Ninja merupakan individu atau pasukan yang mempunyai kemahiran tinggi dalam seni pertempuran di zaman Jepun lampau. Terkenal dengan kepantasan, kemahiran bersembunyi dan menyerang secara mengejut, ketepatan dan kemahiran tempur berdepan; ia menjadi salah satu kebanggaan sejarah Jepun disamping kaum samurai. Dan seni ninja pada zaman moden diadaptasi di dalam banyak buku dan karya komik Jepun (anime) seperti Naruto, Teenage Mutant Ninja Turtle, Flame of Recca, dan berbagai lagi.
InsyaAllah, penulisan entri ini tidaklah berfokus kepada cara-cara menjadi ninja sejati. Entri ini ingin membincangkan karekter-karekter diri yang membentuk seorang ninja yang dapat diambil oleh kita agar menjadi lebih produktif! :-)
1) Kemampuan dalam menguruskan kosentrasi.
Ninja perlu mempunyai kosentrasi yang tinggi. Kosentrasi ini penting dalam menentukan sesuatu misi yang dilaksanakan, sama ada berakhir dengan kejayaan dan kesempurnaan atau kegagalan yang kadangkala mengancam nyawa seorang ninja. Di sini, seorang ninja perlu mengabaikan segala perkara yang tidak berkaitan disekelilingnya, dan jelas akan matlamat, yang seterusnya dimanefestasi dengan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugas.
Sebagai mana kita dalam menempuh hidup yang penuh cabaran, seringkali kita diganggu oleh 'keindahan dunia'. Sebagai contoh, laman sosial facebook. Hampir menjadi kemestian setiap seorang muda mudi era ini mempunyai facebook. Facebook dapat menghubungkan kita kepada kawan-kawan, tidak kira di mana sahaja, dan dapat mengikuti perkembangan terkini dalam kekerapan setiap minit! Ia menjadikan facebook satu perkara yang menyeronokkan dan tidak keterlaluan jika dikatakan ia mampu membuat penggunanya ketagih jika tidak dikawal.
Kesan contoh (facebook) di atas ke atas kita sebagai seorang muslim amat ketara jika diamati sebaiknya. Kita cuba bekerja dengan tekun, namun atas ganggugan-gangguan ini, fokus yang diperlukan tidak dapat ditumpukan sepenuhnya kepada perkara utama; seperti belajar, membuat kerja sekolah, menulis repot, etc. Malah ia turut mengancam kualiti ibadah seharian kita. Sebagai seorang muslim, terminologi 'khusyuk' acap kali ditekankan dalam menghasilkan ibadah yang sempurna dan diterima di sisi Allah. Adakah mudah untuk khusyuk jika hati sentiasa bergelumang dengan persona dunia?
Selain itu, dengan melakukan sesuatu tanpa kosentrasi yang secukupnya, di mana kita melaksanakan 'multiple task' dalam satu-satu masa (kerja+facebook), kita akan mudah merasa 'tepu akal' dan lesu dalam jangka masa yang singkat. Sedangkan, hasil kerja kita, jika ingin dibandingkan dengan seorang yang bekerja secara fokus tanpa facebook pada jangka masa yang lebih singkat, adalah lebih cemerlang berbanding bersama facebook.
Mari sama-sama kita muhasabah diri, akan salah satu daripada rukun iman; iaitu percaya kepada hari akhirat. Satu agenda penting pada hari di mana segalanya dihisab, adalah kita dituntut untuk bertanggungjawab atas segala perkara yang kita laksanakan di dunia. Pilihlah di antara amalan yang tidak berkualiti ditambah dengan perkara yang melalaikan, ataupun amalan yang berkualiti, dan ikhlas untuk mencapai redha Allah
2) Ketenangan seakan seorang pertapa/ahli ibadah.
Ninja sentiasa menghadapi situasi-situasi cemas. Barangkali seorang ninja perlu melumpuhkan musuh yang berkali-kali ganda dari segi bilangan dan kekuatan. Ataupun terperangkap dalam muslihat musuh. Ketenangan ini membantu seorang ninja berfikir dengan jelas, dan memilih jalan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah. Setiap ninja berpegang kepada moto: setiap masalah punya jalan penyelesaiannya!
“Ketahuilah bahawa dengan mengingati ALLAH itu, hati akan menjadi tenang.” – ar Ra’ad : 28
Sebagai seorang insan yang normal, masalah adalah salah satu daripada warna dalam kehidupan. Mahu atau tidak, kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah, ragam, komplikasi dan ujian yang dijangka mahupun mengejut. Di sinilah pentingnya jiwa yang tenang. Manusia selalunya menggunakan dua unsur dalam menyelesaikan sesuatu masalah; iaitu akal dan hati (emosi). Akal itu ibarat kereta, dan emosi itu pemandunya. Emosi yang stabil (tenang) dapat membawa akal ke destinasi yang ingin dituju. Namun, emosi yang tidak stabil hanya membawa akal kepada kecelakan kepada pemiliknya.
Kombinasi akal dan ketenangan membantu kita untuk merancang dengan baik dan sentiasa bersedia. Sebagaimana pepatah melayu ada menyebut; sediakan payung sebelum hujan. Jiwa yang tenang membantu dalam menjadi seorang yang sedar dengan keadaan sekeliling. Keadaan ini membantu akal untuk memproses segala maklumat dan merancang jalan yang terbaik dalam menguruskan kehidupan seharian. Disamping merancang, ketersusunan dalam mengatur kehidupan memainkan peranan penting dalam usaha menjadi muslim yang cemerlang. Hidup yang tersusun membantu seseorang melihat dengan lebih jelas apa yang bakal dihadapi, dan mengurangkan kebarangkalian untuk melaksanakan kesalahan dalam sesuatu tugasan.
Dalam perspektif seorang muslim, kunci mencapai ketenangan yang hakiki adalah dengan kembali kepada yang Maha Berkuasa. Manusia sentiasa mencari jalan dalam mencapai kebahagiaan. Dan sangat menyedihkan apabila mereka menyalah guna segala nikmat dunia untuk matlamat ini, sehingga ada sesetengahnya melanggar batas-batas yang digariskan oleh Allah. Bahagia dalam erti kata yang sempurna itu apabila kita mencapai ketenangan hati dan bebas dari keterikatan dunia yang sentiasa memujuk nafsu yang tidak kenal erti puas. Maka, dengan mempercayai akan janji Allah di dalam surah ar-Ra'ad (ayat di atas), dan berusaha ke arah itu, insyaAllah, kejayaan yang kita buru pasti dalam genggaman!
No comments:
Post a Comment