SURAH Al- Fatihah ini dinamakan dengan berbagai-bagai nama seperti Um al-Kitab, Um al-Furqan, al-Masthani, as-Sab’ai dan lain-lain. Al- Fatihah merupakan pembuka Al-Quran yang sangat agung. Maka, ia juga adalah pembuka kepada hati dan minda manusia. Al- fatihah juga merupakan manhaj atau gaya hidup yang sesuai dgn apa yang Allah perintahkan. Tidak hairanlah jika surah yang terdiri dari 7 ayat ini diulang oleh setiap muslim sebanyak 17 kali sehari dalam mempersembahkan ibadah yang paling penting iaitu solat. Oleh itu, amat penting untuk kita memahami dan mendalami setiap untaian maksud ayat-ayat surah yang agung ini, dengan harapan dapat meningkatkan ke”khusyuk”an kita bersolat.
1. Al- Isti’azah: Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam.
Al-Isti’azah bermaksud memohon perlindungan. Al-Quran merupakan penawar,petunjuk dan cahaya kepada umat manusia. Walaubagaimana pun, dalam mencari penawar hati dan petunjuk ini, pastinya terdapat ancaman yang besar iaitu syaitan. Ingatlah, syaitan pernah berkata:
“kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka dan dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur” (Al-A’raf ayat 17)
Maka, apabila sedang kita membaca ayat-ayat Quran, syaitan akan datangi kita dari semua arah, dan membisik secara halus kedalam hati kita, supaya kita rasa bangga dan riak dengan bacaan kita yang lancar dan merdu. Jika tidak berjaya, syaitan akan membuatkan kita memuji diri sendiri.. “bagusnya aku ni, sehari pun tak pernah tinggal baca quran”. Syaitan tidak akan berhenti menghasut dan membisik kedalam hati kita, supaya jauh terpesong dengan niat “lillahi taala”. Maka, oleh itu, Allah telah menyediakan perlindungan yang hebat kepada kita, iaitu ungkapan Isti’azah:
“Jika apabila kamu membaca al-Quran maka berlindunglah kepada Allah daripada syaitan ar-rajim” (An-Nahl: 98)
Oleh itu, masihkan patut kita memandang ringan dengan ucapan Al-Isti’azah ini dan mengganggapnya sebagai satu sunnah yang ringan?
2. Basmalah: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Huruf ba’ yang ada pada basmalah dikenali dengan ba’ al-isti’anah (ba’ bantuan). Ba’ al-isti’anah ini jika diterjemahkan dalam bahasa melayu member maksud “dengan”. Analogi nya, ketika kita berkata, aku pulang ‘dengan’ menaiki trem no 22, bermaksud trem telah membantu perjalananku pulang dengan mudah. Oleh itu, huruf ba’ dalam ungkapan basmallah iaitu ba’ al-isti’anah merupakan permohonan akan bantuan Allah.
Ar-rahman dan Ar-rahim pula merupakan nama-nama Allah SWT (Asmaul Husna). Allah berfirman:
“Dan bagi Allah Asmaul Husna maka berdoalah dengannya…” (Al-A’raf:180)
Oleh itu, ucapan basmalah mengandungi makna doa. Membaca basmalah membuatkan kegiatan berdoa menjadi mudah dan berterusan. Ikatan dengan pencipta menjadi berterusan dan setiap detik, Allah menjadi ingatan dan tujuan. Syaitan kehilangan punca kerana niat segar terucap.
3. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam
Ayat ini jelas mengajarkan kita siapa yang sepatutnya dan selayaknya dipuji. Ramai manusia terlupa dengan hakikat diri yang sebenarnya sangat lemah. Ketika Allah memberi kita beberapa kecemerlangan, seringkali kita menganggap bahawa semuanya diraih atas usaha dan daya kita. Oleh itu, ketika kita mebaca ayat kedua ini setiap hari dalam solat, mudah-mudahan ayat ini dapat menyedarkan kita sebanyak 17 kali setiap hari, supaya kita hendaklan sentiasa bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya.
Dalam ayat kedua ini juga, Allah mengajarkan kepada kita bahawa Allah merupakan pentadbir seluruh alam. Kita menyakini bahawa Allah yang menciptakan seluruh alam semesta ini dengan sendirinya tanpa memerlukan bantuan selainNya. Maka hanya Dialah yang tahu hakikat rahsia di sebalik seluruh ciptaanNya ini. Dia jugalah satu-satunya yang mampu untuk mengatur dan menjaga alam ini.
Allah berfirman: “kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi dan Allah Maha Perkasa atas segala sesuatu” (Al-Imran:189)
4. Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Ayat ini mengajak kita merenung bahawa penciptaan yang berlaku ini segalanya berasal dari rahmat dan kasih sayang Allah. Bukan sahaja langit dan bumi yang dihamparkan buat kita, malahan Rasul yang diutuskan dan Al-Quran yang diturunkan kepada kita juga merupakan rahmat daripada Allah. Kalimah Ar-Rahman merupakan kalimah yang melambangkan Zat Allah yang tidak ada seumpamanya, kepada semua makhluk. Sedangkan Ar-Rahin pula Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya. Maka bergembiralah kita yang berjaya menyebut syahadah kerana mendapat kasih sayang “extra” dari Pencipta.
5. Penguasa Hari Pembalasan
Allah menegaskan bahawa Dialah yang akan menjadi Penguasa di Hari Pembalasan. Tujuan penegasan disini adalah untuk mengingatkan manusia mengenai kedasyatan hari tersebut. Sebelum Allah menyatakan akan Dirinya yang merupakan Penguasa pada Hari Pembalasan (ayat 4), Allah telah menyatakan terlebih dahulu bahawa Dialah Ar-Rahman dan Ar-Rahim (ayat 3). Ar-Rahmat dan Ar-Rahim memberi manusia harapan untuk terus berusaha mencari keredhaan-Nya walaupun manusia seringkali tersilap langkah.
6. KepadaMu kami sembah dan KepadaMu kami mohon pertolongan.
Secara semula jadinya, manusia yang tadabbur kepada keempat empat ayat sebelum ini, akan timbul rasa penghambaan didalam diri mereka. Ayat satu hingga empat dari surah al;Fatihah disampaikan dalam bentuk penyataan. Jika kita beralih ke ayat kelima, ia dihadirkan dalam bentuk ucapan atau dialog. Hal ini menandakan perubahan yang berlaku pada diri manusia antara keadaan sebelum mengenal Allah dan setelah mengenal Allah. Ayat ini mengajarakan kita supaya kita beribadhlah ikhlas kerana Allah, bekerja keraslah demi redha Allah dan mohonlah segala pertolongan dan pengharapan hanya kerana Allah.
7. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Setelah Allah memperkenalkan segala aspek yang berkaitan dengan Sang Pencipta (ayat 1-4) dan diteruskan dengan pengenalan tentang peranan sebenar manusia (ayat 5), maka sudah tibalah masanya untuk manusia memulakan langkah untuk melaksanakan tugasnya. Oleh itu, dalam memulakan langkah tersebut, Allah mengajarkan kita dalam ayat ke 6 ini supaya memohon hidayah kepada Allah, agar langkah yang diambil tidak terpesong, bahkan mendekatkan diri kepada Allah.
8. Jalan mereka yang Engkau kurniakan nikmat bukan jalan mereka yg mndapat murka Allah dan bukan pula jalan mereka yg sesat.
Apabila kita meminta kepada Allah, kita perlulah mengetahui dengan sesungguhnya apa yang diminta. Jadi, jalan lurus bagaimana yang kita mahu? Jalan lurus adalah jalan istimewa yang telah dilalui mereka yang beruntung. Beruntung kerana merekalah orang-orang yang terpilih oleh Allah lalu dianugerahkan nikmat iman dan islam. Golongan yang melalui jalan yang lurus ini adalah golongan yang terbaik, iaitu golongan para rasul dan nabi, para solihin, para siddiqin, para sobirin dan para syuhada. Mengetahui bahawa jalan lurus ini dilalui oleh golongan yang hebat, maka ini mendorong kita untuk memohon agar diberi petunjuk kepada jalan lurus ini. Permohonan secara lisan perlulah diiringi dengan tindakan, hati yang mengharap dengan keyakinan, lisan melafazkan dengan jelas, seluruh anggota pula bekerja membuktikan kesungguhan.
Allah juga mengajarkan kita melalui ayat ini agar kita sentiasa jelas dengan apa yang kita inginkan dan lakukan, agar kita tidak tergolong dalam golongan yang mendapat murka Allah dan juga golongan yang sesat. Manusia yang memiliki akal perlu menggunakannya untuk mencari jalan lurus ini. Jika mereka tidak pasti mengenai sesuatu perkara, mereka perlu selidik agar keputusan yang dibuat itu tidak termasuk ke dalam golongan-golongan yang mendapat murka Allah dan sesat.
Oleh itu, dalami lah pengertian dan maksud setiap ayat surah Al-fatihah, surah yang agung ini. Mudah-mudahan dengan medalaminya dapat meningkatkan ke”khusyuk”an kita menunaikan solat. Ingatlah, Al-Fatihah adalah pembuka pintu kebenaran, pembuka hati yang kebingungan yang dahagakan cahaya keimanan, juga pembuka hati yang terluka terseksa mengharapkan belaian dan kasih sayang dari Sang Pencipta. Semoga dengan mendalami makna surah al fatihah ini dapat menjadi pedoman dalam mengharungi hidup lalu menjadi syafaat nanti diakhirat sana. Wallahu a’lam.
*ilham dari buku Al-Fatihah, Menyusun Struktur Perasaan dan Fikiran Insan, Abdul Shahiid Shafruddin, Pelima Media Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment