Social Icons

Friday, December 27, 2013

Kisah Anak Gajah yang Tragis

Bismillah


Sekawan gajah tinggal di hutan Borneo. Dan pada satu hari kawanan ini telah bertembung dengan sekumpulan pemburu haram. Pertembungan ini berakhir dengan pembunuhan mereka semua, kecuali seekor anak gajah yang baru bertatih mengenal dunia, sengaja dibiarkan hidup. Sungguh tragis! Lagi menyedihkan. Bahana kerakusan manusia memburu gading bernilai, seekor anak telah bergelar yatim piatu…



Cukup meyedihkan


Anak gajah itu kemudiannya dijual kepada kumpulan sarkas. Dan dengan itu bermulalah episod baru kehidupan yang sungguh menjerihkan bagi si anak. Dipaksa berlatih dengan keras setiap hari sebagai persiapan di masa depan untuk menjadi sumber hiburan manusia. Tidak! Tidak sama sekali gajah itu rela terus diperhambakan sedemikian rupa. Maka pada satu malam, anak gajah itu berusaha melarikan diri dengan cuba melepaskan diri daripada belenggu ikatan rantai yang mengikat kakinya. Namun begitu, meski gigih anak gajah itu berusaha, tidaklah dapat dia meloloskan diri…

Dicubanya lagi di malam keesokan, dan juga di malam-malam yang berikutnya. Cubaan demi cubaan namun bertemu dengan kegagalan, usaha yang sia-sia, ibarat layang-layang melawan angin. Dan dengan itu putuslah sudah segala harapan si anak gajah, berserahlah dia kepada takdir, seperti layang-layang putus teraju… ‘Aduh, celaka sungguh nasibku, langit runtuh, bumi telah terban, bagaimana mungkin aku bisa bebas?’ rintih sang gajah...

Beberapa tahun berlalu, anak gajah kini sudah menjadi seekor gajah yang matang, gagah perkasa, tapi... masih lagi berstatus haiwan sarkas… masih lagi menjadi hamba…  masih lagi ditambat dengan rantai yang sama…

Sindrom Anak Gajah

Umum mengetahui bahawa seekor gajah dewasa mudah sahaja mampu menumbangkan pokok-pokok gergasi di hutan maka pembaca mungkin tertanya-tanya, bagaimana kini seekor gajah dewasa mampu ditambat dengan rantai biasa? Anak gajah tidak mampu untuk melepaskan diri daripada belenggu rantai kerana tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi. Kini setelah dewasa dia mampu malah lebih daripada itu tapi gajah itu tidak akan cuba melarikan diri, kerana kemampuannya pada masa sekarang kini telah dihadkan oleh keterbatasannya di masa lepas. Inilah yang kita namakan sebagai sindrom anak gajah.

Anda daripada awal dilahirkan mempunyai potensi penuh yang sangat besar, dan apabila masa berlalu dan dengan pilihan yang anda pilih, anda akan kehilangan sedikit demi sedikit potensi tersebut*. Sebagai contoh, pelajar lulusan SPM yang cemerlang mempunyai banyak pilihan dalam memilih jurusan pengajian di universiti dan apabila dia memilih bidang perubatan, maka dia telah menutup potensi yang dia ada untuk bidang pengajian yang lain. Dan apabila seorang doktor memilih untuk menjadi seorang pakar bedah, maka doktor itu juga telah menutup potensi yang dia ada untuk bidang kepakaran yang lain. Dalam erti kata lain, pelajar sekolah menengah sebenarnya mempunyai potensi yang lebih besar daripada pelajar perubatan dan juga doktor, kerana dia masih boleh memilih dan pilihannya itu mungkin membawa kepada masa depan yang jauh lebih cemerlang berbanding dengan dia yang memilih bidang perubatan.

Apa yang ingin di sampaikan di sini adalah, anda hanya boleh kehilangan potensi anda, maka jangan anda mengehadkan lagi potensi anda di masa sekarang dengan sejarah kegagalan di masa lalu. Jangan bina sempadan palsu di dalam minda anda yang kemudiannya mengekang kemampuan anda untuk terus pergi maju ke hadapan apabila rebah. Sedangkan pada hakikatnya anda mampu bangkit! Jangan biarkan kegagalan anda di masa lalu menentukan apa yang anda akan capai dalam hidup. Jangan jadi seperti gajah yang terpenjara dengan mindanya sendiri! Wallahualam.

Pembaca yang budiman mungkin tertanya-tanya kini apakah nasib gajah yang telah diceritakan di atas. Suka untuk saya maklumkan di sini bahawa di atas usaha beberapa insan prihatin dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN, gajah tersebut telah diselamatkan dan kini ditempatkan di Zoo Negara** dan bahagia tinggal bersama penjaga zoo yang berdedikasi. Alhamdulillah.


Kini bahagia

Nota
Laksana layang-layang melawan angin = Perbuatan yang sia-sia
Laksana layang-layang putus teraju = Tinggal berserah kepada nasib saja, daya upaya sudah tiada lagi
Langit runtuh, bumi telah terban = Segala harapan sudah musnah. Terban = runtuh
*OHCS m/s 99
**Haiwan liar yang dibesarkan sejak kecil bersama manusia tidak sesuai dilepaskan di habitat asal.


Rujukan: saifulislam.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...