Social Icons

Tuesday, December 1, 2015

Mahalkan cintamu

terasa agak tua untuk mencoretakan perihal ini. tak pernah diuji dengan perkara sebegini.
tapi syaitan tidak pernah tua juga untuk menguji manusia dengan perkara hati dan cinta. Mengapa salahkan syaitan? sedang Allah berfirman: syaitan tidak akan berkuasa ke atas mereka yang bertawakal kepada Allah. 

apa yang kamu selalu nasihatkan kepada teman dan taulan, apa yang kamu selalu cegah mereka melakukan. Katamu, jangan cepat terpedaya, kuatkan iman! Mudah sekali berkata-kata. sehingga kamu di uji. Ingat, yang syaitan bukan datang hanya sekali, dia datang lagi dan lagi menjenguk kamu. mungkin bukan sehari, bukan dua, bukan juga sebulan, tapi berbulan-bulan. 

Didatangkan kamu dengan pelbagai jenis lelaki yang mengganggu, tapi berjaya ditepis. Lalu timbul rasa yang imanmu sudah tersimpan kukuh! Tapi bukan untuk kali ini. Berwajah lelaki soleh yang kamu ingin kahwini. Berurusan perihal kerja untuk membangunkan ummah, memula dan mengakhirkan bicara dengan basmalah dan tasbih kafarah serta suratul asr. Kamu bukan tidak tahu akan cinta yang digelar cinta enta-enti. Semua teori telah kau ketahui rapi!

jangan sesekali membuka dan cuba memberi hatimu kepada yang tidak benar-benar ingin memiliki. Terlalu banyak kisah dan teman yang ditemui semua runsing tentang masalah ini. Mengganggu kekhusyukan hati, mengurangi kualiti ibadah diri, menurunkan kadar ilmu dan amal, serba serbi tak kena. kau berbuat baik bersalut dosa! 

Buat lelaki yang konon ingin melindungi, jagalah gerak geri mu terutamanya kata pujian yang kau ucapi. Ia memberi seribu satu harapan kepada wanita yang kau hubungi. 
Buat lelaki yang kata ingin memiliki, jangan sesekali memasuki ruang hidup perempuan itu jika belum benar memasang niat menggalasi tanggunjawab yang kau sendiri tidak ketahui
buat lelaki yang memiliki akal lebih dari kami, lindungilah kami dengan kamu melindungi diri.

Percampuran mu dengan wanita ajnabi bukanlah menambahkan kebaikan diri malah memundurkan diri, kata Imam Al Ghazali, bila duduk dengan perempuan, kau akan dapati kau akan menambahkan kebodohan dan syahwat!

Buat wanita yang mahal harga diri, entah bagaimana kau dapati kau didaerah yang asing ini, terjerat dengan kata-kata dan tindakan sendiri
Buat wanita yang mahal harga diri, jangan memberi sebelum di beli. 
Buat wanita yang elok pekerti, sembunyikan hilai tawa manjamu buat yang sejati.

Hidup kita bukanlah berpaksikan hanya cinta dan hati, tapi sesekali ia menyengat, bawa mudarat tak terperi.
Buat tuhan yang memiliki hati, masalah terjadi, tentu sekali kerana kelalaian hati yang sudah lama kurang diperhati. Wahai diri yang lupa jalan kembali, terus bangun bila terjatuh, biar takpernah menghadapi, tapi buat ingat akan lemahnya nilai diri. 

Baru kau tahu,yang kamu tak boleh berkata kamu telah beriman, andai belum diuji. 

Nastaghfirullahal 'azim, 



Wednesday, February 18, 2015

di kasut budak tajaan & berjalan

saat mengembara melihat alam kejadian tuhan, memerhati manusia pelbagai ragam, bertutur beraneka macam bahasa, cuba mengintai tenologi dan sistem negara orang yang boleh dicuri balik, keluar dari zon selesa jauh dari katil empuk bilik yang panas. Malam yang hadir begitu kami hargai, pertukaran malam dan siang lebih dekat untuk kami amati. Menjelang malamnya Allah jadikan gelap sebagai pakaian (yang melindungi), menjadikan kami lebih bersungguh mengambil kesempatan merehatkan badan yang letih berjalan dan berlari. 

Ada bezanya berjalan mentaddabur alam di tempat yang jauh dari bandar berbanding berkelana hanya di sekitar bandar-bandar. Sesekali menjauhi manusia yang terlalu taksub akan dunia, manusia yang begitu sibuk dengan entah apa, manusia yang ego tak kena gaya dan kemudian cuba mendekati alam yang tawadhuk, melihat awan dan gunung yang indah, memandang langit yang luas, mendengarkan alunan sungai yang asyik, itu lebih banyak memberi ruang refleksi.

 Alam yang sungguh tekun mentaati perintah Ilahi, yang bertukar musim pada kadar yang ditentukan Maha pencipta,  menemukan kami kepada jalan pulang kepada Tuhan, tanpa perlu ia bersuara. Alam sangat mendamaikan, manifestasi "sentuhan" Ilahi buat kita hambaNya yang kontang, menghayati alam dapat menghasilkan ketenangan yang begitu mahal harganya. 





"Aurora Borealis" itulah bunyinya kali pertama fenomena alam ini kupelajari semasa tingkatan 3 mungkin? kejadiannya sungguh istimewa. Di kala melihatnya, air mata ini mengalir kerana terlalu kagum dengan ciptaan itu. Aurora Borealis ini, berasal daripada matahari. Makhluk ciptaan ini, "terbang" sepantas 500km/s ke bumi, menghasilkan gerak tari yang sangat asyik untuk diperhatikan. Biarpun, warnanya tidak sehijau dan semerah seperti dalam kamera canggih "Digital Single-Lens Reflex Camera", ia tetap satu fenomena alam yang sangat menakjubkan. Pelbagai bangsa dari pelbagai negara datang memburu "aurora borealis", namun kami bersyukur, ketakjuban kami terhadap fenomena alam ini kami pulangkan kepada Tuhan dan mengharapkan buruan kami ini dapat meningkatkan momentum iman yang ada nilaian akhirat buat kami.




(gambar yang ditangkap melalui kamera sahabt yang berjaulah bersama, DSLR, slowest shutter speed, lowest aperture)

bumi tuhan ini dirasakan sangat luas. terkadang menjadi keliru, apakah perkara yang membentuk manusia menjadi begitu tinggi pekerti seperti mereka. teringat semasa perjalanan dalam keretapi daripada Bjorklidden ke Kiruna, Sweden. 

"Sorry my dear, we don't accept electron card." katanya simpati. "ok, i will pay by using euro notes", cuba mencari metod alternatif. "but, it will be so much expensive than it is" dia membantu, lalu menyambung..

"it's ok, when u arrive at Kiruna, you can pay at the machine there, using this card". aku terpinga pinga, sampai begitu mereka mempraktiskan kejujuran dan integriti. boleh sahaja, bila sampai tu, kami langusng tak membayar tambang! 

tapi, ada sahaja yang kata, permusafiran ini mungkin sahaja menghabiskan duit rakyat! berjalan menggunakan duit tajaan. aku cuba memberi sebab. kami mencuba menggunakan bajet terkecil, peluang disini kami gunakan. jika bukan sekarang bila entah lagi. Terdetik pula, andai kita boleh beralasan dengan manusia, adakah alasan ini cukup benar untuk di jawab kepada Rabbul Jalil, pemberi nikmat? 

jika pemimpin yang kukenali begitu teliti memerhatikan penggunaan duit rakyat, sehingga sebatang pen peribadi dan pen rasmi juga di asingkan penggunaannya!

adakah kita mensyukuri nikmat ini sebetulnya? berapa banyak duit masa dan tenaga musafir ini kita terjemahkan menjadi amal. adakah pemusafiran yang asalnya diniatkan mentadabur alam ini, menjauhkan kita dari tabiat sia-sia kita sebelum ini? sejauh manakah nikmat yang kita kecapi ini memberi impak baik kepada ummah sejagat? persoalan ini, bukan boleh kujawab tuntas. berdoa semoga musafiran ini memberi baik untuk kami, agama dan seluruh kehidupan dunia akhirat. 


alhamdulillah 'ala kulli hal, wa astaghfirullah min kulli zambin






Thursday, January 15, 2015

That Emptiness...

"emptiness", beberapa kali perkataan tersebut disebut kepadaku harini, dan setiap kali itu juga aku pegun mendengarnya. ada kisah disebalik perkataan itu.

kali pertamanya ketika bertemu dengan pesakit di wad psychiatry tadi, atau mudah kita panggil wad sakit jiwa. Pesakit ini tidak perlu bekerja, kerana dia mempunyai wang yang banyak, mewarisi kekayaan keluarga mungkin. Malang baginya, selain harta kekayaan itu, dia juga mewarisi genetik "sakit mental" dari ibu bapanya.Dia tidak didiagnosis dengan penyakit mental yang biasa seperti gila, kerana dia sedar dan dilihat "orientiated", tiada masalah ingatan atau masalah kognitif yang lain. Beliau mempunyai personality disorder "psychopath" yang sangat sukar dirawat! Ibunya menghidap schizophrenia, membunuh diri ketika pesakit ini berumur 12 tahun, bapanya juga dikatakan mempunyai perangai yang pelik dan pesakit ini ditahan di wad kerana beberapa kali melakukan cubaan membunuh diri, ketika ditahan di wad ini sahaja, dia sudah sekali cuba menggantungkan dirinya.

 Daripada sekian banyak jumlah mereka yang ingin membunuh diri kerana pelbagai sebab, sebanyak 3% daripada mereka itu ialah manusia yang di kategorikan normal-(bukan pesakit mental). Juga mempunyai hasrat/ cubaan membunuh diri. Antara sebabnya, ialah kerana "emptiness" kekosongan jiwa, kehilangan arah dalam dunia yang hanya sebesar 'telur cicak' jika nak dibanding dengan planet gergasi lain. Seperti pesakit ini, dia tidak perlu bekerja, sudah mempunyai wang yang mencukupi, namun kekosongan itu menjadikannya resah, terpaksa menelan beraneka macam ubat untuk tidur, dan untuk beroleh ketenangan.

Lain pula kisahnya dengan sahabatku dari Norway ini. Dia tinggal di utara Norway, yang jauh dari bandar Oslo. Pengamatanku dari penceritaannya, mereka ini lain daripada penduduk Eropah yang lain. Kerana jauh dari kesibukan kota, mereka mempunyai lebih banyak masa, lebih tertutup daripada pendedahan luar, tinggal dalam rumah yang khas, sesuai dengan iklim yang di kala musim sejuknya itu  malamnya boleh mencecah 23 jam sehari, cahaya matahari jarang kelihatan, tapi mereka dihadiahkan "Nothern Light" yang mashaallah cantik. Selain itu, mereka di luar bandar Norway kebiasaannya mempunyai lebih dari 3 orang anak, berbeza dengan mereka di bandar-bandar Eropah lain. Namun, kerana kesukaannya membaca, fikirannya mudah menerima idea dan gemar mencari ilmu, dia bertemu Islam, dengan izin Allah. Beliau baru beberapa tahun memeluk islam. Bila di tanya tentang kehidupannya sebelum Islam, beliau menceritakan "emptiness" yang sukar digambarkan. Seolah-olah hidupnya sebelum itu tiada tujuan. Dia merasa resah yang tak dapat dikenalpasti punca. (gambar: nothern light)


aku lantas mengenalpasti terapi kepada 3% manusia normal yang mengalami kekosongan jiwa itu. Ubatnya bukan antidepressant, bukan haloperidol, bukan rivastigmin, tapi ubatnya ialah mengenal Tuhan dan menjalani kehidupan beragama.


Tapi kerana kita belum pernah sesat dalam mencari Islam, kita sudah ditakdirkan lahir dalam Islam, kita menjadi alpa, peluang menjalani kehidupan beragama ini kita sia-siakan. Bukan seorang dua yang pernah berbual denganku tentang "kekosongan jiwa" yang kita alami. Tidak kurang juga ramai, rakan seusiaku yang mempunyai keresahan luar biasa. Solat dan membaca AlQuran sebagai rutin, namun berasa kosong. Menunaikan sesuatu ibadah hanya kerana satu jadual hidup yang tidak mempunyai sebarang makna. 

Berbeza dengan dua orang yang berasa kosong tadi, mereka berasa kosong kerana belum menemukan "pekerjaan" di dunia ini, yang dapat "menuai gaji" daripadaNya. Kita ini, sudah mengenalpasti apa "pekerjaan" itu. Tapi selalu culas menjalani pengabdian itu. Persamaannya, kedua-dua situasi ini, meninggalkan kekosongan jiwa yang meresahkan. tidak kena gaya, kita boleh dijerat syaitan yang berjanji menyesatkan anak Adam, dengan tindakan mudah iaitu membunuh diri.

Ibadah kita sangat memerlukan penghayatan. Masa denganNya, biarpun kelihatan ekslusif untuknya, tapi selalunya tidak. Di dalamnya kita runsing memikirkan sekian banyak masalah yang tak pernah berakhir, ketika bersamaNya juga kita mengelamun jauh memikirkan masa depan yang tak pasti, sambil beribadah kepadaNya jugalah sering kita gelisah memikirkan hal hal yang sering melingkari benak akal fikiran kita. tup tup, salam diberi. acuh tak acuh sahaja berdoa dan beredar. 


Buat kita yang resah dan gelisah,
Allah S.W.T.berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28). .

buat kita yang resah dan tak tentu arah,
 Allah S.W.T berfirman lagi, "Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah di masa berdiri, di masa duduk dan di masa berbaring." (An-Nisa' 103)

Buat kita yang resah dan lelah,
Firman Allah S.W.T, "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang." (Al-Ahzab 41-42)

اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ​

Allahumma a’inni ‘ala dhikrika wa shukrika wa husni ‘ibadatika

O Allah! Assist me in remembering You, in thanking You, and in worshipping You in the best of manners.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...