Social Icons

Tuesday, December 18, 2012

MUDAHKAN KEHIDUPAN KITA DENGAN SOLAT





"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."

Dalam ayat 153 surah alBaqarah ini, Allah menyatakan bahawa antara fadhilat solat yang paling hebat ialah, ia menjadi penghubung dan jalan untuk seseorang hamba meminta pertolongan kepadaNya.
Maka, selesaikan SEGALA HAJAT dan masalah kita melalui SOLAT.

Huzaifah r.a menyatakan bahawa Rasulullah saw apabila ditimpa dengan sesuatu perkara, Baginda akan bersegera menunaikan solat. (Riwayat Abu Daud)
Abdullah ibnu Mas'ud r.a pula menceritakan, pernah suatu hari seorang sahabat Rasulullah saw datang menemui Baginda lalu berkata; "Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya ingin keluar ke Bahrain untuk tujuan perniagaan". Lalu jawab Rasulullah saw, "Solatlah dua rakaat!" (Riwayat atTabrani di dalam Kitab al-Kabir)


Ma'mar meriwayatkan daripada seorang sahabat dalam kalangan Quraisy, bahawa Rasulullah saw apabila mendapati kesempitan rezeki dalam mana-mana keluarga Baginda, Baginda akan memerintahkan kepada keluarga Baginda agar mendirikan solat, kemudiannya Baginda membacakan ayat alQuran:

" Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki kepadamu, Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Taha:132)

Lihatlah bagaimana imbauan kehidupan suci murni Rasulullah saw, keluarga Baginda dan para Sahabat r.a, sentiasa dihiasi dengan kesungguhan mereka untuk menjadikan solat sebagai sumber untuk mereka memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah. Mereka benar-benar faham apakah NILAI  sebenar amalan SOLAT. Betapa solat merupakan solusi praktikal yang dibekalkan oleh Allah kepada hambaNya.
Masakan tidak, dalam setiap rakaat solat, kita meminta :

 "Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan"

Hati yang sentiasa disuburkan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah melalui fadhilat solat sebegini, maka kehidupan akan menjadi begitu akrab dengan amalan solat. Apabila Allah yang memerintahkan agar kita meminta pertolongan kepadaNya melalui solat, maka sudah pasti Allah sesekali tidak akan memungkiri janjiNya dan sesekali tidak akan lemah daripada mengotakannya!

Oleh itu ayuh, Mudahkan kehidupan kita dengan Solat!

~alBaqiyaat asSholihaat~





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...