Social Icons

Monday, June 25, 2012

Syukur kita tak sebanyak kurniaanNya

Teringat semalam, 
aku merengek dan mengadu padaNya, supaya memberi aku kesenangan masa,
kerana aku janji, aku mahu menggunakan masa itu untukNya,
berzikir padanya, menghafal AlQuran, menelusuri sirah nabawiyah, serta mendekatiNya,

tapi hari ni, aku dapati sebaliknya,
masa yang banyak itu, aku guna entah kemana,
rupanya masa lapang itu membunuh aku,
tiada pembangunan diri yang aku lakukan, mengelamun entah apa-apa, jauh sekali aku dariNya,
entah mana tergadai janji semalam yang aku cagarkan ketika aku mengadu padaNya.

Teringat semalam, 
aku merengek dan mengadu padaNya, supaya memberi aku keluasan harta,
kerana aku janji, aku mahu menggunakan harta itu untukNya,
bersedekah di tabung-tabung masjid dan surau, memberi kepada yang memerlukan,

tapi hari ini, aku dapati sebaliknya,
harta yang banyak itu, aku guna entah ke mana,
rupanya harta itu merosakkan jiwa aku,
aku membazir kepada yang tak perlu, aku memanjakan diri aku dengan barangan mewah

entah mana tergadai janji semalam yang aku cagarkan ketika aku mengadu..


Teringat semalam,
aku merengek dan mengadu padaNya, supaya memberi aku kesihatan dan kesembuhan,
kerana aku janji, aku mahu menggunakan nikmat sihat badan untukNya,
menunaikan haji, menolong dan membantu orang lain, serta meringankan badan beribadah kepadaNya,

tapi harini aku dapati sebaliknya,
nikmat sihat itu, aku guna entah untuk apa,
rupanya kesihatan badan itu melalaikan aku,
aku bermalas malasan serta aku bertangguh melakukan amal, seolah-olah aku yakin, aku sihat selamanya


entah mana tergadainya janji semalam yang aku cagarkan ketika aku meminta kepadaNya.


manusia memang begitu kan? selalu sahaja, berjanji kata-kata manis, demi meraih apa yang kita ingini."Mak, bolehlah.. adik janji adik akan belajar sungguh-sungguh kalau mak belikan adik PS2"
"Ayah, boleh la eh? Kakak janji, kakak balik awal, kalau ayah bagi akak keluar mlm ni.."
"Cikgu, boleh ye...saya janji saya akan belajar sungguh-sungguh lepas ni, kalau cikgu bagi saya outing minggu ni ;P"
Itu bahasa dengan manusia, dengan Allah lebih kerap kita mungkiri, apa yang kita janji.. 
"Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut,sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): "Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur"."   
tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka, malah mereka berbuat kezaliman di muka bumi, tanpa alasan yang benar....
Yunus , 22-23 

Semoga kita selalu ingat lima perkara sebelum lima,
waktu sihat sebelum sakit,
tua sebelum muda
kaya sebelum miskin
masa lapang sebelum sempit
hidup sebelum mati :) 

p.s: tentu ada sesuatu yang Allah mahu kita lakukan harini, sebab itu dia masih menghidupkan mu harini 


Wednesday, June 20, 2012

Kegagalan Itu Mahar Kejayaan



Orang yang berjaya, gagal berkali-kali.  Orang yang kalah, gagal hanya sekali. Justeru, apabila kita mengalami kegagalan, belajar dan ambillah ikhtibar daripada kegagalan itu. Insya Allah, kegagalan itu akan menjadi mahar kejayaan!

Belajar daripada kegagalan pertama, untuk mencuba kali kedua. Dan belajar pula daripada kegagalan kedua untuk mencuba kali ketiga. Istiqamah. Pastikan setiap percubaan membawa kita lebih baik daripada sebelumnya walaupun dalam kadar yang sedikit. Yang pasti jangan ulangi kesalahan yang sama berulang-ulang kali.

Untuk istiqamah, mulakan dengan tindakan-tindakan kecil dan ringan dahulu. Kemudian, secara beransur-ansur, barulah lakukan tindakan yang bertambah ‘berat’ dan lebih sukar. Jangan gelojoh dan gopoh hingga bertindak di luar batas kemampuan.

Ingat, tindakan-tindakan berkesan perlu ditangani semacam kita ingin mengoyak sebuah buku tebal..koyak helai demi helai. Jangan cuba mengoyak sekali gus. Kata orang, jangan naik anak tangga  secara berlari!

Kuatkan iman (keyakinan) kita kepada Allah melalui ibadah-ibadah asas. Selalu ‘berdialog’ dengan-Nya melalui solat & munajat. Pinta kepadaNya kekuatan. Dan sematkan  sangka baik dalam diri yang “kita boleh berjaya!”. Insan yang paling kuat, ialah insan yang mengaku lemah di hadapan Tuhan iaitu Allah.

Sebenarnya, banyak pelajaran yang Allah hendak kita fahami apabila Dia mengurniakan kita kegagalan. Mungkin kita angkuh, lalu digagalkan-Nya kita untuk kembali tawaduk. Mungkin kita alpa, lalu kegagalan itu akan mengingatkan kita semula. Atau mungkin Allah hendak menganugerahkan kejayaan lebih besar, maka kegagalan yang kecil itu ditakdirkan berlaku supaya kita lebih bersedia untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

Ingatkan diri kita selalu bahawa kejayaan yang diraih selepas mengharungi kesusahan itu adalah lebih selamat, lebih membahagiakan dan lebih mengajar kita erti bersyukur. Apabila sesuatu itu diperoleh dengan jalan kesusahan ( terpaksa menempuh kegagalan dahulu), kita akan menghargai sesuatu itu. Lihat bagaimana para sahabat Rasulullah SAW begitu berhati-hati menjaga dan menghargai iman dan islam mereka. Mengapa? Kerana mereka mendapat iman dan Islam dengan cara yang susah.



Raikan kejayaan

Apabila kita mendapat kejayaan yang kecil sekalipun, raikan lah kejayaan itu.  Jangan beranggapan, kejayaan itu cuma kecil dan tidak ada apa-apa signifikannya. Sedangkan, hanya apabila kejayaan yang kecil dihargai dan disyukuri barulah kejayaan yang lebih besar akan menjelma. Ya, barangsiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, sekali-kali tidak akan bersyukur dengan yang banyak.

Dan jika kita gagal juga setelah berkali-kali mencuba, jangan mengalah. Jangan fikirkan kesempurnaan, mulakan sekali lagi. Beri maaf pada diri sendiri tetapi jangan pula dimanjakan secara keterlaluan. Bersangka baiklah kepada diri sendiri! Itu penting kerana sangka baik kepada diri sendiri sangat berkait rapat dengan sangka baik kepada Allah.

Bersedialah menghadapi ‘skrip’ kehidupan yang diluar jangkaan. Kita inginkan putih, tetapi yang hitam pula menjelama. Cerah yang ditunggu, gelap yang tiba.

Ketika itu, jangan panik. Ingatkan diri bahawa kita cuma hamba..bukan Tuhan. Sebagai hamba, kita hanya berusaha mentadbir. Sedangkan pada Allah-lah kemutlakan takdir. Takdir sentiasa mengatasi tadbir.

Wallahua’lam

~dipetik daripada Buku Nota Fikir Untuk Zikir, oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi ~


Thursday, June 14, 2012

Sirah: Keislaman Abu Zar (Radhiallahu-anh)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...



Abu Zar, abangnya (Unais), dan ibunya meninggalkan tanah Ghifar kerana tidak bersetuju dengan sikap kaumnya yang tidak menghormati bulan-bulan haram (Ash-Harul-Hurum) – Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Puak Ghifar ini adalah puak yang terkenal sebagai penyamun barang dagangan (dan ganas), dan mereka tidak menghormati dengan undang-undang. Abu Zar turut menolak fahaman menyembah patung-patung buatan manusia.

Lalu, mereka (Abu Zar, ibu dan abangnya) berpindah/melawat pakcik mereka, dan kehadiran mereka disambut dengan begitu mesra. Namun, atas ketidak puas hatian orang yang rapat dengan pakcik Abu Zar, mereka telah menyebarkan fitnah yang abang kepada Abu Zar menaruh minat kepada isteri pakciknya. Perkara ini dibangkitkan oleh pakcik Abu Zar (untuk mendapatkan kepastian), namun ia menyebabkan Abu Zar marah, dan pergi meninggalkan pakciknya seraya menyatakan segala kebaikan yg ditabur oleh pakciknya sia-sia belaka (atas tuduhannya)
*dan pakciknya menyesal atas tuduhan yg dilemparkan*

Dan mereka meneruskan perjalanan lagi, dan berhenti berhampiran kota Makkah. Unais (abang Abu Zar) telah masuk ke kota Makkah untuk menyelesaikan beberapa urusan, dan sekembalinya Unais kepada keluarga mereka, Unais mengkhabarkan yang dia telah berjumpa denga seorang Nabi, yang membawa ajaran baru (iaitu menyembah Allah).

Kata Abu Zar “Aku telah menyembah Allah selama 3 tahun!”

“Bagaimana engkau menyembah Allah?”, beliau ditanya.

“Aku menyembah ke arah mana aku ditunjuk, dan menyembah dengan cara mana aku diilhamkan, dan aku berdoa pada malam hari, sehingga aku tertidur, sehingga matahari mengejutkan aku keesokan paginya”, kata Abu Zar.

“Di mana dia mengajar?”, tanya Abu Zar untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Unais tidak menjawab langsung, tetapi menceritakan akan ajaran yang dibawa (sedikit sebanyak) dan berkenaan komen orang ramai kepada Rasulullah; bahawa dia seorang pembohong, ahli sihir dan sebagainya.

“Kamu belum memuaskan aku (dengan jawapan-jawapan/kata-kata itu)”, seru Abu Zar.

Abu Zar tekad untuk mencari sendiri akan kebenaran ajaran yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W. dan menolak kata-kata orang ramai di Makkah berkenaan ajaran tersebut. Di sini dapat kita pelajari akan konsep 'tabayyanu'. Selidik. Allah menyeru para hambaNya agar menyelidik (dan buktikan kebenarannya) sesuatu ilmu, berita sebelum mempercayainya.

Setibanya Abu Zar di Kota Makkah, dia menegur orang yang pertama dilihatnya akan di manakah boleh dia menjumpai Muhammad. Tanpa membuang masa, lelaki yang baru ditegur oleh Abu Zar mula memanggil penduduk Quraisy, dan mereka membantai Abu Zar sehingga beliau pengsan. Tersedarnya Abu Zar selepas itu, Abu Zar melihat dirinya bermandikan darah. Lalu Abu Zar pergi ke telaga Zamzam dan membersihkan dirinya, dan meminum air darinya. Lalu dia duduk berhampiran dengan Ka'bah (dan menurut riwayat Imam Ahmad), Abu Zar menunggu selama 30 hari akan kelibat Rasulullah S.A.W. (kerana tidak tahu bagaimana untuk mencari Baginda). Dan selama mana Abu Zar menunggu, dia tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan melainkan meminum air Zamzam. Dan berlaku satu perkara menarik kepada Abu Zar, di mana beliau menyatakan akan berlaku pertambahan berat badan, sehingga kulit perut berlapis-lapis! (Subhanallah, dengan kuasa Allah!).

Berlaku satu kejadian ketika Abu Zar disamping Ka'bah, di mana ada 2 wanita melakukan tawaf, dan setiap kali pusingan, mereka akan menyentuh patung Isaf dan Naila. Siapakah Isaf dan Naila? Suatu ketika dahulu, Isaf dan Naila merupakan satu pasangan lelaki dan wanita, yang bercinta namun tidak dibenarkan berkahwin. Lalu Isaf dan Naila merancang untuk bertemu di depan Ka'bah, dan mereka ingin melakukan perbuatan yang dilarang berhampiran rumah Allah. Diriwayatkan menurut sejarah, mereka telah ditukar menjadi batu atas perbuatan terkutuk itu. Dan batu itu (selepas beberapa generasi) mula disembah oleh orang-orang musyrik. Inilah caranya syaitan menyesatkan manusia, sejak dari zaman Nabi Nuh lagi (dengan cara yang sama). Batu yang sedari awalnya dikatakan simbol/pengajaran untuk mengingat Allah, selepas beberapa generasi, akan disembah seolah-olah ia mempunyai kuasa tersendiri.

Abu Zar yang sememangnya jelik dengan perbuatan ini, lalu menegur dengan sinis,

“Kenapa kamu tidak buatkan dua patung itu berzina sesama mereka?”, kata Abu Zar.

Namun kata-kata itu tidak diendahkan oleh kedua wanita tersebut, malah mereka dengan terus menerus mengulang perbuatan sama. Melihat tegurannya tidak memberi kesan, Abu Zar mengeluarkan kata-kata yang lebih kesat lagi kepada mereka. Kali ini, kedua wanita itu mula menjauhi kawasan itu kerana tidak tahan dengan kata-kata Abu Zar, sambil mengeluarkan suara yang keras (terpekik). Dikala wanita itu berlarian sambil menjerit, mereka terserempak dengan Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar. Baginda menegur mereka seraya bertanya akan apa yang telah berlaku.

Wanita tersebut menjawab, “Lelaki yang berada disitu (berhampiran Ka'bah) berkata perkataan yang sangat menjijikan!”

Maka, selepas dua wanita itu meninggalkan Nabi S.A.W. dan Abu Bakar, Nabi S.A.W. dan Abu Bakar pergi bertemu Abu Zar dan meneruskan perbualan. Rasulullah S.A.W. bertanyakan dari mana Abu Zar berasal.

Abu Zar menjawab, “Aku dari Ghifar”.

Diriwayatkan, Rasulullah S.A.W. meletakkan tangannya ke dahi, dan terkejut kerana ada orang dari Ghifar ingin mendengar keterangan tentang agama Tauhid darinya. Mana tidaknya, puak Ghifar ini terkenal dengan kekerasannya, dan hatta orang-orang di Makkah sendiri yang sepatutnya puak yang beragama (malah boleh dikatakan pihak berkuasa dalam isu agama di Semenanjung Tanah Arab), walaupun syirik, tidak dapat menerima akan ajaran yang dibawa.

Abu Zar dapat merasakan yang Nabi seolah-olah tidak menyukaikan asal-usulnya, lalu Abu Zar cuba meletakkan tangan Nabi yang ketika itu berada di dahi, turun. Perkara ini ditegah oleh Abu Bakar, dan mereka meneruskan perbualan, dan dengan izin Allah, Abu Zar menerima Islam. Sebelum meninggalkan Abu Zar pergi, Rasulullah S.A.W. berpesan agar dirahsiakan keimannya dari puak Quraisy. Namun, sebaliknya berlaku. Keesokkan paginya, Abu Zar pergi dihadapan puak Quraisy, seraya melafazkan,


Maka puak Quraisy mengepung Abu Zar, lantas memukulnya. Sehingga saat Ibnu Abbas tiba ditempat kejadian, lantas menegur kaumnya,

“Tahukah kamu siapa lelaki ini? Dia ini dari Ghifar!”

Sejurus perkataan Ghifar itu keluar, orang ramai bersurai meninggalkan Abu Zar. Mereka bimbang akan barang dagangan mereka diserang jika mereka mencari masalah dengan sesiapa yang berasal dari Ghifar (konsep Assabiyyah). Namun keesokkan harinya, Abu Zar tetap melakukan perkara yang sama, dan respon yang sama diberikan oleh mereka yang berdekatan (yang mana tidak mengetahui siapa Abu Zar lagi), dan disuraikan oleh Ibnu Abbas. Perkara ini berulang dalam beberapa hari mendatang. Mengetahui perkara ini, Rasulullah S.A.W. menyeru Abu Zar agar kembali kepada kaumnya, dan sampaikanlah risalah Islam kepada mereka. Dan jika mereka semua beriman, bawalah kembali bertemu dengan Rasulullah S.A.W.

Pengajaran: Jika hendak dibayangkan, tempoh masa Abu Zar bersama Rasulullah amat singkat dan tidak banyak berkenaan Islam yang dipelajari oleh Abu Zar. Namun sesungguhnya usaha dakwah tidak bergantung kepada faktor-faktor sedemikian. Faktor utama adalah keyakinan dalam kebenaran risalah yang Abu Zar dan kita imani.

Maka, sekembalinya Abu Zar kepada kaumnya, dia tanpa segan silu berdakwah. Dan secara perlahan-lahan, penduduk Ghifar mula menerima risalah Islam. Diriwayatkan ketika mana Rasulullah S.A.W. melakukan hijrah, hampir separuh daripada penduduk Ghifar memeluk Islam. Lalu mereka merancang untuk bertemu Rasulullah S.A.W. Baki kaum Ghifar yang masih belum beriman menyatakan kesediaan mereka untuk beriman jika Rasulullah S.A.W. datang melawat mereka.

Diriwayatkan ketika mana rombongan dari Ghifar yang telah beriman ini menghampiri Madinah, dilihat kepulan debu yang besar bergerak, seolah-olah ada bala tentera ingin menyerang kota Madinah. Ada di antara sahabat yang bergegas mempersiapkan diri untuk berperang dan mengkhabarkan perkara ini kepada Rasulullah S.A.W. Namun Rasulullah S.A.W. menenangkan para sahabat, seraya menyatakan itu adalah Abu Zar. Dan ianya tepat. Dan seterusnya seluruh masyarakat Ghifar memeluk Islam. Dan lebih menariknya, puak yang sering bersaing dengan puak Ghifar, iaitu puak Aslam, mendengar akan perkhabaran ke-Islaman puak Ghifar, mereka bergegas bertemu dengan Rasulullah S.A.W. untuk berbaiah dan menyatakan ke-Islaman mereka.

Dan diriwayatkan Nabi S.A.W. berdoa,

“Ghifar, moga Allah mengampuni kalian, dan Aslam, moga Allah berikan ketenangan pada kalian”

Maha Suci Tuhan, yang menentukan Qada' dan Qadar akan sesuatu perkara, dan sesungguhnya tiada lagi alasan untuk saya dan pembaca sekalian untuk berdolak dalik menyebarkan risalah ini yang mulia dan membawa manusia kepada kebenaran.

Allahu a'lam.  

Tuesday, June 5, 2012

Pemutus segala nikmat

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

[To the righteous it will be said], "O reassured soul,

Return to your Lord, well-pleased and pleasing [to Him],

And enter among My [righteous] servants

And enter My Paradise."

(al-Fajr; 27-30)


Sunday, June 3, 2012

Tafseer: Rely only on Allah

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

11:6

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan). 
(surah Hud; 6)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...