Social Icons

Sunday, January 22, 2012

Pakcik tua itu, rabun matanya



Pakcik tua itu menghampiri. “Co je to?” ujarnya. (Ini apa?)

“Hm?” Terkejut.

“Co je to?” ulangnya perlahan.

“Žampióny,” jawabku ringkas sambil melihat tin berisi cendawan yang dipegangnya .

Dia kembali membelek-belek tin-tin lain yang tersusun kemas di rak. Seperti sukar untuknya membaca apa yang tertulis pada label-label barangan.

Pakcik tua itu berpaling lagi. “Kolik to stojí?” Menunjuk kepada label harga strawberry dalam tin dihadapannya.

“Osmnáct,” aku menjawab lagi. (Lapan belas)

Dia mengangguk tanda memahami dan berlalu. Dari jauh aku melihat pakcik tua itu bertanya sesuatu kepada seorang pelanggan lain pula. Pakcik tua itu nak beli daging rupanya tetapi tak pasti apa jenis daging yang dipegangnya.

Tentu sukar. Mata rabun. Tidak mampu melihat dengan jelas. Namun, tiada orang yang menemaninya untuk membeli barangan keperluan.

Tanpa sedar, air mata menitis. Sayu dan kasihan. Sedikit sebanyak pakcik tua itu mengingatkan aku pada atuk. Atuk  yang berada nun jauh di seberang benua. Teringat kata mak yang mata atuk semakin rabun. Bukan kerana dimakan usia tetapi kerana penyakit katarak yang dihidapinya dahulu kembali semula.

Atuk. Dengan tubuhnya yang lemah dimamah usia itu, atuk masih terus gigih untuk bercucuk tanam. Mahu berbakti pada tanah. Lemahnya tubuh atuk. Atuk kerap jatuh sakit kebelakangan ini.Tetapi, mujur rezeki atuk sedikit berbeza daripada pakcik tua tadi. Anak-anak atuk berusaha untuk menjaga atuk sebaiknya. Membawa dan menemaninya ke hospital. Membelikan barang keperluan yang dimahukannya. Alhamdulillah aku ucapkan. Bersyukur dalam diam.

Dan ayah adalah salah seorang daripada anak atuk. Aku tumpang gembira melihat ayah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak. Menjadi contoh pada aku dan adik-beradik yang lain.

Tetapi dalam diam, aku sedar. Giliran aku akan tiba. Giliran aku dan adik-beradik yang lain pula untuk menjaga ayah. Kedut di wajah ayah tidak begitu kelihatan. Tapi, rambut di kepala yang menjadi petanda. Rambut berwarna putih yang kian banyak. Sepertimana ayah menjaga atuk, begitu jugalah yang patut kami buat kelak. Malah bukan menjaga ayah sahaja, tapi sudah tentu ibu sekali. Insya Allah.

17:23

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
(Surah Al-Isra’,17:23)

Termenung jauh aku.Teringat pesan cikgu di sekolah menengah suatu ketika dahulu,

“ Kamu semua jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah agar Dia kurniakan kamu semua kekuatan dan kesabaran untuk menjaga kedua ibubapa kamu. Akan tiba masanya nanti, apabila kesibukan menghimpit atau kesusahan hidup mendatang, dan dalam masa yang sama ibubapa kamu mengharapkan kamu untuk menjaga mereka. Kadang-kadang mereka juga akan bersikap keanak-anakan. Maka waktu itu mungkin kesabaran dan kasih sayang kamu teruji. Oleh itu, janganlah sesekali kamu lupa untuk berdoa mulai sekarang. Jangan berhenti berdoa agar Allah kurniakan kamu semua kekuatan dan kesabaran untuk menjaga mereka.”

Ya Allah, kurniakan kami kekuatan serta kesabaran dan ampunilah segala dosa-dosa kami yang kami sedari ataupun tidak. Ampunilah dosa-dosa kedua ibubapa kami juga.


71:28

"Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman)...”
(Surah Nuh, 71: 28)





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...