Social Icons

Thursday, November 11, 2010

Bashir bin Saad - Ketepikan Ego demi Kesatuan Ummah

Sirah mencatatkan peristiwa kewafatan Rasulullah mengundang pertelingkahan sesama Umat Islam, antara Kaum Muhajirin dan Ansar. Masing-masing merasa terpanggil untuk memilih penganti Rasulullah dan merasakan mereka lebih layak untuk memegang tampuk pimpinan Khalifah Islam.

Bagi orang Ansar, mereka merasakan mereka lah yang lebih berhak kerana dengan kekuatan merekalah, Islam berkembang dan seluruh penduduk Arab tunduk patuh pada Islam. Bagi orang Muhajirin, mereka merasa merekalah yang lebih layak memandangkan mereka lah orang pertama sekali membenarkan Nabi Muhammad SAW, beriman kepadanya, menderita bersamanya, memikul segala macam azab sengsara bersamanya sewaktu sekalian manusia masih memusuhinya. Mereka tidak takut atau merasa lemah walaupun bilangan mereka sangat sedikit.

Suasana menjadi sangat tegang sehingga Al-Hubbab bin Al-Munzir (orang Ansar) berani menyanggah pandangan Saidina Umar bin al-Khattab. Umar merasa sangat marah dan berkata;

"Allah akan membunuhmu!!!"

Dijawab pula oleh Al-Hubbab bin Al-Munzir,

"Engkaulah yang akan dibunuh oleh Allah"

Bashir bin Saad Tokoh Ansar Yang Meredakan Suasana

Setelah melihat suasana sudah menjadi sangat gawat, maka seorang tokoh Muhajirin iaitu Amir bin Abdullah bin al-Jarrah yang lebih dikenali dengan nama Abu Ubaidah bin al-Jarrah telah bangkit dan berucap;

"Wahai saudara-saudaraku kaum Ansar, kamu adalah kaum yang pertama menyokong dan membantu, maka janganlah kamu pula menjadi kaum pertama yang merubah dan berganti pendirian."

Demikianlah singkatnya ucapan Abu Ubaidah bin al-Jarrah dalam usahanya menyatupadukan fikiran kaum Muslimin yang hampir berpecah ketika itu. Sungguhpun ucapannya sangat pendek, tetapi kesannya cukup mendalam sekali di hati para hadirin di Saqifah Bani Saidah. Seorang tokoh besar Ansar, Bashir bin Saad amat terhiris dengan ucapan itu. Barangkali hatinya cukup bergetar dan air matanya menitis mendengar ucapan sahabatnya dari Kaum Muhajirin.

Maka tanpa didesak atau disuruh oleh sesiapa, dia telah bangun dan berpidato;

"Wahai ssaudara-saudaraku kaum Ansar, kita semua, demi Allah, memperolehi kedudukan termulia dan paling pertama di dalam berjihad terhadap kaum musyrikin dan terdahulu di dalam beragama. Semua ini kita lakukan tidak lain tidak bukan adalah semata-mata demi keredhaan Allah Taala. Dan tunduk kepada Nabi kita dan juga kepada kehormatan diri kita. Maka tidaklah layak kita mempersoalkan semua itu. Bukankah Muhammad itu dari Quraisy? Kerana itu kaumnya lebih berhak dan lebih layak ke atas kepimpinannya. Demi Allah saya sendiri tidak akan membantah dalam persoalan itu. Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah. Janganlah kita saling berbantah dan bertengkar."

Suasana kemudiannya menjadi sangat murni dan tenang setelah Bashir bin Saad mengucapkan pidatonya yang jelas-jelas menyokong jawatan khalifah diserahkan kepada kaum Muhajirin.

Bukan nama dan pangkat yang dikejarnya selama ini, namun redha Allah lah yang mejadi asbab perjuangan Kaum Ansar. Sungguhpun mereka turut sama menyumbang besar terhadap perjuangan Rasulullah, namun bukan imbalan Khalifah yang mereka harapkan. Mereka juga layak untuk memimpin, tetapi dek kerana memikirkan Ummah yang semakin berpecah-belah, Bashir bin Saad sanggup mengenepikan egonya justeru mengangkat kelayakan kepada kaum Muhajirin.

Sejarah bukan tercipta hanya untuk tatapan kita semata-mata, tetapi perlu dijadikan iktibar. Lihatlah bagaimana tarbiyah Nabi Muhammad berjaya membentuk generasi yang berfikir hanya demi kepentingan Islam dan Ummah. Ayuh, berlapang dadalah dalam menerima kritikan dan ketahuilah bahawa ia adalah hadiah nasihat dari saudara SEIMAN kita. Bukan nafsu yang perlu dibela, tetapi kesatuan Ummah!!



Petikan sirah dari buku : Sejarah 4 Khalifah susunan Tarikuddin bin Haji Hassan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...