Social Icons

Thursday, June 14, 2012

Sirah: Keislaman Abu Zar (Radhiallahu-anh)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...



Abu Zar, abangnya (Unais), dan ibunya meninggalkan tanah Ghifar kerana tidak bersetuju dengan sikap kaumnya yang tidak menghormati bulan-bulan haram (Ash-Harul-Hurum) – Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Puak Ghifar ini adalah puak yang terkenal sebagai penyamun barang dagangan (dan ganas), dan mereka tidak menghormati dengan undang-undang. Abu Zar turut menolak fahaman menyembah patung-patung buatan manusia.

Lalu, mereka (Abu Zar, ibu dan abangnya) berpindah/melawat pakcik mereka, dan kehadiran mereka disambut dengan begitu mesra. Namun, atas ketidak puas hatian orang yang rapat dengan pakcik Abu Zar, mereka telah menyebarkan fitnah yang abang kepada Abu Zar menaruh minat kepada isteri pakciknya. Perkara ini dibangkitkan oleh pakcik Abu Zar (untuk mendapatkan kepastian), namun ia menyebabkan Abu Zar marah, dan pergi meninggalkan pakciknya seraya menyatakan segala kebaikan yg ditabur oleh pakciknya sia-sia belaka (atas tuduhannya)
*dan pakciknya menyesal atas tuduhan yg dilemparkan*

Dan mereka meneruskan perjalanan lagi, dan berhenti berhampiran kota Makkah. Unais (abang Abu Zar) telah masuk ke kota Makkah untuk menyelesaikan beberapa urusan, dan sekembalinya Unais kepada keluarga mereka, Unais mengkhabarkan yang dia telah berjumpa denga seorang Nabi, yang membawa ajaran baru (iaitu menyembah Allah).

Kata Abu Zar “Aku telah menyembah Allah selama 3 tahun!”

“Bagaimana engkau menyembah Allah?”, beliau ditanya.

“Aku menyembah ke arah mana aku ditunjuk, dan menyembah dengan cara mana aku diilhamkan, dan aku berdoa pada malam hari, sehingga aku tertidur, sehingga matahari mengejutkan aku keesokan paginya”, kata Abu Zar.

“Di mana dia mengajar?”, tanya Abu Zar untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Unais tidak menjawab langsung, tetapi menceritakan akan ajaran yang dibawa (sedikit sebanyak) dan berkenaan komen orang ramai kepada Rasulullah; bahawa dia seorang pembohong, ahli sihir dan sebagainya.

“Kamu belum memuaskan aku (dengan jawapan-jawapan/kata-kata itu)”, seru Abu Zar.

Abu Zar tekad untuk mencari sendiri akan kebenaran ajaran yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W. dan menolak kata-kata orang ramai di Makkah berkenaan ajaran tersebut. Di sini dapat kita pelajari akan konsep 'tabayyanu'. Selidik. Allah menyeru para hambaNya agar menyelidik (dan buktikan kebenarannya) sesuatu ilmu, berita sebelum mempercayainya.

Setibanya Abu Zar di Kota Makkah, dia menegur orang yang pertama dilihatnya akan di manakah boleh dia menjumpai Muhammad. Tanpa membuang masa, lelaki yang baru ditegur oleh Abu Zar mula memanggil penduduk Quraisy, dan mereka membantai Abu Zar sehingga beliau pengsan. Tersedarnya Abu Zar selepas itu, Abu Zar melihat dirinya bermandikan darah. Lalu Abu Zar pergi ke telaga Zamzam dan membersihkan dirinya, dan meminum air darinya. Lalu dia duduk berhampiran dengan Ka'bah (dan menurut riwayat Imam Ahmad), Abu Zar menunggu selama 30 hari akan kelibat Rasulullah S.A.W. (kerana tidak tahu bagaimana untuk mencari Baginda). Dan selama mana Abu Zar menunggu, dia tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan melainkan meminum air Zamzam. Dan berlaku satu perkara menarik kepada Abu Zar, di mana beliau menyatakan akan berlaku pertambahan berat badan, sehingga kulit perut berlapis-lapis! (Subhanallah, dengan kuasa Allah!).

Berlaku satu kejadian ketika Abu Zar disamping Ka'bah, di mana ada 2 wanita melakukan tawaf, dan setiap kali pusingan, mereka akan menyentuh patung Isaf dan Naila. Siapakah Isaf dan Naila? Suatu ketika dahulu, Isaf dan Naila merupakan satu pasangan lelaki dan wanita, yang bercinta namun tidak dibenarkan berkahwin. Lalu Isaf dan Naila merancang untuk bertemu di depan Ka'bah, dan mereka ingin melakukan perbuatan yang dilarang berhampiran rumah Allah. Diriwayatkan menurut sejarah, mereka telah ditukar menjadi batu atas perbuatan terkutuk itu. Dan batu itu (selepas beberapa generasi) mula disembah oleh orang-orang musyrik. Inilah caranya syaitan menyesatkan manusia, sejak dari zaman Nabi Nuh lagi (dengan cara yang sama). Batu yang sedari awalnya dikatakan simbol/pengajaran untuk mengingat Allah, selepas beberapa generasi, akan disembah seolah-olah ia mempunyai kuasa tersendiri.

Abu Zar yang sememangnya jelik dengan perbuatan ini, lalu menegur dengan sinis,

“Kenapa kamu tidak buatkan dua patung itu berzina sesama mereka?”, kata Abu Zar.

Namun kata-kata itu tidak diendahkan oleh kedua wanita tersebut, malah mereka dengan terus menerus mengulang perbuatan sama. Melihat tegurannya tidak memberi kesan, Abu Zar mengeluarkan kata-kata yang lebih kesat lagi kepada mereka. Kali ini, kedua wanita itu mula menjauhi kawasan itu kerana tidak tahan dengan kata-kata Abu Zar, sambil mengeluarkan suara yang keras (terpekik). Dikala wanita itu berlarian sambil menjerit, mereka terserempak dengan Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar. Baginda menegur mereka seraya bertanya akan apa yang telah berlaku.

Wanita tersebut menjawab, “Lelaki yang berada disitu (berhampiran Ka'bah) berkata perkataan yang sangat menjijikan!”

Maka, selepas dua wanita itu meninggalkan Nabi S.A.W. dan Abu Bakar, Nabi S.A.W. dan Abu Bakar pergi bertemu Abu Zar dan meneruskan perbualan. Rasulullah S.A.W. bertanyakan dari mana Abu Zar berasal.

Abu Zar menjawab, “Aku dari Ghifar”.

Diriwayatkan, Rasulullah S.A.W. meletakkan tangannya ke dahi, dan terkejut kerana ada orang dari Ghifar ingin mendengar keterangan tentang agama Tauhid darinya. Mana tidaknya, puak Ghifar ini terkenal dengan kekerasannya, dan hatta orang-orang di Makkah sendiri yang sepatutnya puak yang beragama (malah boleh dikatakan pihak berkuasa dalam isu agama di Semenanjung Tanah Arab), walaupun syirik, tidak dapat menerima akan ajaran yang dibawa.

Abu Zar dapat merasakan yang Nabi seolah-olah tidak menyukaikan asal-usulnya, lalu Abu Zar cuba meletakkan tangan Nabi yang ketika itu berada di dahi, turun. Perkara ini ditegah oleh Abu Bakar, dan mereka meneruskan perbualan, dan dengan izin Allah, Abu Zar menerima Islam. Sebelum meninggalkan Abu Zar pergi, Rasulullah S.A.W. berpesan agar dirahsiakan keimannya dari puak Quraisy. Namun, sebaliknya berlaku. Keesokkan paginya, Abu Zar pergi dihadapan puak Quraisy, seraya melafazkan,


Maka puak Quraisy mengepung Abu Zar, lantas memukulnya. Sehingga saat Ibnu Abbas tiba ditempat kejadian, lantas menegur kaumnya,

“Tahukah kamu siapa lelaki ini? Dia ini dari Ghifar!”

Sejurus perkataan Ghifar itu keluar, orang ramai bersurai meninggalkan Abu Zar. Mereka bimbang akan barang dagangan mereka diserang jika mereka mencari masalah dengan sesiapa yang berasal dari Ghifar (konsep Assabiyyah). Namun keesokkan harinya, Abu Zar tetap melakukan perkara yang sama, dan respon yang sama diberikan oleh mereka yang berdekatan (yang mana tidak mengetahui siapa Abu Zar lagi), dan disuraikan oleh Ibnu Abbas. Perkara ini berulang dalam beberapa hari mendatang. Mengetahui perkara ini, Rasulullah S.A.W. menyeru Abu Zar agar kembali kepada kaumnya, dan sampaikanlah risalah Islam kepada mereka. Dan jika mereka semua beriman, bawalah kembali bertemu dengan Rasulullah S.A.W.

Pengajaran: Jika hendak dibayangkan, tempoh masa Abu Zar bersama Rasulullah amat singkat dan tidak banyak berkenaan Islam yang dipelajari oleh Abu Zar. Namun sesungguhnya usaha dakwah tidak bergantung kepada faktor-faktor sedemikian. Faktor utama adalah keyakinan dalam kebenaran risalah yang Abu Zar dan kita imani.

Maka, sekembalinya Abu Zar kepada kaumnya, dia tanpa segan silu berdakwah. Dan secara perlahan-lahan, penduduk Ghifar mula menerima risalah Islam. Diriwayatkan ketika mana Rasulullah S.A.W. melakukan hijrah, hampir separuh daripada penduduk Ghifar memeluk Islam. Lalu mereka merancang untuk bertemu Rasulullah S.A.W. Baki kaum Ghifar yang masih belum beriman menyatakan kesediaan mereka untuk beriman jika Rasulullah S.A.W. datang melawat mereka.

Diriwayatkan ketika mana rombongan dari Ghifar yang telah beriman ini menghampiri Madinah, dilihat kepulan debu yang besar bergerak, seolah-olah ada bala tentera ingin menyerang kota Madinah. Ada di antara sahabat yang bergegas mempersiapkan diri untuk berperang dan mengkhabarkan perkara ini kepada Rasulullah S.A.W. Namun Rasulullah S.A.W. menenangkan para sahabat, seraya menyatakan itu adalah Abu Zar. Dan ianya tepat. Dan seterusnya seluruh masyarakat Ghifar memeluk Islam. Dan lebih menariknya, puak yang sering bersaing dengan puak Ghifar, iaitu puak Aslam, mendengar akan perkhabaran ke-Islaman puak Ghifar, mereka bergegas bertemu dengan Rasulullah S.A.W. untuk berbaiah dan menyatakan ke-Islaman mereka.

Dan diriwayatkan Nabi S.A.W. berdoa,

“Ghifar, moga Allah mengampuni kalian, dan Aslam, moga Allah berikan ketenangan pada kalian”

Maha Suci Tuhan, yang menentukan Qada' dan Qadar akan sesuatu perkara, dan sesungguhnya tiada lagi alasan untuk saya dan pembaca sekalian untuk berdolak dalik menyebarkan risalah ini yang mulia dan membawa manusia kepada kebenaran.

Allahu a'lam.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...