Social Icons

Tuesday, May 17, 2011

5 kisah aneh

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt sahabat-sahabat sekalian. InsyaAllah, hari ini kita membuat perkongsian mengenai 5 KISAH ANEH.. (^^)

**************************************************************************

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.


Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya.

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam


Nabi itu kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi ia adalah sungguh aneh dan sesuatu yang mustahil, tidak dapat dilaksanakan.”

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.



Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. 


Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, “Aku telah melaksanakan perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.


Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.”



Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya. 


Nabi tersebut pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, “Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”



Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, 
“Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”

Sahabat sekalian, hendaklah kita mengambil ibrah dari kelima-lima perkara yang disebut dalam kisah di atas, kerana kelima-limanya adalah perkara yang selalu kita encounter dalam kehidupan sehari-hari. Perkara yang agak sukar untuk dielak setiap hari adalah ghibah (mengata hal orang). Perkara ini amat kerap kita lakukan sehingga menjadi tabiat yang tidak kita sedari. Nauzubillahi min zalik. Haruslah kita ingat bahawa amalan buruk ini bukan sahaja membawa kepada kerosakan hati serta ukhuwwah, malah ia akan menghilangkan pahala kita. 

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat ada seseorang yang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. 

Maka, dia berkata kepada Allah : “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”.


Maka Allah menjawab :“Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.


Sabda Rasulullah S.A.W.

“Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. 

Kesimpulannya :

  • Hendaklah kita cuba mengawal diri ketika marah kerana hikmahnya selepas itu adalah kebaikan yang diperolehi hanya apabila dapat mengawal perasaan marah

  • Hendaklah kita sentiasa cuba untuk melakukan kebaikan; walaupun kebaikan itu tidak dipandang orang, suatu hari nanti Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang lebih besar. Kebaikan yang  kita lakukan pastinya akan dihargai apabila pintu hati mereka dibua oleh Allah, tanpa perlu kita bercerita mengenai kebaikan tersebut, kerana ditakuti akan timbul riak.

  • Hendaklah amanah yang diberikan kita pikul dengan penuh tanggungjawab, kerana ia merupakan suatu liability yang akan ditanya oleh Allah kelak, adakah kita melaksanakannya dengan sebaik mungkin ataupun adakah amanah tersebut kita khianati. 

  • Hendaklah kita berusaha sedaya mungkin dan semampu boleh untuk memenuhi hajat saudara, sahabat atau orang yang memerlukan bantuan daripada kita. Jangan pula memandang rendah terhadap insan yang berhajat tersebut, kerana suatu hari nanti, pasti kita pula yang memerlukan bantuan orang lain. Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah saw bersabda,’Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni). Hadits ini dishahihkan oleh al Albani didalam “ash Shahihah” nya.

  • Hendaklah kita menjaga lidah daripada berbicara tentang aib orang lain. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)


    Sesungguhnya peringatan ini untuk saya, serta sahabat-sahabat semua!!! \(^^)/

    Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin. (51:55)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...