Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berapa banyak orang
yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih, kerana
mereka itu lalai dalam solatnya”
Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak solat yang didirikan
oleh seseorang itu, tetapi malangnya dia tidak memperolehi pahala melalui
solatnya itu. Sebaliknya oleh kerana mereka lalai ketika solat maka Allah SWT
menjanjikan balasan api neraka pula kepadanya.
Nabi s.a.w bersabda lagi yang maksudnya: “Tidak ada ganjaran
bagi seseorang hamba dalam solatnya kecuali sekadar mana yang ia ingat
(khusyuk)”.
Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang
lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT.
Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain.
Jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada
khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dan
puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan saja mereka akan
kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai orang
yang tinggi pekertinya, sentiasa menjaga dari melakukan perkara yang
membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat
dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.
Begitu juga zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat
itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu
kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang.
Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu mengeluarkan
zakat.
Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan
ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai. Ini kerana ibadah haji
melibatkan dua perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan
haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya namun kesan daripada ibadah haji
itu jelas ketara, kerana dia terpaksa membelanjakan ribuan wang ringgit. Tubuh
berasa letih dan wang habis.
Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua
ibadah yang dinyatakan itu. Firman Allah dalam surah al-Ma’un, ayat 4-5:
“Maka celakalah bagi orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai
terhadap solatnya”
Menurut Imam al-Ghazali, solat itu ialah munajat (berdialog
dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai
munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran disamping khusyuk dan
tawadhuk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog
dengan Allah SWT.
Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama
keadaannya seperti orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin dia
menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah
SWT, namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada
Allah SWT kerana sebenarnya orang itu sedang menggigau. Sesungguhnya orang yang
menggigau itu ialah orang yang bertutur di luar kesedaran.
Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang akan
diterima oleh Allah SWT, jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang
menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang
yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya
mengucapkan pelbagai kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah
SWT.
Disunting daripada Khusyuk Dalam SOLAT oleh TGNA, m/s 2-5
No comments:
Post a Comment