja-kerja harian dan di waktu petang setelah selesai
bekerja. Sebagai pelajar, kita juga boleh berzikir masa tengah tunggu bas, masa
berjalan ke kelas, masa tengah tunggu pak cik kedai siap kan order kita di
restoren. Berzikir lebih baik daripada kita mengata orang, bergosip, dengar
lagu yang tidak bermanfaat dan lain-lain. Mudah kan Islam ni?? ;)
Carilah keperluan dunia
dan akhirat semasa masih muda dan mempunyai kekuatan tenaga sebelum datangnya
tua dan tidak mempunyai kekuatan. Kadang kala kita memilih untuk bertangguh.
Orang selalu ckp, mereka nak beramal bila dah tua sikit. Tapi, perlu ingat,
kalau kita tak try beramal sekarang, macam mana kita nak dapat kekuatan untuk
beramal di kemudian hari. Kalau hari ini kita penuhkan hari-hari kita dengan
perkara yang sia-sia, jangan harap lah bila dah tua nanti kita ada semangat nak
beramal. Sebab nye dah tua nanti, badan dah lemah-lemah sebab tak pernah try
beramal.
Beramallah di sini
(semasa berada di dunia) semasa hidup kerana ia berguna selepas kematian nanti
(semasa di akhirat). Di sana kita tidak lagi dapat beramal.
Ayuhai Syabab (pemuda),
jangan lah sia-sia kan usia mudamu. Mudamu takkan datang dua kali. Gunakan
kesempatan usia mudamu yang sehat, bertenaga dan bersemangat untuk beribadat
kepada Allah. Manfaat kan masamu ketika sakit, supaya kamu dapat bersyukur
nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada mu..
InsyaAllah, amal yang
anda buat, anda sendiri yang dapat.
Saturday, December 21, 2013
Allah Menguji Orang-Orang Mukmin
Bismillah
Aliff lam mim. Apakah manusia itu mengira
bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja mengatakan : Kami telah beriman.
Sedangkan mereka tidak diuji
lagi. Sesungguhnya Kami telah menguji
orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang
yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
( Surah al Ankabuut : 1-3 )
Ayat di atas menyatakan bahawa setiap manusia yang beriman
pasti akan diuji oleh Allah SWT. Malah semakin tinggi iman seseorang itu, semakin
dikasihi, namun semakin berat pula ujian yang menanti, kerana insan tersebut
kini mempunyai kapasiti yang bersesuaian untuk menghadapi ujian, diukur melalui
ketinggian iman yang dimiliki. Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang
berikut.
“Orang yang paling berat
dicuba ialah para Nabi kemudian yang paling baik selepasnya,kemudian
orang yang paling baik selepas itu”
Saya teringat seorang
artis lelaki yang gemar memakai pakaian perempuan pernah berkata bahawa
kalaulah Allah berkehendak, maka sudah lama beliau ditimpa bala. Beliau ingin
memberitahu secara tidak langsung bahawa sihatnya beliau, dan senangnya beliau
dalam kehidupan bermakna tindakannya itu (memakai pakaian wanita) tidaklah
dibenci Allah secara total. Kalaulah sebaliknya maka dimanakah azab yang
dijanjikan itu.. ?
Di sini suka untuk diingatkan bahawa ujian itu datang dalam
pelbagai bentuk. Ujian bukanlah dalam bentuk musibah atau bala bencana
semata-mata. Malah nikmat seperti kesenangan, harta kekayaan, pangkat dan
jawatan juga merupakan ujian. Ujian yang diturunkan boleh jadi bertujuan
mendekatkan hambaNya kepada Allah. Boleh jadi juga bertujuan untuk semakin
menjauhkan insan tersebut, supaya terus lalai dalam kehidupan dunia dan pada
masa yang sama ditangguhkan balasannya ke akhirat kelak.
Dan bagi orang mukmin, ujian dari Allah adalah tidak lain
dan tidak bukan, tanda cinta Allah kepada mereka.
“Anas RA meriwayatkan
bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala sesuai dengan
besarnya ujian dan jika Allah mencintai suatu kaum Dia akan menguji mereka,
siapa yang ridha maka baginya keridhaan (Allah) dan siapa yang murka maka
baginya kemurkaan (Allah)" (Hadits
riwayat Tirmidzi (no. 2576) dan disahihkan oleh Al Albani)
Persoalannya kini, adalah mengapa Allah ingin menguji hamba-hambaNya yang
beriman? Bagaimana seseorang itu boleh bermotivasi untuk meningkatkan iman
sekiranya yang menanti adalah ujian yang berat-berat semuanya?
Sesungguhnya Allah telah membeli dari
orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk
mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh.
(Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan
Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?
Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah
kemenangan yang besar.
(Surah at-taubah: 111)
Ayat diatas mengatakan bahawa Allah mahu ‘berjual beli’
dengan orang-orang mukmin. Sebagaimana urusan jual beli diantara manusia, ada benda
yang Allah beli dengan harga yang murah, dan ada benda yang Allah beli dengan harga
yang mahal. Di sini Allah mahu menguji hamba-hambaNya yang beriman kerana Allah
ingin membayar mereka dengan harga yang mahal. Ada tujuh lapisan syurga dan
Allah suka untuk membayar hamba-hambaNya dengan lapisan tertinggi sesuai dengan
iman yang ditawarkan. Dan di antara tanda orang yang beriman adalah mereka itu bersyukur
apabila menerima nikmat dan sabar apabila menerima musibah.
Wallahualam
Rujukan:
·
Subscribe to:
Posts (Atom)