Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...
4) Darurat
Antara keindahan syariat Islam adalah ruang halal yang luas disediakan bagi umat Islam dan sedikitnya perkara yang haram. Kebanyakan perkara yang haram pula adalah perkara yang bahaya dan memudaratkan ke atas manusia seperti pengharaman arak, judi, riba, membunuh dan benda-benda kotor dan najis daripada dimakan.
Sesungguhpun perkara haram itu lebih kecil, tetapi Islam bersikap tegas pada perkara-perkara itu. Bukan hanya sekadar hukumnya haram, malah pada sesetengah perkara, hukuman yang berat dikenakan ke atas si pelaku. Islam juga bersikap tegas dengan mengharamkan perkara-perkara yang membawa kepada perlakuan perkara haram. Misalnya zina adalah haram, maka perkara-perkara yang membawa kepada zina juga adalah haram.
Contoh yang lain pula adalah pengharaman arak. Segala yang membawa kepada arak juga haram seperti orang yang memerah anggur bagi arak, menjual, membawa, menyediakan, malah bersama-sama dengan majlis yang dihidangkan arak juga haram.
Walaupun demikian, sebagai agama dan manhaj hidup yang meraikan kelemahan dan fitrah manusia, Islam masih memberikan ruang-ruang pengecualian bagi Muslim. Misalnya semasa berhadapan dengan situasi yang terdesak dan terpaksa melakukan perkara-perkara haram apabila mereka tidak mempunyai pilihan kedua.
Allah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud, "Dan sesiapa yang terpaksa dan bukan kerana melampau ataupun melampaui batas, maka tiada dosa ke atas mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih".
Ayat ini menerangkan mengenai pengecualian memakan makanan-makanan yang diharamkan untuk mereka yang berada dalam keadaan darurat dan tidak dilakukan dengan sengaja. Sepertinya juga empat ayat yang lain yang serupa dan seerti apabila Allah mengharamkan sesetengah perkara. Berdasarkan ayat-ayat itu, para fuqaha meletakkan kaedah fikah yang berbunyi, 'darurat mengharuskan perkara-perkara yang diharamkan'.
Kaedah itu walau bagaimanapun terikat dengan syarat yang ditetapkan oleh al-Quran iaitu, 'bukan kerana melampau atau melampaui batas'. Maknanya, keharusan melakukan perkara-perkara yang diharamkan seperti memakan mayat, daging babi ataupun yang seumpama denganya bukanlah sampai ke tahap melampau dan melampaui batas.
Oleh kerana itu, para fuqaha membenarkan seseorang yang terpaksa memakan daging babi semasa darurat supaya mengambilnya sekadar bagi menyelamatkan nyawa sahaja. Mereka melarang memakan daging babi sehingga kenyang ataupun mengambilnya dalam kuantiti yang banyak. Mereka juga meletakkan kaedah bagi syarat itu yang berbunyi, 'darurat diukur berdasarkan keperluannya'.
Keadaan yang dinamakan darurat itu juga ada kadarnya supaya tidak semua keadaan yang terpaksa atau sulit dikatakan sebagai darurat. Sebagai contoh, orang yang tidak ada wang menanggung keluarganya tidak boleh mencuri dengan alasan darurat sedangkan dia mampu bekerja. Ibu tunggal yang memerlukan duit menyara keluarga tidak boleh melacur sedangkan beliau masih lagi mampu bekerja dan mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib.
Keadaan yang dinamakan darurat adalah apabila orang itu tidak menemukan pilihan kedua apabila berada dalam situasi yang membahayakan nyawa dan anggota tubuhnya ataupun orang lain. Selain daripada keadaan ini, ia tidak dinamakan darurat.
Kadangkala keadaan yang menyukarkan walaupun tidak membawa pada situasi yang membahayakan nyawa ataupun anggota, ia masih dikira sebagai darurat terutamanya dalam persoalan ibadat. Contohnya, orang yang dipenjarakan tidak ada tempat yang suci dan pakaian yang lengkap bagi menunaikan solat, kewajipan solat tidak lupus. dalam keadaan sebegitu, dia wajib menunaikan solat dalam keadaan yang terbaik bagi dirinya. Solat itu dikira sah kerana dia berada dalam keadaan darurat.
Masalah yang hampir sama juga mungkin dihadapi oleh mereka yang tinggal dikawasan yang sejuk seperti di Russia yang kadangkala melampaui negatif 20 darjah celcius dibawah takat beku. Mustahil bagi mereka yang berada dalam keadaan sesejuk ini berwuduk apabila mereka berada di luar rumah seperti di universiti ataupun di tempat kerja.
Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah sebegini, mereka boleh bertayammum dan meninggalkan waduk sebab keadaan darurat. Pelbagai persoalan lain seumpama ini mungkin dihadapi oleh mereka yang tinggal di luar negara. Oleh yang demikian, kepercayaan darurat ini begitu diperlukan umat Islam yang berada di luar negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment