Social Icons

Tuesday, November 27, 2012

Prinsip-prinsip Fikah Luar Negara (1)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...

InsyaAllah, post kali ini akan berkongsi mengenai dasar prinsip bagaimana sesuatu hukum Fiqh yang fleksibel (taqlid) di keluarkan. Artikel ini dipetik daripada buku Fikah Luar Negara karangan Dr. Mazlee Malik dan Hamidah Mat.

'Fikah luar negara tetap bersandarkan pada keaslian dan ketulenan Islam iaitu; sesuai, fleksibel dan dinamik pada semua keadaan dan masa.'




Fikah luar negara menuntut pada kesusaian hukum dengan keadaan setempat. Kesesuaian ini, walau bagaimanapun tidak menggadaikan prinsip-prinsip Islam serta tidak mengubah perkara-perkara tetap dalam Islam. Oleh yang demikian, perlu ditetapkan dasar-dasar yang kukuh bagi menjadikan fikah luar negara itu berpaksikan keaslian dan ketulenan Islam; iaitu sesuai pada semua keadaan dan juga bersifat fleksibel dan dinamik.

1) Perubahan hukum mengikut perubahan waktu dan tempat

Ibn Abidin Hanafi menyatakan, "Terdapat banyak hukum-hakam yang dihasilkan oleh mujtahid berasaskan suasana yang berlaku pada zamannya. Justeru, hukum-hakam itu berbeza dengan perbezaan masa ataupun zaman kerana berlakunya perubahan urf (iaitu adat) masyarakat pada waktu itu, darurat ataupun kerosakan akhlak masyarakat.

Apabila dikekalkan hukum itu atas sifatnya yang dahulu, ia menimbulkan masyaqqah (iaitu kepayahan) dan kemudharatan bagi manusia. Ia menyalahi prinsip-prinsip syariat yang dibina atas dasar meringankan dan memudahkan serta menolak kemudharatan dan kerosakkan. Semua ini bertujuan mengekalkan sistem hidup atas hukum-hakam yang terbaik. Kerana dasar inilah, kita dapat melihat para fuqaha mazhab berbeza pendapat dengan imam mujtahid mazhab mereka dalam banyak masalah.

Perbezaan itu kerana pendapat yang dibina itu berdasarkan suasana pada zaman imam mujtahid. Fuqaha mazhab berpendapat kalau para imam mujtahid itu masih hidup pasti mereka memberi fatwa seperti para fuqaha itu yang berdasarkan prinsip-prinsip mazhabnya."

Apa yang dikatakan oleh Ibn Abidin ini bukanlah perkara yang baru. Sebagai contoh, Imam Malik mengeluarkan banyak fatwa berdasarkan amalan penduduk Madinah pada zamannya. Menurutnya, penduduk Madinah pada zamannya itu masih lagi mewarisi tradisi yang mereka amalkan sejak zaman Nabi Muhammad.

Imam Abu Hanifah juga banyak berselisih pendapat dengan sahabat-sahabatnya berdasarkan perbezaan urf dan latar belakang masing-masing. Imam Syafie pula, dalam hal ini ada sikap yang lebih dinamik. Semasa beliau berada di Mesir, beliau banyak mengubah segala fatwa dan hukum yang dihasilkannya semasa beliau berada di Baghdad. Ini semua berdasarkan atas perbezaan keadaan antara Mesir dan Baghdad. Justeru, lahirlah qawl jadid (pendapat baru) dan qawl qadim (pendapat lama) bagi mazhab Syafie.

Antara contoh perbezaan para ulama yang disebabkan perbezaan keadaan seperti pendapat para ulama berkaitan dengan larangan mengambil upah mengajar al-Quran. Bagi para ulama mutaqaddimin (terdahulu), mereka melarang para guru al-Quran mengambil upah mengajar al-Quran. Tetapi selepas berlaku perubahan suasana, urf dan keadaan, para ulama mutaakhirin (terkemudian) memberi fatwa harus mengambil upah mengajar al-Quran supaya pengajian al-Quran tidak terhapus. Antara contoh yang lain juga adalah kes unta hilang, di mana ketika zaman Rasulullah, Rasulullah hanya membiarkan (melarang untuk ditangkap) unta yang hilang (tanpa tuan) dengan harapan ia akan kembali kepada tuannya semula pada masa akan datang. Tetapi di zaman Uthman ibn Affan, unta yang dijumpai berkeliaran tanpa tuan akan ditangkap dan mereka yang kehilangan unta akan menuntut kembali ditempat khas (atas sebab akhlak yang mula rosak dan sikap tidak jujur dalam masyarakat).

Walau bagaimanapun, perlu diingat perbezaan hukum-hakam kerana mengikut perbezaan urf bukanlah perbezaan tasyri' (syariat). Tetapi perbezaan itu hanya dalam perlaksanaanya sahaja. Ini bukan beerti hukum Allah dalam masalah berbagai-bagai tetapi maksud perlaksaan itu adalah kerana situasi, suasana dan peristiwa yang berbeza.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...