Social Icons

Wednesday, June 20, 2012

Kegagalan Itu Mahar Kejayaan



Orang yang berjaya, gagal berkali-kali.  Orang yang kalah, gagal hanya sekali. Justeru, apabila kita mengalami kegagalan, belajar dan ambillah ikhtibar daripada kegagalan itu. Insya Allah, kegagalan itu akan menjadi mahar kejayaan!

Belajar daripada kegagalan pertama, untuk mencuba kali kedua. Dan belajar pula daripada kegagalan kedua untuk mencuba kali ketiga. Istiqamah. Pastikan setiap percubaan membawa kita lebih baik daripada sebelumnya walaupun dalam kadar yang sedikit. Yang pasti jangan ulangi kesalahan yang sama berulang-ulang kali.

Untuk istiqamah, mulakan dengan tindakan-tindakan kecil dan ringan dahulu. Kemudian, secara beransur-ansur, barulah lakukan tindakan yang bertambah ‘berat’ dan lebih sukar. Jangan gelojoh dan gopoh hingga bertindak di luar batas kemampuan.

Ingat, tindakan-tindakan berkesan perlu ditangani semacam kita ingin mengoyak sebuah buku tebal..koyak helai demi helai. Jangan cuba mengoyak sekali gus. Kata orang, jangan naik anak tangga  secara berlari!

Kuatkan iman (keyakinan) kita kepada Allah melalui ibadah-ibadah asas. Selalu ‘berdialog’ dengan-Nya melalui solat & munajat. Pinta kepadaNya kekuatan. Dan sematkan  sangka baik dalam diri yang “kita boleh berjaya!”. Insan yang paling kuat, ialah insan yang mengaku lemah di hadapan Tuhan iaitu Allah.

Sebenarnya, banyak pelajaran yang Allah hendak kita fahami apabila Dia mengurniakan kita kegagalan. Mungkin kita angkuh, lalu digagalkan-Nya kita untuk kembali tawaduk. Mungkin kita alpa, lalu kegagalan itu akan mengingatkan kita semula. Atau mungkin Allah hendak menganugerahkan kejayaan lebih besar, maka kegagalan yang kecil itu ditakdirkan berlaku supaya kita lebih bersedia untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

Ingatkan diri kita selalu bahawa kejayaan yang diraih selepas mengharungi kesusahan itu adalah lebih selamat, lebih membahagiakan dan lebih mengajar kita erti bersyukur. Apabila sesuatu itu diperoleh dengan jalan kesusahan ( terpaksa menempuh kegagalan dahulu), kita akan menghargai sesuatu itu. Lihat bagaimana para sahabat Rasulullah SAW begitu berhati-hati menjaga dan menghargai iman dan islam mereka. Mengapa? Kerana mereka mendapat iman dan Islam dengan cara yang susah.



Raikan kejayaan

Apabila kita mendapat kejayaan yang kecil sekalipun, raikan lah kejayaan itu.  Jangan beranggapan, kejayaan itu cuma kecil dan tidak ada apa-apa signifikannya. Sedangkan, hanya apabila kejayaan yang kecil dihargai dan disyukuri barulah kejayaan yang lebih besar akan menjelma. Ya, barangsiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, sekali-kali tidak akan bersyukur dengan yang banyak.

Dan jika kita gagal juga setelah berkali-kali mencuba, jangan mengalah. Jangan fikirkan kesempurnaan, mulakan sekali lagi. Beri maaf pada diri sendiri tetapi jangan pula dimanjakan secara keterlaluan. Bersangka baiklah kepada diri sendiri! Itu penting kerana sangka baik kepada diri sendiri sangat berkait rapat dengan sangka baik kepada Allah.

Bersedialah menghadapi ‘skrip’ kehidupan yang diluar jangkaan. Kita inginkan putih, tetapi yang hitam pula menjelama. Cerah yang ditunggu, gelap yang tiba.

Ketika itu, jangan panik. Ingatkan diri bahawa kita cuma hamba..bukan Tuhan. Sebagai hamba, kita hanya berusaha mentadbir. Sedangkan pada Allah-lah kemutlakan takdir. Takdir sentiasa mengatasi tadbir.

Wallahua’lam

~dipetik daripada Buku Nota Fikir Untuk Zikir, oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi ~


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...