Social Icons

Sunday, March 18, 2012

Lelaki tua dan cucunya

0955
Pada suatu pagi yang indah di Karlovo Namesti.
Saya bergerak ke tram stop di hadapan apartment saya, untuk memenuhi janji ke "taman-taman syurga"; jemputan mingguan yang sememangnya amat saya sukai. Saya tahu yang saya hampir terlepas masa yang dijanjikan, lantas mesej dihantar kepada sahabat, memaklumkan bahawa saya mungkin terlewat.


1010
Saya mula resah. Tram yang sepatutnya sampai 10 minit lepas tidak kunjung tiba. Mungkin kerana hujung minggu, hari orang tidak bekerja. Meskipun begitu, hati merungut kerana tram yang tidak menepati jadual. "Nak pergi majlis ilmu pun payah," hati kecil berdetik.
Tiba-tiba minda mengingatkan : 

وَعَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ:وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقًايَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا,سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا إِلَى الجَنَّةِ
Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, sesungguhnya Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (H.R Muslim)

Segera saya beristighfar. Hadis ringkas, yang selalu dibacakan tatkala mendengar perkongsian daripada sahabat dan senior. Hadis ringkas, yang dengannya, Allah turunkan ketenangan dan kegembiraan kepada jiwa saya.  

Lantas saya alihkan pandangan kepada penduduk tempatan yang turut resah menunggu tram bersama-sama saya. Perhatian saya tertumpu kepada seorang lelaki tua dengan 3 orang anak kecil. Semuanya perempuan. Saya kira lelaki tua itu adalah datuk kepada anak-anak tersebut. Saya perhatikan salah seorang gadis kecil yang sedang memegang sesuatu di tangannya. Sesuatu yang bersinar; mungkin kaca, mungkin kristal murah. Yang pasti, objek berbentuk kucing itu menyenangkan hatinya. Gadis kecil itu adalah anak istimewa. Sememangnya dia lebih asyik dalam dunianya di tengah-tengah kesibukan orang ramai.

Telefon berbunyi menandakan masuknya mesej dari sahabat. Dalam masa beberapa saat perhatian saya teralih, terdengar satu bunyi di tengah-tengah kesibukan jalan di Karlovo Namesti. 

Saya lihat objek mainan gadis kecil itu tergolek di tengah jalan, entah bagaimana terjatuh, saya tidak tahu. Dilanggar pula oleh sebuah kereta, terpecah dua. Dilanggar lagi oleh beberapa kenderaan lain, hancur satu bahagian daripada pecahan itu. 


Saya perhatikan pandangan sayu gadis kecil itu. Saya lihat pula si lelaki tua; datuknya, yang turut memerhatikan nasib mainan itu di tengah jalan. Sememangnya tak dapat diselamatkan lagi.
Saya terkejut. Terkejut bila melihat lelaki tua tersebut melangkah ke tengah jalan. "Apa yang mahu dibuatnya di tengah-tengah jalan yang sibuk itu?" minda bertanya. Ternyata si lelaki tua mengutip satu bahagian mainan anak itu yang masih belum hancur. Minda separuh menyangka bahawa dia akan menghulurkan cebisan itu kepada cucunya. Namun tidak.
Lelaki tua itu meletak cebisan tersebut di tepi jalan. Kemudian dia kembali kepada cucu-cucunya.
"Subhanallah!" hati berseru.

يَا رَ سُوْ لَ الله ِدُ لَّنِي عَلَى عَمَلٍ أَ نْتَفِعُ بِهِ قَالَ:اِعْزِلْ الْأَ ذَى عَنْ طَرِ يْقِ الْمُسْلِمِيْنَ
“Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang dapat bermanfaat bagiku.” Beginda menjawab, “Singkirkanlah gangguan dari jalan-jalan kaum muslimin.” (H.R Muslim)
Sungguh saya terkesan dengan perbuatan lelaki tua tersebut. Betapa sesungguhnya di bumi asing ini, saya diingatkan kembali akan ajaran agama yang menyuruh kita menjaga kemaslahatan umat, diingatkan kepentingan agar saling menjaga di kalangan saudara, diingatkan akan hadis junjungan besar mengenai cabang-cabang iman : 
Iman itu ada 73 cabang; yang paling tinggi adalah kalimah La Ilaha Illallah dan yang paling rendah adalah menyingkirkan duri dari jalan.
1015
Tram yang dinanti akhirnya tiba. Saya kemudiannya menuju ke tempat pertempuan dengan sahabat, meninggalkan lelaki tua itu dengan cucu-cucunya.
Saya mendapat pengajaran yang amat bermakna pada pagi itu.


Orang bukan Islam punya kesedaran untuk membantu orang di sekelilingnya. Lantas, kita sebagai Muslim hendaklah lebih-lebih lagi berusaha untuk menjaga kemaslahatan umat, kerana sesungguhnya kita dibekalkan dengan mutiara aqidah Islamiyah yang tidak dipunyai oleh mana-mana umat lain.


Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ada seseorang laki-laki yang melewati ranting berduri berada di tengah jalan. Dia mengatakan, ‘Demi Allah, aku akan menyingkirkan duri ini dari kaum muslimin sehingga mereka tidak akan terganggu dengannya.’ Maka Allah pun memasukkannya ke dalam surga.” (Riwayat Imam Muslim)


Dalam riwayat lain, juga dari Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW telah bersabda, “Sungguh, aku telah melihat seorang laki-laki yang tengah menikmati kenikmatan di syurga disebabkan ia memotong duri yang berada di tengah jalan, yang duri itu mengganggu kaum muslimin.” 

1 comment:

  1. jazakillah khayr katheera atas cerita yang penuh pengajaran ni..

    sesungguhnya pengajaran ada pada setiap masa di sekeliling kita.

    beruntunglah mereka yang dapat melihat pengajaran-pengajaran ni dengan mata hati :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...